ARKIB : 27/05/2010
Zaquan tagih kesetiaan penyokong
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Zaquan Adha Abdul Razak
KUALA LUMPUR - Entah di mana
silapnya, selepas memenangi Piala FA pada awal musim, skuad Negeri Sembilan
terus dihambat prestasi tidak menentu, malah tewas mengejut dalam beberapa
perlawanan mudah.
Yang terbaru, Negeri Sembilan
sekadar seri 1-1 ketika bertemu KL Plus dan tunduk mengejut 1-2 di tangan Kuala
Lumpur semasa beraksi di gelanggang sendiri.
Berkedudukan di tangga kelapan,
skuad Hoben Jang Hoben kini semakin menghampiri ke kelompok bawahan liga kerana
hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan Kuala Lumpur dan tiga mata ke atas
Pahang.
Jika nota kekalahan terus
dicatatkan dalam beberapa perlawanan seterusnya, skuad bimbingan Wan Jamak Wan
Hassan itu bakal berdepan musibah besar dan mungkin akan mengakhiri kempen Liga
Super di luar 10 pasukan terbaik.
Oleh itu, penyerang dan bintang
Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak meminta seluruh peminat setia skuad
itu dapat terus memberikan sokongan ketika mereka sedang melalui saat yang
sukar.
''Sokongan padu daripada amat
penyokong amat ditagih kerana ia secara tidak langsung dapat menaikkan kembali
moral saya dan rakan-rakan untuk bangkit dalam beberapa perlawanan akan datang.
''Jangan semasa kita berada di
kemuncak prestasi sahaja, peminat baru hendak turun memberikan sokongan.
''Sebenarnya, dalam masa inilah
peminat perlu membuktikan kesetiaan mereka dan memberikan sokongan tidak
berbelah bahagi kerana ia dapat memberikan keyakinan kepada kami untuk terus
beraksi lebih baik,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Zaquan, tiada sebarang
masalah yang berlaku dalam skuad cuma beberapa masalah kecederaan yang dilihat
sedikit mengganggu rentak persembahan Negeri Sembilan secara keseluruhan.
''Antaranya Mohd. Alif Samsudin
masih dilanda kecederaan sementara kapten, Rezal Zambery Yahya pula belum habis
menjalani penggantungan.
''S. Kunanlan baru sahaja pulih
dan ketiadaan mereka semua membuka peluang kepada beberapa pemain muda yang
tidak berpengalaman dan itu serba sedikit menjejaskan peluang kami mencatatkan
kemenangan, '' katanya.
Selain itu, Zaquan menyifatkan
nasib sentiasa tidak menyebelahi pasukannya walaupun banyak menguasai bola
dalam perlawanan.
''Ketika kami berdepan Kuala
Lumpur, boleh dikatakan kami yang banyak menyerang tetapi kami tetap kalah
walaupun banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol,'' ujarnya.
Namun, dia tetap optimis Negeri
Sembilan berpeluang mengutip tiga mata penuh ketika melayani kunjungan Johor,
Sabtu ini.
''Bagaimanapun, saya tidak mahu
bersikap terlalu yakin kerana kelak itu boleh menghukum kita namun saya anggap
ini perlawanan terbaik buat kami mengembalikan keyakinan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5aE18HKTo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan