ARKIB : 02/12/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRSI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Acara bola sepak
membuka tirai temasya sukan dwi-tahunan Sukan SEA ke-25 Laos apabila pasukan
negara beraksi menentang Timor Leste hari ini dengan skuad bimbingan K.
Rajagobal turun dengan misi 'wajib menang'.
Keputusan perlawanan Kumpulan A
di Stadium Nasional di Vientiane yang dijadual bermula pada pukul 3 petang
waktu Malaysia, bakal menjadi penentu sejauh mana skuad negara mampu mara
setelah diundi dalam kumpulan maut bersama Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Skuad kebangsaan tiada pilihan
selain daripada memungut tiga mata penuh ke atas Timor Leste.
Ini kerana tiga mata dari
perlawanan hari ini akan mencerahkan peluang Malaysia memburu sasaran ke
separuh akhir.
Rajagobal berkata, menumbangkan
Timor Leste, di ranking ke-200 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) perlu
dilaksanakan dan tiada alasan jika gagal melaksanakannya.
''Di atas kertas, memang kita
pasukan pilihan. Dan kita harus sedar Malaysia masih dianggap sebagai antara
pasukan terbaik di rantau ini.
''Ia mengiringi Timor Leste
apabila menentang kita untuk mereka beraksi bermati-matian.
''Untuk itu, pemain perlu lebih
serius serta tidak memandang rendah terhadap keupayaan lawan,'' katanya.
Skuad bawah 23 negara berlepas ke
Laos menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi semalam
setelah penerbangan kelmarin ditunda kerana tidak mendapat kelulusan mendarat
awal daripada Laos.
Tanpa perlu terlalu memikirkan
soal kelewatan tiba di Laos, para pemain harus segera mengetepikan masalah
penerbangan yang tertunda dengan memberi fokus sepenuhnya apabila menentang
Timor Leste.
Para pemain perlu mengelak
daripada menerima kejutan kerana kekuatan dan keupayaan Timor Leste boleh
disifatkan 'misteri'.
Malah Rajagobal sendiri tidak
mengetahui kemampuan sebenar pasukan bola sepak Timor Leste.
Kayu ukur kekuatan Timor Leste
hanya disaksikan oleh Rajagobal dua tahun lalu pada kejohanan Bawah 19
Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) di Palembang .
"Walaupun mereka kalah,
tetapi mereka begitu sukar ditundukkan oleh pasukan handal seperti Singapura.
"Saya rasa Timor Leste ada
kelebihan tersendiri,'' katanya.
Di atas padang, Rajagobal sudah
mendapat 'skuad impian' 20 pemain yang bakal menggapai misi ke separuh akhir.
Syed Adney Syed Hussein terpaksa
memberi laluan kepada Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias di posisi
penjaga gol.
Aidil Zafuan Radzak bakal memikul
tugas sebagai ketua pasukan di Laos. Dia merupakan antara enam pemain daripada
skuad Sukan SEA Korat 2007 yang gagal meraih pingat selain adik kembarnya,
Zaquan Adha Radzak di samping Farizal, Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan
Talaha dan Safiq Rahim.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YfqaBaqP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan