ARKIB : 27/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Aidil Zafuan Abdul Razak
PETALING JAYA - Kuda tua Singapura, Aleksandar
Duric, yang meledak dua gol ketika pasukan itu menang 5-3 ke atas Malaysia,
Sabtu lalu bukan asing buat pertahanan kental negara, Aidil Zafuan Abdul Razak.
Aidil pernah bersemuka dengan pemain import
Singapura itu pada perlawanan di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya pada
29 November 2008, yang merupakan pertemuan terakhir Singapura dan Malaysia,
sebelum perlawanan Kelayakan Piala Dunia di republik itu Sabtu lalu yang
memihak Singapura.
"Berdasarkan pertemuan sebelum ini, kelebihan
dan kekurangan yang dimiliki oleh Duric, memang saya ketahui.
"Dia seorang penyerang yang mempunyai kekuatan
fizikal, memang agak sukar untuk mengawalnya tetapi dia juga ada kelemahan yang
boleh kita ambil kesempatan, khususnya faktor kepantasan.
"Jika saya diturunkan dalam perlawanan Khamis
ini, saya akan cuba sebaik mungkin mengemudi benteng pertahanan negara daripada
dibolosi," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.
Dalam perlawanan persahabatan yang diadakan tiga tahun
lalu itu, Duric menjaringkan kedua-dua gol Singapura pada babak pertama sebelum
Malaysia bangkit menerusi jaringan Mohd. Amirul Hadi Zainal dan Mohd. Hardi
Jaafar.
Aidil Zafuan berkemungkinan akan diturunkan pada
pertemuan esok, selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.
Dia juga berharap kesilapan yang dilakukan oleh
barisan pertahanan pada perlawanan pertama Sabtu lalu, tidak berulang.
"Pertahanan kita tidak berapa konsisten dan
agak kelam kabut yang menjadi faktor Singapura mudah meledak gol terutama
Duric.
"Saya harap pertahanan lebih menekankan
komunikasi atas padang bagi mengurangkan kesilapan pada aksi di Stadium
Nasional nanti," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ecMkVCan
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan