ARKIB : 17/12/2009
VIENTIANE - Ketua pasukan, Aidil
Zafuan Abdul Razak meminta rakan sepasukan supaya menutup tirai tahun 2009
dengan memenangi perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang
Vietnam, hari ini.
Menurutnya, setelah tiada
sebarang kejuaraan diraih oleh skuad bola sepakan kebangsaan sehingga
penghujung tahun 2009, dia berharap skuad kebangsaan dapat memberikan pingat
emas dalam acara bola sepak Sukan SEA sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia.
"Skuad kebangsaan gagal
memenangi sebarang kejohanan tahun ini, jadi saya harap kami dapat menutup
tirai 2009 dengan kejayaan iaitu memenangi perlawanan akhir bola sepak Sukan
SEA esok (hari ini) ," katanya.
Menurutnya, dia berharap rakan
sepasukan dapat memberikan aksi yang tidak mengecewakan kerana Malaysia sudah
terlalu lama menanti pingat emas acara ini.
Katanya, semangat tidak kenal
erti putus asa seperti yang dipamerkan ketika menang ke atas Thailand pada aksi
peringkat kumpulan perlu dikekalkan jika mahu menang ke atas Vietnam.
"Sebagai ketua pasukan tiada
apa yang saya harapkan selain daripada pemain memberikan aksi terbaik pada
perlawanan akhir nanti.
"Kita sudah mendapat peluang
terbaik untuk mencipta sejarah membawa pulang emas apabila mara ke perlawanan
akhir, jadi usah kecewa lagi kerana kesempatan sebegini tidak mudah dicapai.
"Saya yakin jika para pemain
memberikan persembahan pada tahap terbaik, hajat untuk menang akan
tercapai," katanya.
Mengenai kehadiran semula
adiknya, Zaquan Adha yang pulih daripada masalah mata, Aidil berkata, dia tidak
kisah siapa yang akan diturunkan di bahagian depan.
"Tak kisah siapa yang akan
beraksi, walaupun bukan adik saya, saya hanya mengharapkan pemain yang diberi
tanggungjawab merealisasikan impian pingat emas, bermain dengan baik,"
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YhFjEYXo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan