MOHAMAD FIRDAUS ABDULLAH
19 April 2019 6:07 PM
Zaquan Adha mengakui beliau
pernah dikecam hebat yang melibatkan kariernya sehingga didesak supaya
“menggantung kasut”.
KUALA LUMPUR - Penyerang pasukan
Kedah, Zaquan Adha Abdul Razak meluahkan segala yang terbuku di hati setelah
pelbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya sehingga ada yang mendesaknya untuk
bersara dari arena bola sepak negara.
Jelasnya, banyak pihak sering
mempersoalkan kredibilitinya di atas padang apabila melihat dia sering jatuh
dalam beberapa aksi sebelumnya seterusnya perkara tersebut mendapat kecaman
hebat daripada netizen.
Bagaimanapun, Zaquan Adha yang
juga pemain skuad Harimau Malaya menjelaskan keadaan tersebut berlaku mungkin
disebabkan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang pernah terjadi ke
atas dirinya sebanyak empat kali sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.
“Saya pernah menjalani empat kali
pembedahan ACL dan satu di bahagian lutut dan satu pada tangan sepanjang karier
saya selama ini.
“Jika anda sering mempersoalkan
kenapa saya jatuh, mungkin semua itu berlaku disebabkan kecederaan saya yang
telah menjejaskan keseimbangan badan ketika berada di atas padang.
“Apa pun saya tetap bersyukur
apabila diberikan kekuatan untuk bermain sehingga sekarang dan kepada atlet
lain jangan pernah berputus asa jika berdepan situasi seperti saya,” katanya
menerusi laman Instagram peribadinya semalam.
Dalam pada itu, Zaquan Adha
mengakui beliau pernah dikecam hebat yang melibatkan kariernya sehingga didesak
supaya “menggantung kasut”.
“Saya dikritik dan diminta
bersara, tetapi saya yakin rezeki itu datang dari Allah dan saya percaya apa yang
telah diberikan selama ini juga merupakan amanah dari Allah.
“Apa yang lebih penting adalah
ambil segala kutukan dan cacian yang dilemparkan sebagai pembakar semangat
untuk bangkit menjadi yang lebih baik,” jelasnya. – SUMBER K! ONLINE 19 April 2019 6:07 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan