KUALA LUMPUR Hampir pasti bek
tengah Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Radzak bakal menggalas tugas selaku ketua
pasukan Bawah 23 Malaysia apabila acara bola sepak lelaki Sukan SEA Laos
membuka tirainya, Rabu ini.
Lilitan lengan yang dipakainya
ketika menentang skuad kebangsaan Maldives pada persahabatan di Shah Alam,
kelmarin, menguatkan pemilihan pemain berusia 22 tahun yang mengumpul lebih 20
penampilan senior antarabangsa ini.
Turut diambil kira ialah
pengalamannya bermain menentang lawan handalan antarabangsa seperti Iran,
Chelsea dan Manchester United dalam pusingan akhir Piala Asia dan perlawanan
persahabatan jelajah dua kelab England itu.
Anak jati Seremban ini diturunkan
sepanjang 45 minit pertama ketika ditewaskan Maldives 1-0 tetapi kehadirannya
sepanjang masa cukup diperlukan di barisan benteng pertahanan Malaysia dalam
perlawanan sulung Sukan SEA menentang Timor Leste di Vientiane.
Meraikan ulang tahun kelahiran
menurut takwim Islam, Zulhijjah sejajar nama yang bersempena kedatangan
Aidiladha, semalam, Aidil Zafuan pasti teringat betapa kecewanya ketika tidak
dapat bermain dalam perlawanan pertama Sukan SEA Korat 2007.
Gara-gara dikenakan kad merah
menentang Bahrain dalam Kelayakan Piala Dunia, dia digantung perlawanan dan
ketiadaannya begitu dirasai apabila Malaysia dikalahkan Vietnam 3-1 di Korat
yang turut mempengaruhi peluang pasukan ke separuh akhir.
Kini bersama adik kembar, Zaquan
Adha Radzak, pemilihan mereka bersama 18 lagi pemain terbaik ke Laos memang
sukar disangkal memandangkan dia sering mendapat kepercayaan jurulatih negara,
K. Rajagobal dan penyandang sebelumnya, B. Sathianathan.
Malah ketika berusia 20 tahun
lagi, Aidil Zafuan sudah memikat jurulatih ketika itu, Norizan Bakar yang
menamakannya dalam perlawanan persahabatan menentang Kemboja seterusnya
menyertai skuad 23 pemain dalam pusingan akhir Piala Asia 2007 di Kuala Lumpur.
Suami kepada pelakon Rita Rudaini
ini turut memiliki kepakaran menjaringkan gol menerusi sepakan bebas, dikatakan
menjadi rebutan banyak pasukan gergasi Liga Malaysia terutama selepas membantu
Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada 7 November lalu.
Skuad Bawah 23 Malaysia akan
menyambung semula sesi latihan ke Sukan SEA mulai hari ini sehingga esok
sebelum berlepas ke Vientiane, Isnin ini bagi menyahut cabaran Timor Leste,
Vietnam, Kemboja dan Thailand dalam Kumpulan A.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YfiTNU5c
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan