Isnin, 4 Februari 2019

Safee, Aidil sanggup pikul tugas kapten

ARKIB : 28/07/2011
 
Pemain-pemain Malaysia ceria menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang pertemuan menentang Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 malam ini . - utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR - Tatkala pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal masih berteka-teki siapakah bakal memakai lilitan lengan kapten pada perlawanan getir menentang Singapura hari ini, dua calonnya, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak menyatakan kesediaan untuk menggalas tugas berat itu.

Salah seorang mereka yang disenarai pendek Rajagobal mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan ketua pasukan, Safiq Rahim selepas dia dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama di Singapura tempoh hari.

Rajagobal bagaimanapun masih mahu merahsiakan sehinggalah pada sesi taklimat pagi ini.

Penyerang berbisa, Mohd. Safee berkata, dia sudah bersedia memimpin skuad sekiranya diberi mandat oleh jurulatih dan baginya, ia bukan satu pengalaman baru.

"Ia bukan satu beban kerana saya pernah menjadi kapten skuad Bawah-23 beberapa tahun lalu. Jika saya dipilih, saya akan buat yang terbaik dan cuba membimbing rakan-rakan sepasukan dengan pengalaman yang ada," katanya yang merupakan pemain paling senior dalam skuad itu.

Sementara itu, Aidil Zafuan bersedia menerima apa jua keputusan Rajagobal hari ini tetapi baginya, soal siapa menjadi kapten tidaklah begitu penting.

"Tugas kapten memang tanggungjawab berat tetapi jika saya dipilih akan saya cuba pikulnya sebaik mungkin. Apa yang lebih penting ialah kami dengan berbekalkan semangat berpasukan tinggi mencapai kejayaan esok (hari ini)," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5ecQ7i8sc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aidil tahu cara sekat Duric


ARKIB : 27/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Aidil Zafuan Abdul Razak
PETALING JAYA - Kuda tua Singapura, Aleksandar Duric, yang meledak dua gol ketika pasukan itu menang 5-3 ke atas Malaysia, Sabtu lalu bukan asing buat pertahanan kental negara, Aidil Zafuan Abdul Razak.

Aidil pernah bersemuka dengan pemain import Singapura itu pada perlawanan di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya pada 29 November 2008, yang merupakan pertemuan terakhir Singapura dan Malaysia, sebelum perlawanan Kelayakan Piala Dunia di republik itu Sabtu lalu yang memihak Singapura.

"Berdasarkan pertemuan sebelum ini, kelebihan dan kekurangan yang dimiliki oleh Duric, memang saya ketahui.

"Dia seorang penyerang yang mempunyai kekuatan fizikal, memang agak sukar untuk mengawalnya tetapi dia juga ada kelemahan yang boleh kita ambil kesempatan, khususnya faktor kepantasan.

"Jika saya diturunkan dalam perlawanan Khamis ini, saya akan cuba sebaik mungkin mengemudi benteng pertahanan negara daripada dibolosi," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Dalam perlawanan persahabatan yang diadakan tiga tahun lalu itu, Duric menjaringkan kedua-dua gol Singapura pada babak pertama sebelum Malaysia bangkit menerusi jaringan Mohd. Amirul Hadi Zainal dan Mohd. Hardi Jaafar.

Aidil Zafuan berkemungkinan akan diturunkan pada pertemuan esok, selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.

Dia juga berharap kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan pada perlawanan pertama Sabtu lalu, tidak berulang.

"Pertahanan kita tidak berapa konsisten dan agak kelam kabut yang menjadi faktor Singapura mudah meledak gol terutama Duric.

"Saya harap pertahanan lebih menekankan komunikasi atas padang bagi mengurangkan kesilapan pada aksi di Stadium Nasional nanti," katanya.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ecMkVCan
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aidil Zafuan bersedia diturunkan


ARKIB : 26/07/2011
KUALA LUMPUR - Bakal pengganti Safiq Rahim sebagai ketua pasukan dalam skuad kebangsaan menjelang perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura Khamis ini semakin terjawab apabila Aidil Zafuan Abd. Radzak menyatakan kesediaan untuk beraksi semula.

Menurut Aidil, dia sudah bersemangat untuk beraksi sejak Sabtu lalu, selepas diberitahu akan diturunkan tetapi nasibnya tidak baik apabila kecederaannya berulang semula sehari sebelum perlawanan tersebut.

"Saya dinasihatkan oleh fisioterapi supaya berehat dan tidak diturunkan. Sebelum itu saya sangat bersemangat untuk beraksi tetapi sekarang ini juga saya tetap bersemangat dan harap 100 peratus sembuh menjelang Khamis ini," katanya selepas latihan, semalam.

Bagaimanapun Aidil sendiri tidak terfikir sama ada dia akan diberi tanggungjawab dan beraksi Khamis ini, namun jika diturunkan dia hanya fokus untuk membantu skuad kebangsaan mencatat kemenangan.

"Siapa yang bakal menjadi ketua pasukan tidak penting tetapi semua pemain perlu bersedia supaya beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut, terutama sekali memberi perhatian kepada pemain naturalisasi Singapura.

"Tumpuan yang lebih harus diberikan kepada pemain seperti Aleksandar Duric yang saya anggap sebagai pemain yang berbahaya kerana beberapa kali pernah bertembung dengannya sebelum ini termasuk ketika di peringkat kelab," katanya.

Aidil berkata, tidak ada yang istimewa buat pemain Singapura yang lain kecuali pemain naturalisasi mereka, malah dia yakin kelebihan masih terletak kepada Malaysia walaupun tewas perlawanan pertama 3-5.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5ecC1Oqx4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 3 Februari 2019

Belum selamat


ARKIB : 30/06/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
 
Pemain Malaysia, Aidil Zafuan Abd. Razak (tengah) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 2-1. - REUTERS
KUALA LUMPUR - Masih belum selamat. Kemenangan 2-1 ke atas Taiwan tidak memberikan sebarang jaminan apabila skuad negara bertandang ke Taipei dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Ahad ini.

Harimau Malaya tidak sepatutnya membenarkan Taiwan pulang dengan satu gol yang hanya meletakkan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal tidak terlepas menghadapi situasi cemas, sekalipun menang di Bukit Jalil, semalam.

Sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol hasil jaringan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan Aidil Zafuan Abd. Radzak pada minit ke-54, kempen awal Malaysia tampak meyakinkan sebelum gawang negara dirobek lawan tatkala pertahanan kita alpa seketika.

Nada Rajagobal tampak sedikit kecewa selepas dua gol yang meletakkan Malaysia agak selesa, akhirnya bertukar kepada situasi mencemaskan.

''Rentak permainan kita tidak mencapai seperti apa yang dikehendaki.''

Itu rumusan Rajagobal ketika skuad kebangsaan gagal mencari bekalan selesa dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 untuk bertandang ke padang lawan, Ahad ini.

Menurutnya, pemain negara melepaskan peluang untuk mencatat jaringan lebih baik, apabila gagal memanfaatkan peluang menambah gol walaupun mendahului lawan 2-0.

"Namun, sebaliknya pasukan lawan pula yang menggegarkan gawang skuad kita, yang memberikan mereka kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri selepas ini.

"Apa yang dapat saya katakan rentak permainan kita malam ini tidak seperti yang diharapkan sehingga gagal mencari bekalan selesa untuk aksi kedua nanti," tegasnya.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Malaysia selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Safiq dan Aidil Zafuan.

Namun, kelekaan barisan pertahanan skuad negara menyebabkan gawang dibolosi pada minit ke-75 oleh Chen Po Liang.

Tambah Rajagobal, babak pertama memperlihatkan betapa pasukan negara mempamerkan kesungguhan walaupun bermula tidak begitu agresif pada 20 hingga 30 minit pertama perlawanan.

Katanya, selepas beliau membuat pertukaran pada kedua-dua bahagian sayap, corak permainan pasukan kebangsaan mula agresif.

"Selepas pertukaran dibuat barulah kita lihat beberapa pergerakan menarik sehingga menjaringkan dua gol.

"Ketika itu saya harap pemain dapat menjaringkan gol ketiga sebagai bekalan selesa apabila beraksi di tempat lawan di padang mereka.

"Namun, pemain gagal menterjemahkan beberapa peluang gol yang mereka peroleh. Malah, bahagian pertahanan mula tidak berdisiplin apabila saya membuat pertukaran ekoran kecederaan yang dialami Safee Sali.

"Peluang kita belum berakhir dan saya berazam untuk kami beraksi dengan lebih baik pada aksi di tempat lawan selepas ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eTGvJm61
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 1 Februari 2019

Isu rasuah: Aidil sedia kerjasama


ARKIB : 01/06/2011
 
Safee sali (tengah) bersama rakan sepasukannya dalam skuad negara pada pelancaran Liga Bola Sepak Komuniti Mizi Sports di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM - Pemain Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak sedia membantu pihak berkuasa jika betul dakwaan rasuah berlaku dalam pasukannya.

Aidil, 23, mengakui dia amat malu jika perkara ini berlaku dalam pasukanya, malah dakwaan bahawa skuad Piala Presiden Negeri Sembilan terlibat mengatur perlawanan sudah cukup untuk mengguris hatinya.

"Saya tidak tahu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya tidak berani campur, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada pihak atasan tetapi jika betul ia amat memalukan saya," katanya ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Liga Komuniti MiziSports di sini, semalam.

Jelasnya, sebagai pemain yang lahir di Negeri Sembilan dia berasa amat malu jika rasuah berlaku dalam negerinya terutama sekali dalam sukan bola sepak, sedangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) banyak membantu dari pelbagai aspek menaikkan bola sepak negeri.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, saya bukan hendak menuduh rakan sepasukan ataupun mana-mana pemain, setakat ini biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut, jika ada yang terlibat ia perlu diselesaikan.

"Apa yang mampu saya lakukan ialah memberi kerjasama sebaik mungkin, tetapi saya rasa ia tidak wujud dalam skuad Liga Super, prestasi kami yang tidak konsisten pula berlaku tatkala gejala rasuah kembal diuar-uarkan berlaku," katanya.

Aidil juga bersedia untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada pihak yang cuba untuk melibatkannya dalam gejala tersebut, malah dia juga tidak mahu duit haram menjadi darah daging kepada anak-anaknya.

"Prestasi skuad Negeri Sembilan yang kurang konsisten adalah disebabkan masalah kecederaan pemain utama, malah kami terpaksa mengguna khidmat pemain Piala Presiden untuk memantapkan pasukan.

"Kami akan bangkit semula pada saingan Piala Malaysia nanti dengan kebanyakan pemain yang cedera sudah sembuh, termasuk Zaquan Adha Abdul Radzak," kata Aidil yang sekarang ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan menjelang perlawanan persahabatan menentang Hong Kong Jumaat ini.

Kelmarin, SPRM telah menyatakan bahawa siasatan terhadap pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang didakwa mengatur keputusan perlawanan kini telah hampir siap.

Menurut sumber, SPRM telah selesai mengambil keterangan daripada semua pihak yang diperlukan termasuk di peringkat pengurusan pasukan itu.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eLr4T5h4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu semakin garang


ARKIB : 24/05/2011
 
Pertahanan Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak (kiri) mengasak penyerang Terengganu, Mohd. Ashaari Samsuddin dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, kelmarin. Terengganu menang 3-0. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU – Skuad Penyu perlu melupakan seketika Piala FA dengan memberi tumpuan bagi mengharungi baki empat perlawanan liga Super yang dianggap getir.

Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh mengingatkan anak-anak buahnya tidak boleh tersalah langkah dan tersilap catur dalam persaingan sengit ketika semakin hampir melangkah ke atas teratas.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final Piala FA menentang Kelantan 11 Jun buat masa ini, kita tumpuan baki perlawanan liga Super" katanya.

Terengganu kini di tangga kedua liga dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan berbanding pendahulu, Kelantan selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di laman sendiri, kelmarin.

Menurut Che Mat, beliau berpuas hati dengan aksi para pemainnya yang mendengar arahan dan berjaya mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan hingga wisel penamat ditiupkan.

"Masalah keletihan dan kecederaan nyata tidak menghalang pemain kita daripada mempamerkan aksi terbaik malam ini (kelmarin).

"Walaupun pemain mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi Alhamdulillah, keputusan 3-0 ini sudah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eL2LaLQL
© Utusan Melayu (M) Bhd