Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Zaquan Adha Abdul Razak (kiri)
diasak pemain Maldives pada perlawanan persahabatan di Stadium UiTM, Shah Alam,
semalam.
SHAH ALAM Maldives memberikan
pelajaran penting buat skuad bola sepak bawah 23 Malaysia menjelang Sukan SEA
Laos, bulan depan supaya jangan sesekali membazirkan setiap peluang yang hadir
biarpun menguasai sesuatu perlawanan.
Kekalahan 0-1 hasil jaringan
sepakan penalti oleh ketua pasukan lawan, Ali Asafag semalam melenyapkan
deretan peluang keemasan anak buah K. Rajagobal dalam perlawanan pemanas badan
sebelum aksi sulung menentang Timor Leste di Laos, Rabu ini.
Malah perlawanan persahabatan di
Stadium UiTM, Shah Alam itu sepatutnya menyebelahi skuad belia negara dengan
kelebihan empat hingga lima gol menerusi percubaan Zaquan Adha Abdul Radzak,
Baddrol Bakhtiar, Razali Umar Kandasamy, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim.
Sebagai jurulatih memang saya
kecewa kerana pasukan kita yang menguasai perlawanan dan kerap menyerang malah
wajar menang 4-1 atau 5-1 tetapi kegagalan itu mengajar pasukan bahawa mereka
perlu lebih serius dengan setiap peluang gol yang datang.
Mujur ia berlaku dalam
persahabatan dan sempat diperbaiki selain saya cuba melihatnya sebagai satu
peluang menguji beberapa lagi pilihan pemain, katanya yang meletakkan sasaran
mara ke separuh akhir Sukan SEA daripada Kumpulan A yang turut mengandungi juara
bertahan, Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Rajagobal bagaimanapun mengakui
kesuntukan masa untuk mendapatkan satu lagi perlawanan persahabatan sebagai
ujian kedua dalam tempoh dua hari tidak termasuk cuti hari ini sempena
Aidiladha apatah lagi anak buahnya akan berlepas ke Laos, Isnin ini.
Babak pertama menentang Maldives,
menyerlahkan bayangan pilihan utama Malaysia bagi Sukan SEA Laos seperti Mohd.
Sabre Mat Abu, Aidil Zafuan Radzak, Baddrol, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad, Azmi
Muslim, Zaquan Adha, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Amar Rohidan dan
Ahmad Fakri Saarani.
Sekalipun cuma dua tempat
diperuntukkan bagi posisi penjaga gol di Laos, Rajagobal mengambil kesempatan
semalam untuk menguji pemain Terengganu, Sharbinee Allawee dan Syed Adney Syed Hussein
sambil merehatkan pilihan utamanya, Farizal Marlias.
Jurulatih itu mengakui,
sebahagian besar pemain bawah 23 yang menentang Uzbekistan dalam dua perlawanan
Kelayakan Piala Asia 2011 di Tashkent dan Bukit Jalil pada 14 dan 18 November
lalu, akan dipertaruhkan semula ke temasya dwitahunan ke-25 itu.
Antara 15 hingga 16 pemain skuad
yang ditewaskan Uzbekistan 3-1 termasuk segelintir mereka yang berpengalaman
Sukan SEA Korat 2007, sudah berada di kotak fikirannya tetapi pemilihan
muktamad 20 orang yang terbaik mahu ditangguhkannya sehingga Ahad ini.
Malaysia kali terakhir memenangi
emas Sukan SEA pada 1989 di Kuala Lumpur tetapi kempunan sebarang pingat di
Korat 2007, akan menentang Vietnam pada 6 Disember diikuti Kemboja, dua hari
kemudian dan Thailand (11 Disember).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5Yfh4GhMw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan