ARKIB :
11/12/2010
Oleh MUHAMMAD
DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Norshahrul
Idlan Talaha menjadi taruhan terbaik K. Rajagobal untuk meledak gol apabila
Malaysia berdepan Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di
Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.
KUALA LUMPUR -
Berdepan Vietnam pada separuh akhir Piala Suzuki AFF sebenarnya memberikan
kelebihan kepada skuad negara untuk melangkah ke perlawanan akhir, berbanding
jika menentang Filipina.
Pemain negara
yang tidak dapat beraksi akibat cedera, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak juga
menganggap kelebihan sebenarnya berpihak kepada Malaysia kerana bertemu
Vietnam, kerana rakan-rakannya sudah banyak kali bertemu pasukan itu di
peringkat Sukan SEA atau Piala AFF.
''Kebanyakan
pemain negara sudah masak dengan taktikal dan corak permainan Vietnam. Saya
yakin ini memudahkan tugas jurulatih (K.Rajagobal) untuk merangka strategi yang
sesuai dan berkesan.
''Setiap kali
berdepan Vietnam pada perlawanan sebelum ini, terutama pada Sukan SEA, semangat
kami pasti membara untuk menewaskan mereka, memandangkan status mereka sebagai
pasukan No. 1 Asia Tenggara.
''Jika berdepan
Filipina, kita mungkin terlalu asing dengan corak permainan mereka, apatah lagi
skuad itu berwajah baru kerana mendapat sentuhan ramai pemain baru, '' katanya
ketika dihubungi, semalam.
Walaupun rekod
pertemuan banyak memihak kepada Vietnam, Aidil menegaskan setiap perlawanan
adalah berbeza dan rakan-rakannya tidak harus bimbang mengenai rekod pertemuan
lalu.
''Pada
kejohanan Piala Millenium Thang Long pada September lalu, kita tewas kepada
Vietnam.
Namun, jelasnya
Malaysia menang pada penentuan pingat emas Sukan SEA di Laos, tahun lalu.
"Jadi saya
anggap peluang kedua-dua pasukan seimbang, biarpun mungkin sebelum ini Vietnam
banyak kali menang ke atas Malaysia, '' ujarnya.
Mengenai
kekuatan Vietnam berdasarkan pengalamannya, Aidil mengakui skuad bimbingan
Henrique Calisto mempunyai beberapa kualiti yang harus diberikan perhatian.
''Vietnam
sebuah pasukan yang bekerja keras, sentiasa mencabar pemain lawan ketika
menguasai bola dan tidak kenal erti putus asa malah tempo permainan mereka
begitu pantas.
''Namun, saya
percaya kekuatan skuad kita boleh mengimbangi dengan kelebihan yang kita ada.
''Saya lihat
Vietnam lebih tertekan kerana mahu mempertahankan kejuaraan,'' ujarnya.
Aidil berharap
Malaysia mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Rabu ini, sebelum
ke Hanoi untuk perlawanan kedua pada 18 Disember ini.
''Kemenangan di
tempat sendiri dapat membantu psikologi pemain sebelum bertandang ke tempat
lawan, di samping mengelak tekanan berlebihan, '' katanya.
Kongsi Konten
di :
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44U2F2cDd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan