ARKIB : 26/11/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Skuad Bawah 23
Tahun negara menerima tamparan awal sebelum membuka kempen bola sepak Sukan SEA
Korat, Sabtu ini apabila kehilangan bek tengah, Aidil Zafuan Radzak dan
pengurus pasukan, Datuk Soh Chin Aun bagi dua perlawanan pertamanya.
Mereka digantung daripada
perlawanan menentang Vietnam, Sabtu ini dan Laos, 3 Disember di Stadium
Perbandaran Nakhon Ratchasima gara-gara kad merah yang diterima ketika
menentang Bahrain dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Shah Alam, 28
Oktober lalu.
Aidil turut didenda 6,000 swiss
franc (RM18,291) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana dibuang
padang selepas saling berkasaran dengan seorang pemain Bahrain, Mahmood
Abdulrahman pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Shah Alam itu.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, denda sebanyak
5,500 swiss franc (RM16,766) lagi dikenakan terhadap Chin Aun angkara menyepak
botol air ke padang selepas bertekak dengan pengadil, Lee Gi Young dari Korea
Selatan pada minit ke-16.
Aidil sebelum ini tidak
disenaraikan ketika menentang skuad kebangsaan Maldives di Stadium Petaling
Jaya, 17 November lalu kerana Malaysia mengambil kira perlawanan persahabatan
itu sebagai bertaraf senior antarabangsa A sekali gus sudah menggantungnya
satu perlawanan.
Keputusan itu juga bererti
kedua-duanya cuma boleh bermain atau berada di bangku simpanan bagi perlawanan
terakhir Malaysia dalam Kumpulan B Sukan SEA, menentang Singapura pada 8
Disember di Stadium Universiti Teknologi Suranaree.
Tambah membimbangkan skuad
negara ialah mereka kini bakal berdepan kehilangan seorang lagi bek tengah
berwibawa, S. Subramaniam dan dua sayap, Khyril Muhymeen Zambri dan Nor Farhan
Muhammad yang masih tercedera.
Malaysia yang kini dibimbing
oleh B. Sathianathan memburu pingat emas pertama bola sepak Sukan SEA sejak
kali terakhir memenanginya pada temasya di Kuala Lumpur pada 1989.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vqgQCqcy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan