MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

PENJARING gol pertama Johor Darul
Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak menghadiahkan kejayaan pasukan
menjuarai Piala Malaysia musim ini kepada penyokong skuad selatan tanah air itu
selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Kedah dalam final di Stadium Shah Alam,
malam tadi.
Tonggak pertahanan tengah itu
berkata, ia hadiah istimewa buat penyokong setia Harimau Selatan yang sentiasa
berada di belakang kelab sepanjang musim ini.
“Sudah tentu ia sangat istimewa
apabila dapat menjaringkan gol penting terutama dalam perlawanan akhir dan saya
gembira dapat membantu Johor meraih kemenangan sekali gus juara Piala
Malaysia,” katanya.
Pada pertemuan itu, Johor DT
mengejutkan Kedah seawal minit kedua hasil tandukan Aidil sebelum pemain import
dari Argentina, Gonzalo Cabrera melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-63 yang
menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.
PEMAIN Johor DT meraikan
kemenangan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI
SAALI
Ujar pemain berusia 30 tahun itu
lagi, semua pemain wajar dijulang sebagai wira selepas mereka bertungkus-lumus
mencipta kemenangan bermakna, pada aksi kemuncak yang penuh dramatik itu.
“Gol pertama itu memang penting
untuk menaikkan semangat kami. Saya hanya menjalankan tugas dan memang tanggungjawab
saya sebagai pemain cuba menjaringkan gol walaupun beraksi di bahagian
pertahanan.
“Apapun, saya ucap terima kasih
kepada semua termasuk pengurusan pasukan, jurulatih dan penyokong. Musim ini
amat mencabar buat kami, namun kami berjaya akhiri saingan dengan satu lagi
catatan sejarah buat kelab,” katanya.
Kejayaan merampas Piala Malaysia
itu memastikan trofi berprestij itu kembali menuju ke selatan tanahair selepas
Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.
Transformasi yang berlaku ke atas
kelab itu pada 2013 dengan menggunakan nama baru iaitu, Johor DT meletakkan
mereka kini sebagai raja bola sepak tanahair apabila mendominasi saingan
tempatan dengan merangkul Liga Super sebanyak empat kali (2014, 2015, 2016,
2017) dan Piala Sumbangsih dua kali (2015, 2016) selain menjulang Piala FA dan
Piala AFC sekali, masing-masing pada 2016 serta 2015.
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim meraikan kemenangan Johor DT bersama penyokong di Stadium Shah
Alam. FOTO/ASYRAF HAMZAH
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Ahad, 5 November 2017 @ 12:01 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan