ARKIB : 18/12/2009
VIENTIANE - Ketua pasukan
kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak menyifatkan kejayaan Malaysia memenangi
pingat emas acara bola Sukan SEA XXV semalam adalah berkat doa rakyat Malaysia.
Katanya, harapan tinggi rakyat yang
mahu melihat Malaysia kembali bergelar jaguh di peringkat Asia Tenggara
mengiringi pemain yang beraksi dengan penuh semangat apabila berjaya
mengalahkan pasukan pilihan Vietnam, pada perlawanan akhir semalam.
Katanya, kejayaan menamatkan
kemarau 20 tahun pingat emas Sukan SEA merupakan hadiah untuk rakyat Malaysia.
"Secara peribadinya, ini
merupakan kejayaan terbesar dan amat bermakna dalam karier saya sebagai pemain
bola sepak.
"Saya bersyukur kerana
impian dan harapan rakyat Malaysia untuk kita bersama-sama memenangi pingat
emas di peringkat Sukan SEA sudah tercapai.
"Inilah hadiah daripada kami
untuk rakyat Malaysia dan saya harap kejayaan ini tidak berakhir di sini
sahaja.
"Marilah kita bersama-sama
berusaha, berdoa dan memberi sokongan supaya kejayaan di Laos ini akan
diteruskan demi maruah bola sepak kita," katanya.
Malaysia menamatkan kemarau 20
tahun pingat emas acara bola sepak Sukan SEA selepas mengalahkan Vietnam 1-0
pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos di sini,
semalam.
Jaringan kemenangan skuad negara
'dihadiahkan' oleh pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83
ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal.
Kali terakhir Malaysia muncul
juara acara bola sepak Sukan SEA ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Emas acara bola sepak semalam
merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara.
Mengenai perlawanan semalam,
Aidil berkata, Vietnam yang turun sebagai pasukan pilihan beraksi amat baik di
babak pertama dengan serangan bertali arus.
Sokongan padu lebih 20,000
peminat mereka, kata Aidil, menambahkan lagi kegarangan Vietnam.
"Namun, Alhamdulillah
barisan pertahanan kita tidak goyah, terus bertahan.
"Kita kemudiannya bangkit
mengimbangi asakan mereka di babak kedua sehingga memaksa lawan melakukan
kesilapan menjaringkan gol sendiri.
"Tahniah dan syabas kepada
rakan-rakan yang telah memberikan permainan sepenuh tenaga.
"Kepada rakyat Malaysia
inilah emas paling berharga dari kami," katanya. - UTUSAN
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YhX9Wjk4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan