SUKAN»Bola
Khamis, 27 Jun 2019 | 12:06pm

Pasukan JDT meraikan kemenangan kali ke-6 berturut-turut
pada perlawanan Liga Super 2019 selepas menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium
Hang Jebat, Krubong. Mohd Aidil Zafuan (duduk kiri). - Foto Rasul Azli Samad
Kejuaraan untuk rakyat Johor - Aidil Zafuan
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Tiada apa yang paling mengembirakan buat pemain
senior Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak melainkan
menzahirkan kepuasan tidak terhingga selepas membantu skuad terbabit menjulang
kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut.
Walaupun menang tipis 2-1 menewaskan Melaka United (MU)
2-1 di Stadium Hang Jebat malam tadi, namun ia sudah cukup buat skuad terbabit
kekal unggul tanpa mampu dicabar mana-mana lawan sepanjang enam musim.
Baginya, ia ada antara memori terindah yang berjaya
diukir sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2012, walaupun turut
mencatat banyak kejayaan lain sepanjang penyertaannya.
Namun baginya bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan
keenam berkenaan berikutan terpaksa mengharungi ujian getir dan saingan sengit
semua lawan dalam tempoh terbabit.
“Apapun kali ini pastinya kami turut berjaya memenuhi
perancangan sejak pra musim untuk memastikan kejuaraan terus menjadi milik JDT.
“Kejayaan peribadi ini juga sebagai hadiah kepada seluruh
rakyat Johor dan pastinya juga kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail
Sultan Ibrahim, yang menjadi tulang belakang buat skuad Harimau Selatan,”
katanya.
Bagaimanapun, dia dan semua rakan sepasukan tetap kental
fokus pada baki empat perlawanan berikutan saingan masih belum berakhir.
Aidil berkata, selepas mencatat sejarah berkenaan
pastinya rekod bersih tanpa kalah juga ingin dikekalkan sekali gus melakar
keceriaan berganda buat penyokong setia.
Pada aksi malam tadi, JDT menguasai hampir keseluruhan
babak pertama, menerusi jaringan Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan import Brazil,
Diago Santo (m-26) yang sudah cukup meletakkan kejuaraan milik skuad berkenaan.
MU cuba bangkit memberi saingan agresif pada 45 minit
kedua, namun tuan rumah sekadar mampu menghasilkan satu gol menerusi kapten
pasukan, Mohd Shukor Adan ketika aksi berbaki enam minit.
Pengurus JDT, Luciano Figueroa turut meluahkan rasa
gembira dengan kemenangan berkenaan sekali gus mempertahankan kejuaraan liga
buat kali keenam tanpa perlu menunggu hujung musim.
Malah katanya, perasaan lebih manis dikecapainya ketika
ini sebagai penurus dan ia sukar digambarkan ketika mengecapi kejayaan ketika
sebagai pemain.
Dia yang menyarung jersi JDT 2014-2018 berkata, pemain
melaksanakan tugasan dengan baik menerusi kawalan bola yang aktif, mencipta dan
melakukan percubaan ke gawang lawan.
Katanya, kejayaan tidak berhenti di sini, sebaliknya mahu
skuad berkenaan kekal rekod bersih tanpa kalah pada baki saingan sebelum fokus
kepada saingan Piala Malaysia.
Penyokong setia skuad terbabit juga memasuki padang
perlawanan sebaik perlawanan tamat sambil mengucapkan tahniah kepada pemain dan
pengurusan.
Lebih mengejutkan peminat MU juga turun dilihat memasuki
padang untuk memberi tahniah kepada pemain skuad Hang Tuah yang turut berusaha
memberi tentangan hebat kepada pelawat.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 27 Jun 2019 | 12:06pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan