ARKIB : 30/10/2007
KUALA LUMPUR Malaysia bukan
hanya kempunan ke pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010 lebih awal kerana
disekat Bahrain, bahkan mungkin dikenakan hukuman tertentu gara-gara layangan
dua kad merah kepada bek tengah, Aidil Zafuan Radzak dan pengurus pasukan
negara, Datuk Soh Chin Aun, kelmarin.
Hukuman penggantungan
sekurang-kurangnya tiga perlawanan bakal dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) terhadap Aidil Zafuan yang saling berkasaran dengan pemain
Bahrain, Mahmood Abdulrahman pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Shah Alam
itu.
Ia masih bergantung kepada
sejauh mana laporan pengadil, Lee Gi Young dari Korea Selatan dan pengawas
perlawanan, Martin Chun (Hong Kong) serta keputusan sidang jawatankuasa
tatatertib FIFA, bulan depan tetapi yang dibimbangi Malaysia ialah peluang
pemain muda Negeri Sembilan itu ke Sukan SEA Korat.
Sekiranya FIFA hanya mengambil
kira perlawanan senior antarabangsa A anjurannya dan Gabungan Bola Sepak Asia
(AFC), Aidil Zafuan mungkin masih mampu menarik nafas lega kerana Sukan SEA
hanya untuk kategori bawah 23 tahun dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B
dengan Vietnam, Singapura dan Laos.
Jika FIFA berpendirian
sebaliknya, tulang belakang utama Malaysia itu bakal terlepas tiga perlawanan
peringkat Kumpulan B, bulan depan dan hanya berpeluang menikmati Sukan SEA
sulungnya andai kata skuad bimbingan B. Sathianathan mampu melangkah ke separuh
akhir di Korat, beberapa hari kemudian.
Angkara menyepak botol air
mineral ke padang dan mempertikaikan keputusan Gi Young pada minit ke-16, Tauke
Chin Aun, bekas bek tengah Malaysia era 80-an pula bukan hanya dilarang berada
di bangku simpanan selama beberapa perlawanan antarabangsa lagi tetapi juga
bakal didenda sejumlah wang.
Adegan kad merah untuk pemain
negara pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2006 turut pernah menimpa
Amri Yahyah kerana meludah seorang pemain Kuwait ketika Malaysia dibelasah
lawan 6-1 sehingga penyerang Selangor itu digantung beberapa perlawanan dan
terlepas ke Sukan Perpaduan Islam di Jeddah, Arab Saudi.
Jurulatih negara, B.
Sathianathan ternyata kecewa dengan anak buahnya yang terikut-ikut dengan
perasaan di padang biarpun mempamerkan kesungguhan tinggi untuk mengejar
ketinggalan 4-1 daripada perlawanan pertama pusingan pertama di Manama, minggu
lalu.
Kecewa
Akibat membiarkan diri
dikuasai perasaan dengan taktik Bahrain, pemain negara hilang tumpuan kepada
permainan dan aksi mereka kadangkala kelam-kabut, katanya selepas perlawanan
kedua itu yang berkesudahan 0-0 sekali gus menyingkirkan dan memaksa Malaysia
menanti empat tahun lagi untuk mengintai peluang lain ke Piala Dunia.
Sambil menganggapnya sudah
menjadi sejarah, Sathianathan kini pantas mengalih tumpuan skuad negara yang
kebanyakannya dibarisi pemain bawah 23 tahun, ke Korat dengan mengatur
perlawanan persahabatan dengan skuad sebaya Bostwana di Stadium Shah Alam pada 21
November ini.
Ramai pemain yang masih tidak
berpeluang ke Manama dan Shah Alam, akan disenaraikan semula dalam sesi latihan
bermula Jumaat ini bagi menghadapi Sukan SEA, katanya yang meletakkan sasaran
meraih pingat emas demi mengakhiri kemarau kejuaraan Malaysia dalam temasya itu
sejak 1989 di Kuala Lumpur.
SUMBER-artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vkpeoQ9k
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan