ARKIB : 18/12/2009
VIENTIANE Malaysia mencatat
sejarah menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV selepas 20 tahun apabila
mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan
Nasional Laos di sini, semalam.
Jaringan sendiri pemain
pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan
Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal kejuaraan pertama selepas kali
terakhir melalukannya pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Emas acara bola sepak semalam
merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara semalam.
Untuk rekod, kali terakhir
Malaysia mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2001 di
Kuala Lumpur tetapi kalah 1-0 kepada Thailand menerusi gol masa tambahan.
Ini merupakan kali pertama
Malaysia mengalahkan Vietnam sejak 2001 pada semua peringkat kejohanan Asia
Tenggara termasuk Piala Tiger.
Kemenangan semalam turut menebus
kehampaan setelah kalah kepada Vietnam 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.
Vietnam yang turun selaku pasukan
pilihan memulakan asakan sejak awal perlawanan, namun skuad negara kental
bertahan daripada dibocori.
Malaysia bangkit memberi saingan
dengan asakan kemas dengan kemasukan Zaquan Adha Abdul Razak, yang pulih daripada
masalah mata di babak kedua.
Hantaran silang Norshahrul Idlan
Talaha ditahan oleh pemain pertahanan Vietnam sehingga masuk ke gawang sendiri,
yang memberikan jaringan kemenangan kepada Malaysia pada minit ke-83.
Mengulas kemenangan bersejarah
itu, Rajagobal berkata, dia amat gembira kerana berjaya memberikan kemenangan
acara bola sepak Sukan SEA selepas 20 tahun menanti.
Katanya, dia bangga dengan
semangat dan kesungguhan pemain di sepanjang perlawanan sehingga berjaya
menjelmakan kejayaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Kemenangan ini amat besar
maknanya bagi saya. Saya amat gembira kerana kami akhirnya berjaya juga
memberikan kemenangan yang kita sama-sama nantikan sejak sekian lama.
Pujian harus perlu diberikan
kepada para pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang demi
merealisasikan impian kita selama ini.
Kemenangan ini adalah untuk
rakyat Malaysia. Lebih penting emas yang kita menangi ini diharap akan
mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia, katanya. UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YhYX82ug
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan