ARKIB : 14/12/2009
VIENTIANE - Skuad bola sepak
negara terpaksa mengharungi perlawanan separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA
XXV menentang Laos hari ini tanpa kelibat penyerang berbisa, Zaquan Adha Abdul
Razak.
Jurulatih kebangsaan, K.
Rajagobal berkata, pemain Negeri Sembilan itu tidak dapat ke Laos kerana
masalah mata yang dialaminya masih belum pulih sepenuhnya.
Menurutnya, masalah mata yang
dialami oleh Zaquan memang menunjukkan tanda-tanda pulih, tetapi itu tidak
bermakna dia dapat diturunkan untuk perlawanan hari ini.
"Mustahil untuk dia
menyertai kami menentang Laos esok (hari ini).
"Memang masalah matanya
semakin pulih tetapi dia tidak sempat untuk bersiap sedia sepenuhnya bagi
menghadapi perlawanan dengan Laos.
"Jika kita berjaya ke final,
mungkin dia boleh beraksi," katanya ketika ditemui semalam.
Zaquan mengalami masalah luka
mata kiri dan terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan.
Menurut Rajagobal, dia sentiasa
memantau keadaan Zaquan dan jika boleh dia memang mahu pemain itu beraksi hari
ini.
"Ini kerana selain Zaquan,
kita juga akan beraksi tanpa Amirul Hadi Zainal dan Ahmad Fakri Saarani yang
digantung perlawanan.
"Ini bermakna saya terpaksa
bergantung harap kepada pemain penyerang yang ada sahaja, saya tidak banyak
pilihan," katanya.
Mengenai perlawanan hari ini,
Rajagobal berkata, Laos akan turun dengan lebih bersemangat di depan penyokong
mereka di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos.
"Kita harus terima hakikat
ini tempat mereka. Untuk menghadapi situasi ini, saya meminta pemain supaya
hanya fokus pada cara permainan mereka sendiri.
"Memang kita berjaya
menumbangkan Thailand, tetapi kemenangan itu tidak bermakna pemain kita sudah
berada pada zon selesa.
"Saya tekankan bahawa
selepas Thailand, kita ada misi yang lebih penting berdepan Laos.
"Jika mahu menang, saya
harap pemain dapat mengekalkan rentak permainan yang konsisten dan jangan
memandang rendah keupayaan Laos," katanya.
Sementara itu di KUALA LUMPUR,
kecederaan luka kecil di mata kiri Zaquan masih belum sembuh untuk
membenarkannya menyumbang bakti di padang.
"Saya kecewa. Sebelum ini
saya berangan beraksi di separuh akhir untuk membawa Malaysia ke final. Kini
semuanya lebur.
"Namun, saya tetap berdoa
agar rakan-rakan mampu beraksi cemerlang bagi menempah tiket ke perlawanan
akhir. Saya sudah maklumkan pada jurulatih, K. Rajagobal dan beliau tenang
menerimanya.
"Kini saya cuma perlu
menanti sama ada beraksi di final atau penentuan tempat ketiga dan keempat.
Sudah tentu final menjadi idaman dan saya yakin rakan sepasukan mampu
melakukannya kerana kita membuktikan dapat bermain baik menentang lawan lebih
berpengalaman," katanya kepada Utusan Malaysia semalam. - UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5Yh7oReuT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan