ARKIB : 05/11/2009
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my
GABUNGAN pemain muda dan senior
Negeri Sembilan oleh Wan Jamak Wan Hassan berjaya memberikan impak sehingga
membolehkan mereka berada di final Piala Malaysia bertemu Kelantan Sabtu ini. -
UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN - Strategi Wan Jamak Wan
Hasan untuk mempertaruhkan kemampuan pemain mudanya ternyata berkesan dan mampu
menjadikan skuad Negeri Sembilan sebagai salah satu pasukan yang harus digeruni
dalam arena bola sepak tanah air.
Ini kerana, skuad kendalian Wan
Jamak Wan Hassan itu rata-rata dibarisi oleh pemain-pemain muda yang berusia
dalam lingkungan 23 tahun ke bawah.
Tetapi faktor tersebut sedikit
pun tidak menggugat skuad Rusa untuk mengganas di medan final Piala Malaysia
menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.
Lebih meyakinkan, kehadiran
beberapa pemain sayap muda seperti S, Kunalan, 22 dan Shahurain Abu Samah, 22
dalam skuad Hoben Jang Hoben ini bakal membuatkan penyokong skuad Kijang tidak
senang duduk pada pertembungan itu nanti.
Kelibat kedua-dua pemain sayap
yang lincah itu perlu diberi perhatian kerana mereka bakal diturunkan dengan
semangat berkobar-kobar demi menghancurkan harapan Kelantan dalam membawa
pulang piala rebutan itu kembali ke negeri 'Cik Siti Wan Kembang'.
Menurut, S. Kunalan, beliau sudah
bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh
Wan Jamak bagi mengkucar-kacirkan barisan pertahanan 'Wira Merah' Sabtu ini.
''Walaupun ini merupakan kali
pertama saya beraksi dalam final Piala Malaysia. Tetapi saya berjanji akan
memberikan yang terbaik dalam memastikan kemenangan menyebelahi Negeri
Sembilan," kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Kunalan yang
sudah dikenali dengan larian pantasnya itu juga memberitahu, beliau akan cuba
sedaya upaya untuk mencipta lebih banyak peluang bagi penyerang mencipta
jaringan pada perlawanan akhir itu nanti.
Sementara itu, pemain sayap kanan
Negeri Sembilan, Shahurain berkata, beliau amat teruja dan bersyukur kerana
diberikan peluang untuk turun beraksi sepanjang Piala Malaysia edisi 2009.
''Jurulatih telah memberi
kepercayaan kepada saya dan sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik
sekiranya diturunkan dalam kesebelasan utama nanti.
''Saya akan pastikan kepercayaan
yang diberikan ini tidak akan dipersia-siakan untuk menjulang nama baik Negeri
Sembilan dengan bermain bermati-matian," jelas beliau.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Yc8vANuf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan