Isnin, 3 Disember 2018

Akibat keputusan kurang tepat pengadil


ARKIB : 07/12/2009
JIKA Selasa lalu, skuad bola sepak kebangsaan menjadi bualan pada Sukan SEA XXV Laos kerana membelasah Timor Leste 11-0, semalam, skuad bola sepak kita sekali lagi mencuri tumpuan.

Tindakan penyerang kebangsaan Zaquan Adha Abdul Razak yang cuba menyerang pengadil perlawanan ketika kalah 1-3 kepada Vietnam menjadi topik paling hangat diperkatakan, di tengah-tengah bahang Sukan SEA XXV yang akan dirasmikan Rabu ini.

Berang dengan keputusan pengadil, Zaquan Adha tanpa diduga menerpa ke arah pengadil, namun sempat dihalang oleh rakan sepasukan.

Mujur insiden tersebut tidak berpanjangan kepada kekecohan lebih besar.

Secara profesionalnya, tindakan Zaquan yang cuba menyerang pengadil perlawanan Kim Jong Hyeok dari Korea Selatan memang tidak wajar.

Namun, jika dinilai, pemain kelahiran Negeri Sembilan ini bukanlah seorang yang panas baran sehingga mudah hilang pertimbangan.

Tindakannya cuba menyerang pengadil disifatkan amat tidak diduga.

Inilah akibatnya apabila keputusan pengadil yang sering tidak tepat, kekasaran yang sepatutnya diberi amaran sebaliknya 'dihadiahkan' kad.

Apa yang peliknya, kesalahan kerap dituding ke arah pemain Malaysia.

Ketika penulis bertanyakan kepada seorang rakan petugas media Vietnam mengapa agaknya Zaquan sanggup mengetepikan akibat tindakannya menyerang pengadil, wartawan tersebut menjelaskan: "Pemain No. 8 Malaysia mungkin amat marah... Dia berada di dalam keadaan marah yang amat sangat terhadap pengadil."

"Kesalahan pemain No. 8 anda tidak sepatutnya dilayangkan kad merah oleh pengadil," tambah wartawan itu.

Demikian penilaian wartawan tersebut terhadap insiden yang hampir mencetuskan kekecohan besar.

Inilah kesimpulannya. Kemarahan melampau menyebabkan Zaquan Adha hilang pertimbangan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5YgUOcrLU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan