Isnin, 23 Oktober 2017

Wan Jamak enggan mendabik dada

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
AIDIL ZAFUAN (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan.

KEMENANGAN 2-0 Negeri Sembilan Naza (NS Naza) ke atas Perlis pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin masih belum cukup menggembirakan pengendali skuad Hobin Jang Hobin.

Pengendali NS Naza, Wan Jamak Wan Hassan berkata, walaupun skuadnya bangkit daripada kekalahan menentang Kedah tempoh hari, masih banyak yang perlu dibaiki terutama di bahagian serangan.

“Saya menganggap pasukan ini masih lagi mentah dan perlu diberi lebih banyak pendedahan. Namun, saya berbangga kerana menunjukkan satu persembahan yang baik.

“Apa yang saya nyatakan kepada mereka, usah gentar berhadapan lawan, nampaknya berbaloi,” katanya malam kelmarin.

Pada aksi kelmarin, NS Naza berjaya menumpaskan Perlis melalui jaringan Mohd. Aidil Zafuan pada minit ke-18 dan S. Kunalan (73).

Dengan kemenangan itu, NS Naza kini menduduki tangga kedua selepas mengumpul 19 mata berbanding pendahulu, Kedah dengan 22 mata.

Wan Jamak turut memuji aksi yang dipersembahkan penyerang import, Lamin Conteh yang berjaya mengkucar-kacirkan benteng lawan sehingga membuka ruang NS Naza merobek gawang lawan.

“Saya yakin, Negeri Sembilan Naza akan memberikan saingan yang lebih baik pada aksi seterusnya.

“Namun, pemain-pemain jangan alpa dengan kemenangan ini kerana kesilapan yang dilakukan dalam padang boleh menjejaskan kedudukan dalam Liga Super, sekali gus menyebabkan skuad Rusa ini tersingkir pada saingan Piala Malaysia,” katanya.

Katanya, kemenangan itu memberikan lebih banyak pengajaran kepada anak buahnya untuk terus mencatatkan kemenangan.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wLCazJK0
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Malaysia tidak gentar ‘kerja rumah’ Singapura


ARKIB : 08/12/2007

KORAT– Bek tengah skuad bola sepak negara, Aidil Zafuan Radzak masih terbayang kenangan beraksi tanpa adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak dalam Kejohanan Belia Asia di India, tahun lalu apabila menghadapi Singapura dalam perlawanan Kumpulan B bola sepak lelaki Sukan SEA, hari ini.

Kata pemain berusia 20 tahun kelahiran Negeri Sembilan ini, ketiadaan saudaranya itu dalam saat segenting dan penting ini cukup terasa apatah lagi aksi di Stadium Universiti Teknologi Suranaree merupakan yang pertama baginya selepas menjalani penggantungan dua perlawanan.

‘‘Saya terasa seperti ketika kejohanan di India itu. Saya turun tanpa Zaquan yang ketika itu baru menjalani pembedahan akibat kecederaan lutut. Kami sudah berusaha dan bersedia sejauh itu, malangnya salah seorang tidak dapat bermain.

‘‘Saya pula baru berpeluang bermain (kerana kad merah dalam Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain, 28 Oktober lalu) tetapi saya percaya, jurulatih akan membuat pilihan yang tepat untuk mengambil alih tempat Zaquan sebagai penyerang,’’ katanya.

Tanpa Zaquan di India, Malaysia kalah kesemua perlawanan iaitu kepada Vietnam, Arab Saudi dan Iraq tetapi prestasi adik kembar Aidil itu didapati semakin meningkat sejak Malaysia dikalahkan Vietnam 3-1, Sabtu lalu dan membenam Laos 4-0, Isnin lalu.

Malaysia akan berentap dengan Singapura bukan sahaja dalam perebutan tiket ke separuh akhir bahkan penentuan juara dan naib juara Kumpulan B sambil perlu menanti kesudahan antara Vietnam dengan Laos di Stadium Perbandaran Korat, hari ini.

Satu lagi kekalahan bererti anak buah B. Sathianathan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Korat, menyusuli langkah longlai skuad wanita yang sudah tersingkir lebih awal selepas dibelasah Thailand 6-0 dan Myanmar 5-0.

Sementara itu, Sathianathan tidak kisah sejauh mana ‘kerja rumah’ atau intipan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic terhadap pasukan Malaysia sepanjang tempoh rehat selepas dua perlawanan di Korat selama lima hari ini.

‘‘Kami akan turun seperti biasa dengan perancangan tertentu dan misi mahu menang. Seri bukan pilihan kami (walaupun membantu jika Laos mengikat Vietnam). Saya sudah biasa dengan taktikalnya terutama ketika Pestabola Merdeka, Ogos lalu.

‘‘Saya fikir dia juga mengenali ramai pemain pasukan walaupun saya mungkin membuat rombakan barisan terutama penyerang selepas kehilangan Zaquan, Amirulhadi Zainal (sayap kanan) dan Azi Shahril Azmi (ketua pasukan),’’ katanya.

Malaysia lebih produktif dalam membolosi lawan dengan mengumpul lima gol menerusi Chun Keng Hong, Amirulhadi, Safee Sali (dua) dan Safiq Rahim sementara Singapura yang diikat 0-0 oleh Laos, sekadar beroleh dua gol sendiri pemain Vietnam ketika menang 3-2.

Sementara itu, Avramovic dari Serbia menganggap ketiadaan Zaquan yang bakal digantikan oleh Norshahrul Idlan Talaha, satu berita gembira buat anak buahnya yang turut kehilangan pemain tengah bertahan, Isa Halim kerana kad merah ketika menentang Vietnam.

– Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4w3Ao9MVP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aidil janji sumbangan terbesar



ARKIB : 05/12/2007

KORAT – Setelah terlepas peluang beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini, tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Radzak, berjanji memberikan persembahan ‘lebih 100 peratus’ apabila Malaysia menentang Singapura pada perlawanan terakhir acara bola sepak kumpulan B Sukan SEA ke-24 Sabtu ini.

Katanya, selepas ‘direhatkan’ dua perlawanan akibat penggantungan, beliau perlu memberikan persembahan terbaik bagi mengekang pasukan Singapura daripada membolosi pintu gol Malaysia.

‘‘Sebelum ini rakan sepasukan telah berusaha keras ketika Malaysia bertemu Vietnam Sabtu lepas dan Laos semalam. Maka, pada perlawanan menentang Singapura, saya perlu berikan persembahan yang lebih,’’ katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Aidil Zafuan dan pengurus pasukan negara Datuk Soh Chin Aun digantung dua perlawanan pertama pada temasya kali ini, gara-gara kad merah yang diterima ketika Malaysia menentang Bahrain dalam perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Shah Alam 28 Okt lepas.

Aidil Zafuan turut didenda 6,000 Swiss Franc (RM18,291) oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana dibuang padang selepas saling bercakaran dengan seorang pemain Bahrain, Mahmood Abdulrahman pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Shah Alam itu.

Pada perlawanan pembukaan Sukan SEA ke-24, Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam sebelum bangkit menewaskan Laos 4-0. Malaysia perlu menang ketika bertemu Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk layak ke separuh akhir.

Beliau meminta rakan sepasukan supaya tidak memikirkan kelebihan yang dimiliki Singapura kerana permainan kedua-dua pasukan adalah seimbang malah pada pertemuan terakhir kedua-dua sebelum ini pada Pestabola Merdeka Ogos lepas, Malaysia menewaskan Singapura 3-1.

‘‘Saya tidak risaukan tentang corak permainan pasukan Singapura. Yang membimbangkan saya ialah bagaimana kita dapat menyerap tekanan apabila bertemu Singapura bagi memastikan kita mencapai kemenangan pada pertemuan tersebut.

‘‘Saya harap kesilapan yang dilakukan ketika menentang Vietnam tidak berulang kerana matlamat kita untuk mencatatkan kemenangan sekaligus layak ke separuh akhir,’’ katanya.

- Bernama

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4w21hwPMF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 18 Oktober 2017

Aidil, Chin Aun kena gantung



ARKIB : 26/11/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 23 Tahun negara menerima tamparan awal sebelum membuka kempen bola sepak Sukan SEA Korat, Sabtu ini apabila kehilangan bek tengah, Aidil Zafuan Radzak dan pengurus pasukan, Datuk Soh Chin Aun bagi dua perlawanan pertamanya.

Mereka digantung daripada perlawanan menentang Vietnam, Sabtu ini dan Laos, 3 Disember di Stadium Perbandaran Nakhon Ratchasima gara-gara kad merah yang diterima ketika menentang Bahrain dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Shah Alam, 28 Oktober lalu.

Aidil turut didenda 6,000 swiss franc (RM18,291) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana dibuang padang selepas saling berkasaran dengan seorang pemain Bahrain, Mahmood Abdulrahman pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Shah Alam itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, denda sebanyak 5,500 swiss franc (RM16,766) lagi dikenakan terhadap Chin Aun angkara menyepak botol air ke padang selepas bertekak dengan pengadil, Lee Gi Young dari Korea Selatan pada minit ke-16.

Aidil sebelum ini tidak disenaraikan ketika menentang skuad kebangsaan Maldives di Stadium Petaling Jaya, 17 November lalu kerana Malaysia mengambil kira perlawanan persahabatan itu sebagai bertaraf senior antarabangsa ‘A’ sekali gus sudah menggantungnya satu perlawanan.

Keputusan itu juga bererti kedua-duanya cuma boleh bermain atau berada di bangku simpanan bagi perlawanan terakhir Malaysia dalam Kumpulan B Sukan SEA, menentang Singapura pada 8 Disember di Stadium Universiti Teknologi Suranaree.

Tambah membimbangkan skuad negara ialah mereka kini bakal berdepan kehilangan seorang lagi bek tengah berwibawa, S. Subramaniam dan dua sayap, Khyril Muhymeen Zambri dan Nor Farhan Muhammad yang masih tercedera.

Malaysia yang kini dibimbing oleh B. Sathianathan memburu pingat emas pertama bola sepak Sukan SEA sejak kali terakhir memenanginya pada temasya di Kuala Lumpur pada 1989.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vqgQCqcy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 17 Oktober 2017

Aidil Zafuan, Chin Aun mungkin dihukum



ARKIB : 30/10/2007 
KUALA LUMPUR – Malaysia bukan hanya kempunan ke pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010 lebih awal kerana disekat Bahrain, bahkan mungkin dikenakan hukuman tertentu gara-gara layangan dua kad merah kepada bek tengah, Aidil Zafuan Radzak dan pengurus pasukan negara, Datuk Soh Chin Aun, kelmarin.

Hukuman penggantungan sekurang-kurangnya tiga perlawanan bakal dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Aidil Zafuan yang saling berkasaran dengan pemain Bahrain, Mahmood Abdulrahman pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Shah Alam itu.

Ia masih bergantung kepada sejauh mana laporan pengadil, Lee Gi Young dari Korea Selatan dan pengawas perlawanan, Martin Chun (Hong Kong) serta keputusan sidang jawatankuasa tatatertib FIFA, bulan depan tetapi yang dibimbangi Malaysia ialah peluang pemain muda Negeri Sembilan itu ke Sukan SEA Korat.

Sekiranya FIFA hanya mengambil kira perlawanan senior antarabangsa ‘A’ anjurannya dan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Aidil Zafuan mungkin masih mampu menarik nafas lega kerana Sukan SEA hanya untuk kategori bawah 23 tahun dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B dengan Vietnam, Singapura dan Laos.

Jika FIFA berpendirian sebaliknya, tulang belakang utama Malaysia itu bakal terlepas tiga perlawanan peringkat Kumpulan B, bulan depan dan hanya berpeluang menikmati Sukan SEA sulungnya andai kata skuad bimbingan B. Sathianathan mampu melangkah ke separuh akhir di Korat, beberapa hari kemudian.

Angkara menyepak botol air mineral ke padang dan mempertikaikan keputusan Gi Young pada minit ke-16, ‘Tauke’ Chin Aun, bekas bek tengah Malaysia era 80-an pula bukan hanya dilarang berada di bangku simpanan selama beberapa perlawanan antarabangsa lagi tetapi juga bakal didenda sejumlah wang.

Adegan kad merah untuk pemain negara pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2006 turut pernah menimpa Amri Yahyah kerana meludah seorang pemain Kuwait ketika Malaysia dibelasah lawan 6-1 sehingga penyerang Selangor itu digantung beberapa perlawanan dan terlepas ke Sukan Perpaduan Islam di Jeddah, Arab Saudi.

Jurulatih negara, B. Sathianathan ternyata kecewa dengan anak buahnya yang terikut-ikut dengan perasaan di padang biarpun mempamerkan kesungguhan tinggi untuk mengejar ketinggalan 4-1 daripada perlawanan pertama pusingan pertama di Manama, minggu lalu.

Kecewa

“Akibat membiarkan diri dikuasai perasaan dengan taktik Bahrain, pemain negara hilang tumpuan kepada permainan dan aksi mereka kadangkala kelam-kabut,” katanya selepas perlawanan kedua itu yang berkesudahan 0-0 sekali gus menyingkirkan dan memaksa Malaysia menanti empat tahun lagi untuk mengintai peluang lain ke Piala Dunia.

Sambil menganggapnya sudah menjadi sejarah, Sathianathan kini pantas mengalih tumpuan skuad negara yang kebanyakannya dibarisi pemain bawah 23 tahun, ke Korat dengan mengatur perlawanan persahabatan dengan skuad sebaya Bostwana di Stadium Shah Alam pada 21 November ini.

“Ramai pemain yang masih tidak berpeluang ke Manama dan Shah Alam, akan disenaraikan semula dalam sesi latihan bermula Jumaat ini bagi menghadapi Sukan SEA,” katanya yang meletakkan sasaran meraih pingat emas demi mengakhiri kemarau kejuaraan Malaysia dalam temasya itu sejak 1989 di Kuala Lumpur.

SUMBER-artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vkpeoQ9k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kempunan lagi -- Tewas 1-4 secara agregat kepada Bahrain

ARKIB : 29/10/2007
Oleh AMRAN MULUP
Pemain negara, Mohamad Aidil Zafuan Razak (kiri) diasak pemain Bahrain, Abas Ahmed Khames pada perlawanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Shah Alam, semalam. - Gambar MOHD NOOR AMIN.

SHAH ALAM – Harapan Malaysia untuk mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Zon Asia tidak menjadi kenyataan apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Bahrain pada perlawanan kedua di Stadium Shah Alam, semalam.

Sebaliknya, Bahrain yang lega dengan keputusan seri itu melangkah dengan bergaya ke pusingan kedua berbekalkan agregat 4-1 hasil kemenangan pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Manama Ahad lalu.

Misi mustahil cuba dilakukan oleh anak didik jurulatih B. Sathianthan untuk mencipta kejutan memburu tiga gol di stadium Shah Alam tidak menjadi kenyataan sebaliknya pujian harus diberikan kepada pemain muda negara yang berusaha bersungguh-sungguh cuba menyaingi kehebatan Bahrain.

Beraksi cemerlang pada lima minit babak pertama berlangsung hingga mencemaskan benteng Bahrain tetapi malapetaka menimpa skuad kebangsaan hanya 12 minit usia babak pertama berlangsung apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Aksi tercemar apabila pengadil, Lee Gi Young tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak dan Mahmood A. Rahman Mohamed.

Insiden terjadi ketika terjahan Mohamad Aidil cuba mengeluarkan bola terkena Mahmood A. Rahman hingga berlaku insiden sepak menyepak dan memaksa pengadil dari Korea Selatan itu memerintahkan kedua-dua pemain keluar padang.

Selepas insiden tersebut giliran pengurus pasukan, Datuk Soh Chin Aun pula dilayangkan kad merah dan diarahkan keluar dari tempat duduk bangku simpanan Malaysia oleh Gi Young selepas membantah keputusan pengadil pada minit ke-17.

Beberapa keputusan pengadil dari Korea Selatan sering menjadi cemuhan peminat dan pegawai Malaysia di bangku simpanan pada ketika setiap aksi Bahrain cuba melewat-lewatkan masa perlawanan.

Usaha skuad kebangsaan untuk memburu tiga gol awal yang disasarkan tampak menyukarkan beraksi apabila beraksi dengan 10 pemain.

Tidak banyak gerakan menarik mampu dilakukan oleh barisan pemain negara terutama percubaan menerusi Mohd. Safee Sali dan Mohamad Zaquan Adha Abd. Razak.

Pada babak kedua untuk memantapkan jentera serangan, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri di bawa masuk menggantikan Mohd. Amirulhadi Zainal.

Dua minit babak kedua berlangsung Mohd. Khyril Muhymeen mencemaskan benteng pertahanan Bahrain apabila rembatannya dari luar kotak penalti ditepis keluar oleh penjaga gol, Sayed Mohamed Abbas.

Pada minit ke-57, Bahrain mempunyai peluang untuk mencipta jaringan namun Alla Ahmed Hubail menyepak melewati palang gol Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vkQD2hBW
© Utusan Melayu (M) Bhd