Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemain pertahanan
Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Aidil Zafuan Abd Radzak (gambar) lebih berminat
untuk menyiapkan diri berdepan Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium
Larkin, malam esok berbanding memikirkan kejuaraan liga.
Malah katanya, perlawanan yang
Johor DT perlu harungi untuk 90 minit malam esok dianggap getir kerana ia akan
membantu pasukan untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu dan jika ia
terlaksana sudah pasti kejuaraan liga menjadi milik Harimau Selatan yang pasti
mencipta sejarah selaku kelab pertama melakar hatrik selaku juara liga.
Dia juga tidak menolak
kemungkinan skuad Terengganu kendalian Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor bakal
tampil lebih agresif malah mereka tidak akan sesekali menganggap pasukan itu
lemah walaupun menghuni kelompok bawahan liga memandangkan lawan dibarisi
pemain mantap yang mampu menggugat tuan rumah.
“Ketepikan dulu soal kejuaraan
liga sebaliknya kami kena fokus pada perlawanan menentang Terengganu dan biar
kami harungi 90 minit aksi untuk memburu kemenangan dan dari situ baru menjadi
penentu sama ada kejuaraan liga milik Johor DT atau tidak.
“Walaupun kelebihan memihak
kepada kami yang beraksi di laman sendiri namun saya dan rakan sepasukan tidak
boleh alpa dibuai keinginan merangkul kejuaraan sebaliknya kami harus
berwaspada dan mengelak melakukan kesilapan mudah sehingga meranapkan pemburuan
tiga mata.
“Selepas diberi rehat selama
seminggu, kami kembali menyambung latihan dengan lebih bersungguh-sungguh
kerana kami perlu mengharungi dua aksi berbeza iaitu menentang Terengganu dan
seterusnya beraksi pada saingan suku akhir Piala AFC di Hong Kong, 13 September
ini,” katanya.
Aidil Zafuan juga menyifatkan
kesilapan ketika menentang FELDA United selepas agak selesa mendahului 2-0
namun memberi ruang kepada lawan bangkit menyamakan jaringan tidak harus
berulang apabila berdepan skuad Penyu.
Katanya, kesilapan itu memberi
pengajaran berguna buat dirinya dan rakan sepasukan supaya tidak mengulangi apa
yang berlaku kerana ia mungkin boleh mengundang kerugian buat pasukan malah
kelicikan pemain Terengganu juga harus diawasi bagi mengelak percubaan
berbahaya.
“Kita tidak boleh anggap
Terengganu pasukan lemah sebaliknya mereka dibarisi pemain hebat dan setiap
pasukan yang menentang Johor DT akan beraksi bermati-matian untuk mencari
kemenangan dan kami tidak boleh terlalu selesa walaupun bermain di laman
sendiri,” kata Aidil Zafuan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:36 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan