ARKIB : 06/10/2008
PETALING JAYA - Jika diberi
pilihan sama ada bermain di Liga Slovakia atau Malaysia, penyerang negara
Zaquan Adha Radzak cenderung untuk berkelana ke negara Eropah Tengah itu, lapor
FERZALFIE FAUZI.
Bukan memikirkan soal gaji atau
popular tetapi pendedahan beraksi di luar negara mampu meningkatkan mutu
permainannya seterusnya memantapkan lagi pasukan kebangsaan.
''Selepas beraksi dalam empat
perlawanan persahabatan di Slovakia saya telah dimaklumkan oleh ejen bola sepak
di sana, saya akan diberi peluang untuk beraksi bersama salah sebuah pasukan
Liga Divisyen Satu Slovakia,'' katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, buat masa ini dia dan
abangnya Aidil Zafuan Radzak hanya menunggu surat dari kelab tersebut dan sudah
tidak sabar untuk beraksi di sana.
''Saya tidak nafikan beberapa
pasukan dalam liga tempatan ada menawarkan untuk mendapat khidmat saya tetapi
kalau semua urusan bersama kelab Slovakia itu berjalan lancar saya akan ke
sana.
''Buat masa ini saya masih
mempunyai kontrak bersama pasukan Negeri Sembilan sehingga hujung tahun ini,''
katanya.
Zaquan juga amat berpuas hati
dengan pendedahan skuad kebangsaan di Slovakia kerana memberi impak yang besar
buat semua pemain.
''Corak permainan mereka sangat
berbeza dan kami menentang dengan pasukan yang bagus, sukar untuk mendapat
lawan seperti itu jika kami menghabiskan masa berlatih di dalam negara sahaja.
''Mereka sudah mempunyai asas
yang kukuh dalam sukan bola sepak, perkara itu sahaja sudah dapat membezakan
antara pemain kita dan mereka (Slovakia),'' kata Zaquan.
Sementara itu Jurulatih pasukan
kebangsaan, B.Sathianathan berkata, negara Asia yang beraksi di Piala Dunia
seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran semuanya menghantar pemain mereka beraksi
di Eropah kecuali Arab Saudi.
''Negara Asia yang beraksi di
Piala Dunia mempunyai pemain yang beraksi di luar negara mereka kecuali Arab
Saudi tetapi pasukan Timur Tengah itu sentiasa berada di tempat tercorot dalam
Piala Dunia.
''Kalau mahu pemain kita maju
seperti negara-negara tersebut mereka sepatutnya dihantar beraksi di luar,
sekurang- kurangnya di Jepun atau negara Asia yang lain,'' kata Sathia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50X4n6v6h
© Utusan Melayu (M) Bhd