SUKAN»Bola
Selasa, 29 Oktober 2019 | 9:25pm
Zaquan, Aidil mohon restu ibu sebelum aksi final
Oleh Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

ALOR SETAR: Seperti lazimnya, Zaquan Adha Abdul Radzak
tidak akan melepaskan peluang menghubungi ibunya bagi mendapatkan restu dan doa
kejayaan buat dirinya setiap kali turun beraksi mewakili pasukannya, Kedah.
Dan bagi aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada
perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, dia
juga sudah pasti akan berbuat demikian.
Langkah sama juga, lazimnya akan juga dilakukan oleh
kembarnya, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada setiap aksi. Dan sudah pasti, ia akan
turut dilakukannya apabila turun mewakili skuad Harimau Selatan bertemu skuad
Helang Merah pada aksi final piala berprestij itu.
"Setiap kali sebelum sebarang perlawanan, saya akan
menghubungi ibu untuk meminta restu daripada beliau bagi mendoakan kejayaan
saya dan pasukan dalam perlawanan. Begitu juga abang saya. Selalunya dalam
perlawanan lain, pasukan yang kami wakili akan menentang pasukan lain. Jadi
perkara itu menjadi biasa,
“Namun kali ini agak berbeza kerana kedua-dua pasukan
yang kami wakili akan bertembung di final Piala Malaysia. Dan ini tentunya
menimbulkan persoalan buat ibu kami yang mahu mendoakan kejayaan buat anak
kembarnya ini.
"Saya pun tak tahu bagaimana ibu menghadapi keadaan
ini walaupun dia tetap berdoa untuk kejayaan kami berdua,” katanya ketika
dihubungi hari ini.
ZAQUAN Adha Abdul Radzak (kiri) dan Aidil Zafuan Abdul
Radzak. - Foto Hairul Anuar Rahim
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 29 Oktober 2019 |
9:25pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan