ARKIB : 06/12/2009
Daripada SAYED HESHAM IDRIS dan
NORZIE MOHD. KHASBI
sukan@utusan.com.my
VIENTIANE - Menyekat permainan
pantas Vietnam menjadi misi utama ketua pasukan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul
Radzak untuk skuad kebangsaan membenam Vietnam apabila kedua- dua pasukan
berentap pada acara bola sepak Sukan XXV Laos hari ini.
Aidil, yang menjadi tonggak
pertahanan berkata, permainan pantas Vietnam digerakkan oleh ketua pasukan
mereka, Phang Thanh Luang dan penyerang Phang Thanh Binh.
Lantaran itu, katanya, dia dan
rakan-rakan di benteng pertahanan sudah mengatur strategi untuk mengikat
kedua-dua pemain tersebut demi memastikan skuad kebangsaan meraih keputusan
yang diharapkan.
"Pada keseluruhan, permainan
kita dan Vietnam tidak banyak beza, cuma mereka lebih pantas.
"Saya telah mengenalpasti
dua pemain mereka yang menjadi nadi penggerak corak kepantasan mereka.
"Untuk itu, kedua-dua
tonggak pemain lawan yang mencetuskan pergerakan pantas di bahagian serangan,
akan kami 'ikat' pada perlawanan esok, (hari ini)" katanya ketika ditemui
semalam.
Aidil turut melaungkan keazaman
untuk segera menyelesaikan tugasan bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir
jika menang ke atas Vietnam.
"Jika kita menang, peluang
kita untuk ke separuh akhir agak cerah. Saya tidak mahu memikirkan soal lain,
selain daripada mencapai misi menghampiri separuh akhir dengan cara mendapatkan
tiga mata penuh hari ini.
"Saya tidak mahu bergantung
harapan untuk ke separuh akhir berdasarkan keputusan lain-lain pasukan,"
katanya.
Lebih dari itu, kata Aidil, dia
mahu membalas dendam kerana Vietnam mengalahkan Malaysia 3-1 pada saingan
peringkat kumpulan Sukan SEA 2007 di Korat.
"Pada perlawanan tersebut,
saya hanya berada di tempat duduk kerana digantung.
"Kini saya berpeluang untuk
menebus kekalahan dua tahun lalu yang menyebabkan kita gagal melepasi separuh
akhir," ujarnya.
Mengenai kemenangan 11-0 ke atas
Timor Leste pada perlawanan pembukaan acara bola sepak Sukan SEA, yang
diperkecilkan oleh sesetengah pihak kerana bagi mereka ia bukan lawan sebenar
Malaysia, Aidil tidak peduli dengan cakap-cakap negatif itu.
"Apa yang penting kami
menang dan meraih tiga mata penuh, tak kisah berapa jaringannya dan siapa lawan
kami.
"Kami berpegang pada prinsip
menghormati semua lawan, tak kira Timor Leste atau Vietnam.
"Walaupun kemenangan kami
diperkecilkan, kemenangan tempoh hari memberi semangat untuk kami meneruskan
misi di Laos ini," katanya. - MINGGUAN
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Yg0tWMEk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan