ARKIB : 07/12/2009
Zaquan Adha Abdul Razak (kiri)
cuba bersemuka dengan pengadil, Kim Jong Hyeok (dua dari kiri) selepas
dilayangkan kad merah pada pertembungan sengit Sukan SEA XXV antara Malaysia
dan Vietnam yang menyaksikan negara kalah 1-3 di Stadium Utama, Vientiane,
semalam.
BERANG
VIENTIANE - Kecoh dalam babak
akhir perlawanan apabila penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak
'mengamuk' dengan cuba menyerang pengadil selepas tamat perlawanan Kumpulan A
acara bola sepak Sukan SEA XXV Laos yang menyaksikan Malaysia kalah 1-3 kepada
Vietnam semalam.
Penyerang kebangsaan itu gagal
mengawal kemarahan apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Korea
Selatan, Kim Jong Hyeok ketika masa kecederaan babak kedua.
Berang dengan tindakan pengadil
melayangkan kad kuning kedua terhadapnya, mendorong Zaquan menerpa ke arah
pengadil tetapi sempat dihalang oleh rakan sepasukan.
Namun, sejurus wisel penamat
dibunyikan, Zaquan sekali lagi menyerbu ke arah pengadil, dengan diringi oleh
rakan sepasukan yang lain.
Malahan, Zaquan kelihatan cuba
mengkasari pengadil dengan menolaknya dan suasana semakin kecoh apabila
tindakan itu disertai oleh rakan sepasukan yang lain.
Ketegangan yang memuncak memaksa
para pegawai di kem Malaysia, termasuk jurulatih K. Rajagobal masuk campur
untuk menenangkan keadaan.
Zaquan akhirnya berjaya
ditenangkan dan dibawa keluar dari padang tidak lama selepas itu.
Pada perlawanan semalam, mutu
pengadilan ternyata merentap peluang Malaysia apabila ketinggalan hasil sepakan
penalti selepas sepakan bebas pemain Vietnam, Pham Thanh Lung terkena tangan
salah seorang pemain kebangsaan.
Phan Tan Binh mudah memperdayakan
penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias ketika menyempurnakan sepakan penalti
pada minit ke-12.
Penalti kontroversi itu ternyata
merencatkan semangat para pemain sehingga membenarkan pasukan lawan menguasai
permainan.
Hasilnya, Vietnam menggandakan
kelebihan kepada 2-1 pada minit ke-26 menerusi Mai Tien Thanh.
Jaringan sendiri Vo Hoang Quang
pada minit ke-25 sedikit memberi kelegaan kepada skuad kebangsaan.
Namun, asakan bertali arus
berjaya memberikan gol ketiga Vietnam pada masa tambahan babak pertama menerusi
Nguyen Trong Hoang.
Sementara itu, Rajagobal berkata,
Zaquan tidak sepatutnya bertindak demikian walau apa pun keputusan pengadil.
Katanya, dalam situasi
sedemikian, Zaquan sepatutnya mengawal emosi.
"Memang saya tidak jangka
dia akan bertindak demikian. Dia tidak dapat mengawal perasaan kerana keputusan
pengadil yang keterlaluan.
"Melihatkan keadaan yang
semakin tegang, saya menyuruh mereka keluar dari padang sejurus perlawanan
berakhir tetapi nampaknya emosi lebih menguasai pemain.
"Mereka masih muda dan
apabila berdepan keadaan sebegini, pastinya terlalu mengikut perasaan,"
katanya.
Sementara, ketua kontinjen negara
ke Sukan SEA, Datuk Dr. Ramlan Aziz yang turut menyaksikan perlawanan berkata,
tindakan Zaquan itu tidak wajar.
"Dia sepatutnya mengawal
emosi walaupun kalah. Dia tidak sepatutnya terlalu mengikut perasaan, dia
sepatutnya menjaga maruah Malaysia.
"Nasihat ini bukan untuk
skuad bola sepak sahaja tetapi semua atlet negara yang mengambil bahagian pada
Sukan SEA di sini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Yg2N0CZR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan