Rabu, 5 September 2018 | 4:26pm

ZAQUAN Adha
Jiwa Malaysia lebih penting bukan
reputasi
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang Harimau
Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak menganggap pemain yang dibawa oleh jurulatih,
Tan Cheng Hoe ke Taiwan hari ini tetap memiliki kekuatan tersendiri meskipun
tanpa beberapa tonggak.
Pemain berusia 31 tahun itu
berkata, status pemain tidak penting sebaliknya jiwa Malaysia perlu ada kepada
semua pemain untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya.
"Saya percaya setiap pemain
ada kelebihan masing-masing, Safawi (Rasid) ada kelebihannya, Syafiq (Ahmad)
ada kelebihannya dan pemain yang ada bersama pasukan sekarang juga ada
kelebihan masing-masing.
"Saya yakin dengan pemain
yang ada, masing-masing ada kelebihan tersendiri, yang penting keharmonian
dalam pasukan dan jiwa untuk bermain demi negara itu lebih penting untuk
mencapai kemenangan," kata Zaquan.
Cheng Hoe hanya membawa 22 pemain
ke Taiwan kerana lima pemain iaitu penyerang muda sensasi Safawi, Syafiq, Adam
Nor Azlin, Rizal Ghazali dan Norshahrul Idlan Talaha meminta pengecualian
akibat masalah kecederaan, kepenatan dan urusan keluarga.
Selain itu, lapan pemain daripada
skuad yang menewaskan Fiji 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 5
Julai lalu di Cheras tidak disenaraikan kali ini.
Sudah pasti ini memberi ruang
kepada pemain baharu untuk membuktikan kemampuan untuk merebut tempat
memandangkan Cheng Hoe dijangka akan memanggil skuad sebenar ke Piala AFF pada
tiga aksi persahabatan terakhir menentang Sri Lanka, Republik Kyrgyz dan
Maldives bulan depan.
"Betul, pemain perlu ambil
serius. Dalam latihan pemain kena tunjukkan bakat untuk beraksi di peringkat
antarabangsa, jika diberi peluang tapi tak guna itu satu kerugian kerana
bermain dengan skuad kebangsaan akan beri impak dan tingkatkan tahap kita.
"Insya-Allah, saya harap
dapat beraksi semula bersama pasukan kebangsaan, perlawanan persahabatan ini
penting untuk memperbaiki ranking kita sebelum ke Piala AFF," kata Zaquan
yang meledak empat gol ketika menewaskan Bhutan pada aksi persahabatan
antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 April lalu.
Selepas Taiwan, anak buah Cheng
Hoe akan ke Phnom Penh bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Kemboja,
Isnin ini.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
5 September 2018 | 4:26pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan