ARKIB : 11/02/2010
Pemain Negeri Sembilan, Mohamad
Zaquan Adha Abdul Radzak (tengah) cuba dihalang oleh tiga pemain Pahang pada
perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, kelmarin.
KUANTAN - Jurulatih Negeri
Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan kecewa dengan prestasi ayam tambatannya, Mohamad
Zaquan Adha Abdul Radzak yang setakat kini masih belum mencapai tahap sebenar.
Kekalahan memalukan 1-2 di tangan
Pahang yang dibarisi pemain muda, membuktikan penyerang skuad Rusa dan
kebangsaan itu perlu lebih banyak belajar untuk menjadi seorang 'penyerang
sejati.'
Setakat pertemuan kelmarin,
Zaquan gagal memberikan persembahan menyakinkan apabila tidak mampu merobek
gawang lawan.
''Dengan usianya yang masih muda,
Zaquan perlu banyak belajar dan kancah Liga Super merupakan gelanggang sesuai
untuknya," katanya selepas perlawanan dengan Pahang di Stadium Darul
Makmur, kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, juara
Piala Malaysia musim lalu itu tewas mengejut 1-2 kepada Pahang yang dibimbing
Dollah Salleh.
Dua gol Pahang dijaringkan oleh
Abdul Rahman Kadir dan Mohd. Fazli Baharudin, masing-masing pada minit ke-37
dan ke-88, manakala gol tunggal Negeri Sembilan disempurnakan oleh K. Thanaraj
pada minit ke-65.
Mengulas perlawanan tersebut, Wan
Jamak berkata, Mohamad Zaquan Adha, perlu bertindak sebagai penyerang sebenar
dengan menjaga posisinya.
''Dia tidak perlu berlari ke sana
sini atas padang mengejar bola.
''Dia sepatutnya mendapatkan bola
dan menyerang.
''Bagaimanapun, saya tidak
menyalahkan dia atas kekalahan ini," katanya.
Ditanya mengenai prestasi Negeri
Sembilan yang agak terumbang ambing sejak awal musim, Wan Jamak menjelaskan,
pasukannya masih belum berada pada tahap sebenar.
Para pemain, katanya, belum
menemui sentuhan masing-masing dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.
''Para pemain sedang mencari
rentak dan belum menemui keserasian dan prestasi Negeri Sembilan pada masa ini
hanya berada di tahap 60 peratus," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau
menyalahkan kealpaan barisan pertahanan yang menyebabkan Negeri Sembilan gagal
mengutip sebarang mata, selepas Mohd. Fazli meledakkan gol bagi memastikan
Pahang memperoleh tiga mata pada minit terakhir perlawanan kelmarin.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5ZqP0nANj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan