Isnin, 3 Disember 2018

Nasib Zaquan diketahui hari ini


 
ARKIB : 13/12/2009
ZAQUAN ADHA ABDUL RAZAK

VIENTIANE – Keputusan sama ada Zaquan Adha Abdul Razak sempat pulih sepenuhnya daripada sakit mata yang dialaminya untuk membantu skuad kebangsaan menentang Loas pada separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV Laos, akan diketahui hari ini.

Difahamkan, ujian awal di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam, mendapati Zaquan mengalami luka kecil di mata kiri.

Keadaan itu menyebabkan dia perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan pengesahan doktor, sama ada masalah yang dialaminya itu akan memudaratkannya jika dia beraksi juga.

Difahamkan, doktor akan memberi pengesahan mengenai keadaan mata Zaquan pagi ini.

Zaquan mengalami sakit mata sejurus tiba di Loas minggu lalu namun masih sempat membantu negara membelasah Timor Leste 11-0 pada perlawanan pembukaan acara bola sepak Sukan SEA XXV.

Selepas itu, akibat masalah mata yang dialaminya, jurulatih K. Rajagobal hanya menurunkan Zaquan pada babak kedua ketika kalah kepada Vietnam.

Pada perlawanan tersebut, Zaquan dilayangkan kad kuning kedua, yang sepatutnya dia digantung satu perlawanan sahaja.

Lembaga disiplin acara bola sepak Sukan SEA yang bermesyuarat kemudian, mengenakan hukuman gantung dua perlawanan terhadap Zaquan ekoran kekecohan yang dicetuskannya apabila cuba menyerang pengadil pada penghujung perlawanan dengan Vietnam tempoh hari.

Hukuman itu menyebabkan Zaquan terlepas aksi peringkat kumpulan menentang Kemboja dan Thailand.

Kini, setelah tamat saingan peringkat kumpulan, Zaquan telah selesai menjalani hukuman penggantungan dua perlawanan dan boleh beraksi semula menentang Laos pada peringkat separuh akhir esok.

Dalam pada itu, skuad bola sepak amat mengharapkan kepulangan ke Laos, Zaquan untuk membantu pasukan Malaysia yang akan menentang tuan rumah pada saingan separuh akhir esok.

Ketua pasukan yang juga abang kembar Zaquan, Aidil Zafuan Abdul Razak berkata, kehadiran semula adiknya di posisi serangan, selepas digantung dua perlawanan sememangnya ditagih.

Katanya, dia berharap adiknya pulih sepenuhnya dari sakit mata dan dapat datang ke Laos menjelang perlawanan esok.

“Ya... Kami memang berharap sangat dia dapat kembali semula ke Laos untuk perlawanan dengan pasukan tuan rumah,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YgyQX2TX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan