ARKIB : 30/06/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
Pemain Malaysia, Aidil Zafuan Abd. Razak (tengah)
meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan pada perlawanan
pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 2-1. - REUTERS
KUALA LUMPUR - Masih belum selamat. Kemenangan 2-1
ke atas Taiwan tidak memberikan sebarang jaminan apabila skuad negara
bertandang ke Taipei dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Ahad
ini.
Harimau Malaya tidak sepatutnya membenarkan Taiwan
pulang dengan satu gol yang hanya meletakkan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal
tidak terlepas menghadapi situasi cemas, sekalipun menang di Bukit Jalil,
semalam.
Sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol hasil
jaringan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan Aidil Zafuan Abd.
Radzak pada minit ke-54, kempen awal Malaysia tampak meyakinkan sebelum gawang
negara dirobek lawan tatkala pertahanan kita alpa seketika.
Nada Rajagobal tampak sedikit kecewa selepas dua
gol yang meletakkan Malaysia agak selesa, akhirnya bertukar kepada situasi
mencemaskan.
''Rentak permainan kita tidak mencapai seperti apa
yang dikehendaki.''
Itu rumusan Rajagobal ketika skuad kebangsaan gagal
mencari bekalan selesa dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 untuk
bertandang ke padang lawan, Ahad ini.
Menurutnya, pemain negara melepaskan peluang untuk
mencatat jaringan lebih baik, apabila gagal memanfaatkan peluang menambah gol
walaupun mendahului lawan 2-0.
"Namun, sebaliknya pasukan lawan pula yang
menggegarkan gawang skuad kita, yang memberikan mereka kelebihan apabila
beraksi di tempat sendiri selepas ini.
"Apa yang dapat saya katakan rentak permainan
kita malam ini tidak seperti yang diharapkan sehingga gagal mencari bekalan
selesa untuk aksi kedua nanti," tegasnya.
Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil
semalam, Malaysia selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Safiq dan Aidil
Zafuan.
Namun, kelekaan barisan pertahanan skuad negara
menyebabkan gawang dibolosi pada minit ke-75 oleh Chen Po Liang.
Tambah Rajagobal, babak pertama memperlihatkan
betapa pasukan negara mempamerkan kesungguhan walaupun bermula tidak begitu
agresif pada 20 hingga 30 minit pertama perlawanan.
Katanya, selepas beliau membuat pertukaran pada
kedua-dua bahagian sayap, corak permainan pasukan kebangsaan mula agresif.
"Selepas pertukaran dibuat barulah kita lihat
beberapa pergerakan menarik sehingga menjaringkan dua gol.
"Ketika itu saya harap pemain dapat
menjaringkan gol ketiga sebagai bekalan selesa apabila beraksi di tempat lawan
di padang mereka.
"Namun, pemain gagal menterjemahkan beberapa
peluang gol yang mereka peroleh. Malah, bahagian pertahanan mula tidak berdisiplin
apabila saya membuat pertukaran ekoran kecederaan yang dialami Safee Sali.
"Peluang kita belum berakhir dan saya berazam
untuk kami beraksi dengan lebih baik pada aksi di tempat lawan selepas
ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eTGvJm61
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan