ARKIB : 01/06/2011
Safee sali (tengah) bersama rakan sepasukannya
dalam skuad negara pada pelancaran Liga Bola Sepak Komuniti Mizi Sports di Shah
Alam, semalam.
SHAH ALAM - Pemain Negeri Sembilan, Mohd. Aidil
Zafuan Abdul Radzak sedia membantu pihak berkuasa jika betul dakwaan rasuah
berlaku dalam pasukannya.
Aidil, 23, mengakui dia amat malu jika perkara ini
berlaku dalam pasukanya, malah dakwaan bahawa skuad Piala Presiden Negeri Sembilan
terlibat mengatur perlawanan sudah cukup untuk mengguris hatinya.
"Saya tidak tahu keputusan siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya tidak berani campur,
sebaliknya menyerahkan segalanya kepada pihak atasan tetapi jika betul ia amat
memalukan saya," katanya ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Liga
Komuniti MiziSports di sini, semalam.
Jelasnya, sebagai pemain yang lahir di Negeri
Sembilan dia berasa amat malu jika rasuah berlaku dalam negerinya terutama
sekali dalam sukan bola sepak, sedangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad
Hasan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) banyak
membantu dari pelbagai aspek menaikkan bola sepak negeri.
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,
saya bukan hendak menuduh rakan sepasukan ataupun mana-mana pemain, setakat ini
biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut, jika ada yang terlibat ia
perlu diselesaikan.
"Apa yang mampu saya lakukan ialah memberi
kerjasama sebaik mungkin, tetapi saya rasa ia tidak wujud dalam skuad Liga
Super, prestasi kami yang tidak konsisten pula berlaku tatkala gejala rasuah
kembal diuar-uarkan berlaku," katanya.
Aidil juga bersedia untuk melaporkan kepada pihak
berkuasa jika ada pihak yang cuba untuk melibatkannya dalam gejala tersebut,
malah dia juga tidak mahu duit haram menjadi darah daging kepada anak-anaknya.
"Prestasi skuad Negeri Sembilan yang kurang
konsisten adalah disebabkan masalah kecederaan pemain utama, malah kami
terpaksa mengguna khidmat pemain Piala Presiden untuk memantapkan pasukan.
"Kami akan bangkit semula pada saingan Piala
Malaysia nanti dengan kebanyakan pemain yang cedera sudah sembuh, termasuk
Zaquan Adha Abdul Radzak," kata Aidil yang sekarang ini menjalani latihan
bersama skuad kebangsaan menjelang perlawanan persahabatan menentang Hong Kong
Jumaat ini.
Kelmarin, SPRM telah menyatakan bahawa siasatan
terhadap pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang didakwa mengatur
keputusan perlawanan kini telah hampir siap.
Menurut sumber, SPRM telah selesai mengambil
keterangan daripada semua pihak yang diperlukan termasuk di peringkat
pengurusan pasukan itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eLr4T5h4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan