WARTAWAN SINAR HARIAN | | 4
Oktober 2019

Aksi pemain pertahanan
kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak (tengah) pada hari pertama sesi
latihan pasukan tersebut sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan kedua
Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 hari ini. - Foto Bernama
HARIMAU Malaya diminta mengurangkan
kesilapan dan kekal fokus sepanjang perlawanan jika berhajat meraih kemenangan
ketika menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi Khamis depan.
Tonggak pertahanan, Aidil Zafuan
Abd Radzak berkata, melihat kepada aksi bertemu Indonesia dan Emiriah Arab
Bersatu (UAE) bulan lalu, tidak banyak perubahan yang harus dilakukan,
sebaliknya Harimau Malaya perlu mengurangkan kesilapan ketika bertahan selain
fokus dalam aspek serangan.
“Kita dah tengok corak permainan
Vietnam dan pernah bertemu mereka sebelum ini, kita tahu semua pemain mereka
pantas. Jadi sebagai benteng pertahanan, kita perlu mengawasi kepantasan
pemain-pemain mereka.
“Melalui pengalaman bertemu
mereka sebelum ini, saya mungkin boleh membaca sedikit sebanyak cara permainan
mereka. Insya-ALLAH apabila bertemu Vietnam nanti, saya akan gunakan pengalaman
ini untuk mematahkan serangan mereka,” katanya pada sidang media di Stadium
Nasional Bukit Jalil hari ini.
Mengulas kepercayaan diberikan
pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang kembali menagih khidmatnya, Aidil
mengakui sedikit tertekan dengan tugas berat itu, namun menyifatkan ia adalah
perkara biasa sebagai seorang pemain.
“Bagi saya, tekanan boleh
menjadikan saya lebih fokus dalam permainan dan sebagai senior, saya perlu bagi
apa yang saya ada untuk pasukan. Begitupun, ia tak bermakna sebagai pemain
senior saya boleh buat apa yang saya suka, sebaliknya perlu mengikut
perancangan pasukan,” jelasnya.
Pada masa sama, Aidil menyifatkan
kepulangannya dalam skuad Harimau Malaya merupakan satu pengiktirafan tertinggi
untuk dirinya bagi terus menabur bakti bersama skuad kebangsaan.
“Memang kecewa apabila tidak
dapat bersama rakan sepasukan apabila berjuang di tengah padang dan sebagai
pemain, kita kena terima perkara itu dengan positif dan perlu bekerja keras
untuk meraih kembali tempat dalam skuad utama.
"Perasaan apabila tengok
rakan sepasukan beraksi menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)
bulan lepas membuat saya teruja untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan
"Terima kasih kepada
jurulatih (Cheng Hoe) yang memberi peluang kepada saya,” kata Aidil yang telah
mencatat 82 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan sejak 2007.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/50620/BERITA/Sukan/Pengalaman-jadi-taruhan-Aidil©
2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan