ARKIB : 05/12/2007
KORAT – Setelah terlepas
peluang beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini, tonggak pertahanan negara,
Aidil Zafuan Radzak, berjanji memberikan persembahan ‘lebih 100 peratus’
apabila Malaysia menentang Singapura pada perlawanan terakhir acara bola sepak
kumpulan B Sukan SEA ke-24 Sabtu ini.
Katanya, selepas ‘direhatkan’
dua perlawanan akibat penggantungan, beliau perlu memberikan persembahan
terbaik bagi mengekang pasukan Singapura daripada membolosi pintu gol Malaysia.
‘‘Sebelum ini rakan sepasukan
telah berusaha keras ketika Malaysia bertemu Vietnam Sabtu lepas dan Laos
semalam. Maka, pada perlawanan menentang Singapura, saya perlu berikan
persembahan yang lebih,’’ katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Aidil Zafuan dan pengurus
pasukan negara Datuk Soh Chin Aun digantung dua perlawanan pertama pada temasya
kali ini, gara-gara kad merah yang diterima ketika Malaysia menentang Bahrain
dalam perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Shah Alam 28
Okt lepas.
Aidil Zafuan turut didenda
6,000 Swiss Franc (RM18,291) oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)
kerana dibuang padang selepas saling bercakaran dengan seorang pemain Bahrain,
Mahmood Abdulrahman pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Shah Alam itu.
Pada perlawanan pembukaan Sukan
SEA ke-24, Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam sebelum bangkit menewaskan Laos
4-0. Malaysia perlu menang ketika bertemu Singapura pada perlawanan terakhir
peringkat kumpulan untuk layak ke separuh akhir.
Beliau meminta rakan sepasukan
supaya tidak memikirkan kelebihan yang dimiliki Singapura kerana permainan
kedua-dua pasukan adalah seimbang malah pada pertemuan terakhir kedua-dua
sebelum ini pada Pestabola Merdeka Ogos lepas, Malaysia menewaskan Singapura
3-1.
‘‘Saya tidak risaukan tentang
corak permainan pasukan Singapura. Yang membimbangkan saya ialah bagaimana kita
dapat menyerap tekanan apabila bertemu Singapura bagi memastikan kita mencapai
kemenangan pada pertemuan tersebut.
‘‘Saya harap kesilapan yang
dilakukan ketika menentang Vietnam tidak berulang kerana matlamat kita untuk
mencatatkan kemenangan sekaligus layak ke separuh akhir,’’ katanya.
- Bernama
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4w21hwPMF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan