ARKIB : 30/11/200
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
K. RAJAGOBAL (kiri) memberi
amanat terakhir kepada skuad bola sepak negara pada sesi latihan di Kelana
Jaya, semalam. Turut kelihatan, Syed Adney Syed Hussein (dua dari kiri).
PETALING JAYA Syed Adney Syed
Hussein, 23, menerima hadiah hari jadi mengejut yang turut membawa berita
sedih semalam apabila tidak terpilih dalam skuad 20 pemain bola sepak bawah 23
negara ke Sukan SEA Laos, bulan depan.
Penjaga gol Kelantan bagi musim
depan yang menjadi pilihan utama Sukan SEA Korat 2007 itu terpaksa memberi
laluan kepada dua pesaingnya, Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias yang
lebih memikat jurulatih negara, K. Rajagobal.
Turut tiada untuk menyahut
cabaran Kumpulan A yang bermula dengan menentang Timor Leste di Vientiane, Rabu
ini ialah dua penyerang, Razali Umar Kandasamy dan Farderin Kadir serta
penjaring terbanyak Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali.
Saya perlu beri peluang kepada
Sharbinee selepas melihat prestasi semasanya dalam latihan dan menentang
Maldives (persahabatan, Khamis lalu). Adney kena mengambilnya secara
profesional lagipun dia sudah kerap bermain dalam skuad kebangsaan dan bawah
23.
Saya tidak akan melupakannya
begitu sahaja selepas ini dan dia wajar menjadikannya perangsang untuk beraksi
lebih baik, katanya selepas mengendalikan hari terakhir sesi latihan pasukan
di Wisma FAM, Kelana Jaya, sebelum berangkat ke Laos, hari ini.
Mengenai pengguguran Razali,
Rajagobal berkata: Dia mulanya memberitahu tiada pengangkutan untuk datang
sini selepas diberi cuti Hari Raya Haji (Jumaat lalu) tetapi sehingga hari ini
(semalam), dia masih tidak muncul dan saya hairan.
Saya tidak boleh bertolak ansur
dengan soal disiplin seperti ini walaupun dia mulanya berpeluang cerah untuk
dipilih, katanya yang kecewa dengan sikap penyerang Perak itu yang turut
membazirkan banyak peluang gol ketika menentang Maldives di Shah Alam.
Pemilihan semalam kata Rajagobal,
turut menamakan bek tengah, Aidil Zafuan Radzak sebagai ketua pasukan di Laos
yang juga bakal berdepan juara bertahan, Thailand di samping Vietnam dan
Kemboja dalam Kumpulan A.
Sejak mengenalinya dalam skuad
Bawah 20 negara, saya mahu dia fokus dengan tugas itu kali ini malah saya mahu
dia bertanggungjawab bukan sahaja kepada saya bahkan pasukan ini dan negara,
katanya.
Bagaimanapun jurulatih itu
mengakui dia mengambil masa yang panjang termasuk mendapatkan pandangan
pembantunya, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas sebelum menamakan 20 pemain ke
Sukan SEA.
Hanya enam pemain daripada skuad
Korat 2007 yang kempunan pingat, dipilih semula Rajagobal ke Laos iaitu Aidil
dan adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak di samping Farizal, Amirulhadi Zainal,
Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim
Kata Aidil, 22: Keserasian
pasukan kali ini lebih mantap berbanding skuad 2007 kerana 80 peratus pemainnya
daripada skuad Bawah 20 dan sudah saling mengenali. Begitu juga dari segi
semangat sepasukan apatah lagi sudah 20 tahun kita tidak menang emas Sukan SEA.
Tentang pemilihan pemain, ia yang
terbaik buat jurulatih dan negara. Kami pemain hanya perlu menjalankan tugas di
tengah padang. Saya juga berazam menebus kekecewaan tidak beraksi dua
perlawanan di Korat lalu (digantung kerana kad merah Kelayakan Piala Dunia),
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Yfk0I1Ho
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan