Selasa, 18 Disember 2018

Zaquan tekad lunas dendam

ARKIB : 24/03/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Penyerang berbisa Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak tidak sabar menanti pertemuan dengan Selangor pada separuh akhir Piala FA, minggu depan. Ini kerana dia mahu membalas dendam selepas Negeri Sembilan tumpas 1-2 pada Piala Sumbangsih, Januari lalu.

Untuk itu, dia tekad menyekat skuad gergasi merah kuning mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Katanya, rakan sepasukannya juga melaungkan azam yang sama, apatah lagi beraksi di laman sendiri pada perlawanan separuh akhir pertama.

''Biarlah orang ramai menganggap Selangor pasukan pilihan, ia tidak menjejaskan misi kami untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

''Saya lebih selesa jika Negeri Sembilan dilabel bukan pilihan, kerana ia akan menyebabkan tekanan kepada Selangor,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Negeri Sembilan ke separuh akhir Piala FA selepas bangkit daripada kekalahan 0-1 pada pertemuan pertama, apabila menewaskan KL Plus di Seremban 3-1 dan layak berdasarkan agregat 3-2.

Sambil menghormati keupayaan lawan, Zaquan menegaskan pasukannya tetap mempunyai kelebihan kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman.

''Persoalannya, siapakah yang akan memberikan persembahan terbaik di atas padang nanti?

''Bagi pihak Negeri Sembilan, saya begitu yakin kami mampu menunjukkan aksi berkualiti dan bermain sebagai satu pasukan, '' ujarnya.

Dalam masa sama, dia mengakui begitu mengidamkan kejuaraan Piala FA, yang belum pernah dikecapinya selepas merangkul Piala Malaysia, musim lalu.

''Terus terang, saya ingin menambah koleksi kejuaraan Piala FA dalam karier saya sebagai pemain bola sepak, selain membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala FA buat kali kedua.

''Tambahan pula kami cukup kecewa apabila tewas kepada Kelantan tahun lalu pada peringkat separuh akhir.

''Azam kami kali ini ialah memperbaiki pencapaian dengan beraksi di akhir dan seterusnya menjuarai Piala FA, '' katanya.

Tambah menggembirakan Zaquan, semua pemain Negeri Sembilan bebas masalah kecederaan serius, dan dia berpendapat itu merupakan satu berita baik menjelang pertemuan pertama dengan Selangor.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5a6SzYysq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan