Isnin, 18 Disember 2017

Pemain sangkal tidak patriotik


 

ARKIB : 01/02/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
ZAQUAN ADHA

KUALA LUMPUR – Rata-rata pemain kebangsaan menyangkal andaian bahawa mereka sudah tidak mempunyai semangat patriotik dan hanya memikirkan imbuhan ketika mewakili skuad bola sepak negara sehingga menyebabkan mereka dibelasah 5-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, baru-baru ini.

Kepada Mingguan Malaysia, mereka menganggap soal tidak patriotik tak akan timbul pada diri pemain yang kerap diberi peluang menyarung jersi negara apatah lagi bermain di gelanggang sendiri walaupun umum mungkin mengaitkannya dengan punca kekalahan pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu.

Pemain tengah negara dan Selangor, Hardi Jaafar, 30, yang hairan dengan isu ini turut lantang mempersoalkan siapa yang tidak mempunyai semangat patriotik, sama ada pemain dan peminat.

“Siapa yang tidak patriotik sebenarnya? Kami, skuad negara atau peminat bola sepak. Orang yang patriotik sepatutnya akan sentiasa bersama pasukan - tidak kira menang atau kalah. Bukan masa menang sahaja.

“Kami sudah buktikan dengan turun bermain walaupun dikecam selepas di Phuket. Sepatutnya sebelum lawan UAE, perlu ada satu dua perlawanan persahabatan kerana rentak Liga M dengan antarabangsa jauh berbeza,” katanya yang mewakili negara sejak perlawanan persahabatan dengan New Zealand pada 19 Februari 2006.

Rakan seperjuangan dari Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak, 22, pula menyifatkan pihak yang kerap mengecam skuad negara khususnya setiap kali kalah sebenarnya tidak tahu atau tidak pernah mengalami sendiri segala perit jerih dan kebanggaan berjuang di atas padang.

“Saya tidak kisah apa orang kata kerana bagi saya, mereka tidak mengalami apa yang dihadapi di atas padang. Ia (bermain untuk negara) bukan senang untuk dilakukan. Memang lumrah manusia hanya tahu bercakap sedangkan kejadian itu tidak berlaku pada diri mereka. Tiada mana-mana pemain atau pasukan pun mahu kalah,” tegasnya.

Sementara itu, bek kiri dari Selangor, Asraruddin Putra Omar, 21, yang terlepas peluang menentang UAE tetap merasai keperitan kecaman pelbagai pihak selepas kegagalan Malaysia ke separuh akhir Piala Suzuki AFF di Phuket, bulan lalu, berkata: “Dipanggil mewakili negara ibarat satu peluang, tanggungjawab dan penghormatan besar buat seseorang pemain bola sepak.

“Kutukan orang yang muncul bila kami kalah pula seperti lumrah dalam sukan ini. Bila menang, ada yang memuji dan bila kalah, ramai yang mengeji tetapi bagi saya, setiap itu bakal merangsang saya untuk terus memandang ke depan dan cuba memperbaiki segala kegagalan lalu demi kemajuan bola sepak negara,” katanya.

Penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa, 28, yang tercedera rahang ketika berdepan UAE - bukti semangat juang dan pengorbanannya setelah diketepikan hampir dua tahun - menegaskan: “Jika dikatakan kami tidak patriotik, sudah lama saya sendiri menolak panggilan jurulatih, B. Sathianathan untuk bermain dalam kelayakan itu.

“Ada banyak sebab lain kami kalah dan jangan lupa persediaan pasukan sebelum itu memang terlalu singkat apatah lagi Liga Malaysia baru bermula dan jadualnya sudah padat,” katanya yang terpaksa diketepikan beberapa minggu daripada T-Team angkara kecederaan itu dalam persaingan Liga Perdana dan Piala FA, bulan ini.

Dalam pada itu, pengganti Syamsuri selepas Malaysia dibolosi tiga kali oleh UAE, Syed Adney Syed Hussein, 23, pula berkata, tahap permainan skuad negara dengan lawan yang jauh berbeza merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan buruk kelayakan itu.

“Ada juga faktor lain seperti kesilapan individu yang berlaku sehingga mendorong kekalahan itu, begitu juga keadaan fizikal dan kecergasan pemain tetapi jangan sesekali mempertikaikan apakah kami tidak patriotik kepada skuad negara dalam menjulang kejayaan Malaysia,” kata pemain tinggi lampai UPB-MyTeam kelahiran Liverpool, England ini.

Bek tengah simpanan negara, S. Subramaniam, 24, dari Perak juga tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa pemain kebangsaan tidak patriotik kerana buktinya mereka masih sanggup menghadiri sesi latihan sebaik sahaja dipanggil malah terus menyarung jersi negara sejurus selepas dikecam hebat kerana gagal di Phuket.

“Saya lebih senang jika punca kekalahan dengan UAE itu dikaitkan dengan kurangnya persediaan pasukan. Lagipun lawan bukan calang-calang pasukan, mereka baru habis bermain dengan pasukan yang handal dalam Piala Teluk di Oman sedangkan pemain kita hanya bermain dengan pasukan tempatan dalam Liga M,’’ katanya.

Penyerang senior dari Perlis, Nizaruddin Yusof, 30, yang masih mendapat kepercayaan untuk membarisi skuad negara walaupun terlepas peluang menentang UAE kerana kecederaan, berkata: “Ia masih menjadi satu kebanggaan bagi saya setiap kali jurulatih memanggil saya bagi menghadapi perlawanan antarabangsa.

“Komitmen saya kepada tugas itu tetap 100 peratus tanpa sesekali mempedulikan apa kata orang sama ada saya sudah tua atau tidak layak lagi bermain pada perlawanan antarabangsa. Sekalipun sukar menyertai kesebelasan utama, saya masih percaya ruang untuk menabur bakti kepada Malaysia masih ada termasuk sebagai pemain simpanan,” katanya.

Bagi Hairuddin Omar, 30, yang masuk sebagai pemain gantian dalam aksi sulung Kumpulan C menyifatkan dakwaan bahawa mereka sepasukan tidak bersemangat patriotik sehingga dibolosi lima gol sebagai satu tohmahan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima langsung.

“Kalau tidak patriotik, saya tidak akan muncul berlatih dan bermain. Orang lain boleh bercakap apa sahaja yang mereka suka dan jika mereka berterusan bersikap begini, siapa lagi yang sanggup tahan untuk menyarung jersi negara,” katanya yang membarisi pasukan yang dikecam teruk ketika dibelasah China 5-1 dan Uzbekistan 5-0 dalam Piala Asia 2007.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51bKKaQmZ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 14 Disember 2017

Aidil kembali beri fokus

ARKIB : 21/12/2008
KUALA LUMPUR - Bek tengah negara, Aidil Zafuan Radzak yang mencetuskan kontroversi pernikahan mengejutnya dengan pelakon Rita Rudaini, bakal kembali menyertai sesi latihan skuad Negeri Sembilan, minggu ini selepas memohon pengecualian buat sementara waktu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Jurulatih skuad Rusa, Wan Jamak Wan Hassan mengesahkan bahawa pemain berbakat besar berusia 21 tahun kelahiran Seremban itu turut akan bersama ke Johor mulai esok untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan menjelang Liga Super 2009, bulan depan.

"Dia minta bercuti sampai esok (semalam). Tidak mengapalah, kami cuba berikan dia peluang dulu, tidak mahu ganggu dia lagi," katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Negeri Sembilan yang menolak pencalonan ke Piala AFC 2009 atas alasan kewangan, menentang Johor FC di Stadium J-Corp, Pasir Gudang semalam; Majlis Bandaraya Johor Bahru (Selasa) dan Johor (Khamis).

Sebelum ini mereka yang beraksi tanpa trio negara - Aidil, adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak dan ketua pasukan, Shukor Adan, muncul naib juara liga sepusingan Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Terengganu di belakang tuan rumah, Terengganu dan mengatasi KL PLUS dan Kelantan.

Zaquan, penyerang utama Negeri Sembilan mengesahkan bahawa abang kembarnya turut memberitahu, dia mahu menyelesaikan masalah peribadi itu terlebih dulu supaya dapat kembali fokus kepada karier bola sepaknya.

"Memang dia ada memohon kepada jurulatih dan memberitahu saya untuk bercuti seketika tetapi mulanya tidak menyebut sehingga bila," katanya.

Zaquan bagaimanapun yakin dengan kemampuan Aidil Zafuan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan keluarga.

Pasangan kembar itu merupakan antara tonggak kejayaan Negeri Sembilan bergelar naib juara Liga Super musim 2007-8 malah dikatakan sempat cuba dipancing oleh pasukan handalan lain seperti Kedah dan Selangor bagi menghadapi musim baru Liga M mulai 3 Januari ini.

Mereka turut membantu skuad Bawah 23 Tahun Malaysia mengakhiri kemarau kejuaraan Pestabola Merdeka selama 14 tahun dengan memenanginya tahun lalu tetapi kempunan ke separuh akhir Piala Suzuki AFF di Phuket, baru-baru ini.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51EkJ3Ofe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Pestabola Merdeka: Malaysia terus mara bergaya

ARKIB : 17/10/2008
17/10/2008 11:03pm

PETALING JAYA 17 Okt – Malaysia terus mempamer kejaguhannya di padang becak dan licin apabila menundukkan Sierra Leone 4-0 untuk melangkah ke separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-40 di Stadium Petaling Jaya, sebentar tadi.

Pasukan negara bagaimanapun terpaksa menanti sehingga penjaga gol Sierra Leone bertukar sebelum membuka jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-69.

Tiga lagi gol Malaysia dijaringkan Safee Sali dan pemain kembar, Aidil Zafuan Radzak serta Zaquan Adha Radzak.

Kemenangan kedua selepas membenam Nepal 4-0, Rabu lalu turut melonjakkan Malaysia sebagai peneraju Kumpulan A, sedangkan Sierra Leone bakal berdepan masalah besar selain menanggung kekalahan sulung kerana mereka kehilangan dua pemain yang tercedera. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_35.htm#ixzz50wUPsIHo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

Sathia buat rombakan pertahanan

ARKIB : 12/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
Pemain Malaysia, Zaquan Adha Radzak (kiri) dihalang lawan dari Pakistan, Imran Naizi pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. Malaysia menang 4-1.

KUALA LUMPUR – Jurulatih negara, B. Sathianathan membuat kejutan dengan menggugurkan benteng senior, Fauzie Nan daripada skuad bola sepak negara ke Pestabola Merdeka Ke-40 dengan menyenaraikan dua muka baru, Ashaari Shamsuddin dan Farderin Kadir.

Bek kanan Perlis itu yang didapati masih mengalami kecederaan ketika menentang Pakistan dalam perlawanan persahabatan, kelmarin diketepikan bersama tujuh lagi pemain iaitu Nor Farhan Muhammad, Shafizan Hashim, Chun Keng Hong, Zairo Anuar Zailani, Bunyamin Umar, Farizal Marlias dan Juzaili Samion.

“Sebab itu permainan Fauzie didapati terjejas dan dikeluarkan lebih awal ketika menentang Pakistan. Shafizan diketepikan kerana tahap kecergasannya, Keng Hong, Farizal dan Bunyamin pula masih kurang pengalaman, malah ada pemain yang lebih baik di posisi mereka.

“Zairo pula sudah lama tidak bermain di arena antarabangsa dan Juzaili masih terganggu dengan kecederaan lama sementara Farhan perlu banyak meningkat untuk menyaingi Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal di sayap kanan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Fauzie bermain dalam tiga persahabatan dengan Indonesia, India dan Chelsea dari Jun hingga Julai lalu manakala Pestabola menjadi pertandingan sulung antarabangsa buat pemain muda Terengganu, Ashaari dan Farderin dari Kuala Muda Naza.

Ashaari juga merupakan antara yang memikat di Bukit Jalil, kelmarin dengan kerajinan dan ilhamnya mencipta ruang dan serangan untuk rakan sementara Farderin diperlukan Sathianathan untuk menyuntik kepantasan barisan depan skuad negara seperti ketika mengunjungi Slovakia, bulan lalu.

Kaironnisam Sahabuddin Hussain yang tampil semula sejak Piala Asia tahun lalu diberikan peranan sebagai pemain tengah sejak kebelakangan ini berbanding posisi biasanya, bek tengah.

Bagaimanapun, menurut Sathianathan, tiga daripada lapan yang digugurkan ini masih berpeluang dipanggil semula bagi persediaan terakhir menghadapi misi kemuncak skuad negara - Piala Suzuki AFF di Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini.

Skuad negara menghadapi Nepal pada perlawanan pertamanya dalam Kumpulan A Pestabola di Stadium Petaling Jaya, Rabu ini selain Sierra Leone dan Afghanistan manakala Mozambique, Myanmar, Bangladesh dan Vietnam membentuk Kumpulan B di Stadium Shah Alam.

Kelmarin, Malaysia menunjukkan persembahan yang kurang meyakinkan khususnya dalam babak pertama biarpun membenam Pakistan 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kata Sathianathan, menentang Pakistan turut membuktikan betapa kurang bersedia skuad negara dari segi ketahanan mental apabila mudah terbawa-bawa dengan tanggapan bahawa lawan ialah sebuah pasukan lemah.

“Kita juga dengan mudah menghadiahkan gol tunggal Pakistan (minit ke-89). Ada pemain yang ‘tidur’ dan tidak sepatutnya melepaskan gol semacam itu. Ia tidak boleh diulangi apabila kita bermain perlawanan sebenar seperti Pestabola mahu pun Piala Suzuki AFF,” ujarnya.

“Namun, dalam setiap perlawanan antarabangsa, kita tidak akan boleh menyudahkan kesemua gerakan dan corak permainan Pakistan mungkin sebaik Nepal dalam perlawanan pertama kita pada Pestabola. Yang penting juga ialah kemampuan pemain negara mencipta peluang,” katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50uALYBeU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

Slovakia lebih menarik - Zaquan

ARKIB : 06/10/2008
PETALING JAYA - Jika diberi pilihan sama ada bermain di Liga Slovakia atau Malaysia, penyerang negara Zaquan Adha Radzak cenderung untuk berkelana ke negara Eropah Tengah itu, lapor FERZALFIE FAUZI.

Bukan memikirkan soal gaji atau popular tetapi pendedahan beraksi di luar negara mampu meningkatkan mutu permainannya seterusnya memantapkan lagi pasukan kebangsaan.

''Selepas beraksi dalam empat perlawanan persahabatan di Slovakia saya telah dimaklumkan oleh ejen bola sepak di sana, saya akan diberi peluang untuk beraksi bersama salah sebuah pasukan Liga Divisyen Satu Slovakia,'' katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, buat masa ini dia dan abangnya Aidil Zafuan Radzak hanya menunggu surat dari kelab tersebut dan sudah tidak sabar untuk beraksi di sana.

''Saya tidak nafikan beberapa pasukan dalam liga tempatan ada menawarkan untuk mendapat khidmat saya tetapi kalau semua urusan bersama kelab Slovakia itu berjalan lancar saya akan ke sana.

''Buat masa ini saya masih mempunyai kontrak bersama pasukan Negeri Sembilan sehingga hujung tahun ini,'' katanya.

Zaquan juga amat berpuas hati dengan pendedahan skuad kebangsaan di Slovakia kerana memberi impak yang besar buat semua pemain.

''Corak permainan mereka sangat berbeza dan kami menentang dengan pasukan yang bagus, sukar untuk mendapat lawan seperti itu jika kami menghabiskan masa berlatih di dalam negara sahaja.

''Mereka sudah mempunyai asas yang kukuh dalam sukan bola sepak, perkara itu sahaja sudah dapat membezakan antara pemain kita dan mereka (Slovakia),'' kata Zaquan.

Sementara itu Jurulatih pasukan kebangsaan, B.Sathianathan berkata, negara Asia yang beraksi di Piala Dunia seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran semuanya menghantar pemain mereka beraksi di Eropah kecuali Arab Saudi.

''Negara Asia yang beraksi di Piala Dunia mempunyai pemain yang beraksi di luar negara mereka kecuali Arab Saudi tetapi pasukan Timur Tengah itu sentiasa berada di tempat tercorot dalam Piala Dunia.

''Kalau mahu pemain kita maju seperti negara-negara tersebut mereka sepatutnya dihantar beraksi di luar, sekurang- kurangnya di Jepun atau negara Asia yang lain,'' kata Sathia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50X4n6v6h

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Kedah kempunan khidmat kembar

ARKIB : 05/09/2008
ALOR STAR - Hasrat Kedah untuk meminjam pemain kembar dari pasukan Negeri Sembilan bagi membantu skuad Hijau Kuning mengharungi perlawanan suku akhir Piala AFC tidak kesampaian apabila tidak sempat mendaftarkan mereka sebelum 31 Ogos lalu, lapor SHARIZA ABDULLAH.

Ini berikutan wujudnya masalah yang tidak dapat dielakkan berhubung pelepasan Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak untuk menyertai pasukan Sang Kenari sehingga tarikh akhir pendaftaran pemain untuk perlawanan berkenaan ditutup pada Ahad lepas.

Apa pun, ketua jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, beliau menaruh sepenuh kepercayaan kepada pemain sedia ada untuk menggalas cabaran Kedah pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, Kedah berhasrat meminjam pemain tempatan dari pasukan lain supaya mempunyai lebih pilihan dalam kesebelasan utama selepas kehilangan pemain importnya.

Bagaimanapun, kata beliau, kegagalan mendapatkan khidmat pasangan kembar itu tidak akan menjejaskan rentak dan tumpuan anak buahnya menjelang perlawanan berkenaan.

"Saya tetap yakin dengan kemampuan barisan sedia ada sebagaimana yang telah dibuktikan mereka sebelum ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sang Kenari sebelum ini dikatakan berminat meminjam kedua-kedua pemain muda itu bagi membantu mereka mengharungi perlawanan suku akhir Piala AFC.

Dalam perlawanan suku akhir pertama pada 16 September ini, Kedah yang meraih tiga gelaran juara Liga Malaysia dua musim berturut-turut akan bertandang ke Bahrain untuk menentang pasukan Al Muharraq manakala perlawanan pusingan kedua di sini akan berlangsung pada 23 September.

Sementara itu, Mohd. Azraai berkata, waktu latihan skuad Sang Kenari akan ditukar kepada sebelah malam bermula Isnin ini sebagai persiapan rapi menghadapi perlawanan peringkat kalah mati itu.

"Latihan pada sebelah malam akan diadakan selepas solat sunat tarawih. Buat masa sekarang, pemain-pemain hanya mengadakan latihan ringan pada sebelah petang bermula kelmarin bagi mengekalkan tahap kecergasan mereka,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50NCEnZ3N

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Peluang cerah untuk Kit Kong

ARKIB : 30/05/2008

pasukan Malaysia memerlukan satu lagi perlawanan ujian lain sebelum ke Surabaya, Indonesia bagi perlawanan persahabatan antarabangsa 6 Jun ini ekoran dikatakan kurang agresif.

PETALING JAYA - Penyerang Kuala Muda Naza, Liew Kit Kong memiliki peluang cerah untuk kembali menyarung jersi negara buat kali pertama sejak 2005, apabila Malaysia menentang Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Surabaya, 6 Jun ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Dua jaringannya ketika skuad negara membelasah Polis 7-0 dalam perlawanan pemanas badan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, tampak semakin meyakinkan ketua jurulatih B. Sathianathan untuk menyenaraikannya bersama skuad 20 pemain terbaik ke sana.

Penjaring dua gol ke atas Indonesia pada separuh akhir Piala Tiger 2004 di Jakarta itu turut memanfaatkan kesempatan lebih 45 minit dalam membuktikan sentuhannya lebih berbisa di kalangan tonggak depan senior lain seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin dan Nizaruddin Yusof.

"Saya masih cuba bersaing merebut tempat dan sukar memastikan sama ada boleh mencapai tahap antarabangsa setelah kali terakhir bermain pada Sukan Perpaduan Islam di Jeddah 2005," katanya.

Lima lagi gol dijaring oleh Chun Keng Hong, Azi Shahril Azmi, Akmal, Hardi Jaafar dan Aidil Zafuan Radzak ketika ramai tonggak skuad Piala Antara Benua, minggu lalu seperti Safee Sali, Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah dan Khyril Muhymeen Zambri direhatkan bagi memberi peluang kepada kebanyakan tonggak senior.

Antara mereka ialah penjaga gol Helmi Eliza Elias, bek kiri - Irwan Fadly Idrus, P. Gunalan, bek kanan - Juzaili Samion, sayap kanan - Eddy Helmi Manan dan K. Soley yang belum pernah beraksi di bawah bimbingan Sathianathan yang mula menerajui skuad negara sejak Ogos 2007.

Turut menonjol semalam ialah penjaga gol gantian, Badrul Zaman Halim dari kelab Liga Perdana, PKNS yang mungkin mampu mencipta kejutan untuk disenaraikan ke skuad negara kali pertama ketika bersaing dengan Helmi dan pemain Shahzan Muda, Farizal Marlias.

Sathianathan bagaimanapun beranggapan bahawa barisan negara masih kurang agresif menjelang menentang Indonesia apatah lagi ketandusan lawan yang benar-benar mampu menguji anak buahnya sama ada di peringkat Liga Malaysia mahupun luar negara selain Polis.

"Saya masih cuba mencari satu lagi perlawanan selewat-lewatnya 3 Jun ini," katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWnvp357
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 20 November 2017

Aidil sanjung semangat juang rakan



Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my 
Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Aidil Zafuan Radzak menerima kekalahan skuad itu dengan hati terbuka selepas mereka tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti.

Dia yang hanya mampu menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor DT dan Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin sebagi penonton selepas digantung satu perlawanan apabila mengutip dua kad kuning mengakui tetap bangga dengan kesungguhan rakan sepasukan dan tiada rezeki untuk pasukan itu menjulang kejuaraan piala berprestij pada musim ini.

“Ia final yang hebat. Sayang sekali saya tidak dapat bersama rakan sepasukan berjuang di padang, namun mereka sudah memberi persembahan terbaik pada perlawanan itu.

“Musim ini kami berjaya merangkul kejuaraan Liga Super dan kami tetap bersyukur dengan kejayaan itu, namun tidak bernasib baik kerana gagal memburu kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya tetap bangga semangat juang rakan sepasukan apabila mereka berdepan lawan yang kuat dan mengucapkan tahniah kepada Pahang kerana mengekalkan kejuaraan piala berprestij itu,” katanya.

Sememangnya nasib tidak menyebelahi skuad Harimau Selatan apabila dua percubaan Luciano Figueroa pada babak pertama disusuli rembatan leret Jorge Pereyra Diaz pada babak kedua sekadar singgah di tiang gol tatkala penguasaan jelas milik anak didik Bojan Hodak.

Apapun Aidil yakin skuad itu akan melakukan kebangkitan musim depan bagi mengekalkan momentum kejuaraan Liga Super dan bersaing pada Piala AFC.

“Musim depan, kami berdepan cabaran lebih sengit dan pastinya latihan mantap serta konsisten amat penting bagi mengekalkan corak permainan yang lebih ampuh,” jelasnya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:02 AM

Sabtu, 4 November 2017

Piala Malaysia hadiah buat penyokong: Aidil



Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
PENJARING gol pertama Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak menghadiahkan kejayaan pasukan menjuarai Piala Malaysia musim ini kepada penyokong skuad selatan tanah air itu selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Kedah dalam final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tonggak pertahanan tengah itu berkata, ia hadiah istimewa buat penyokong setia Harimau Selatan yang sentiasa berada di belakang kelab sepanjang musim ini.

“Sudah tentu ia sangat istimewa apabila dapat menjaringkan gol penting terutama dalam perlawanan akhir dan saya gembira dapat membantu Johor meraih kemenangan sekali gus juara Piala Malaysia,” katanya.

Pada pertemuan itu, Johor DT mengejutkan Kedah seawal minit kedua hasil tandukan Aidil sebelum pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-63 yang menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.


PEMAIN Johor DT meraikan kemenangan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Ujar pemain berusia 30 tahun itu lagi, semua pemain wajar dijulang sebagai wira selepas mereka bertungkus-lumus mencipta kemenangan bermakna, pada aksi kemuncak yang penuh dramatik itu.

“Gol pertama itu memang penting untuk menaikkan semangat kami. Saya hanya menjalankan tugas dan memang tanggungjawab saya sebagai pemain cuba menjaringkan gol walaupun beraksi di bahagian pertahanan.

“Apapun, saya ucap terima kasih kepada semua termasuk pengurusan pasukan, jurulatih dan penyokong. Musim ini amat mencabar buat kami, namun kami berjaya akhiri saingan dengan satu lagi catatan sejarah buat kelab,” katanya.

Kejayaan merampas Piala Malaysia itu memastikan trofi berprestij itu kembali menuju ke selatan tanahair selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.

Transformasi yang berlaku ke atas kelab itu pada 2013 dengan menggunakan nama baru iaitu, Johor DT meletakkan mereka kini sebagai raja bola sepak tanahair apabila mendominasi saingan tempatan dengan merangkul Liga Super sebanyak empat kali (2014, 2015, 2016, 2017) dan Piala Sumbangsih dua kali (2015, 2016) selain menjulang Piala FA dan Piala AFC sekali, masing-masing pada 2016 serta 2015.


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meraikan kemenangan Johor DT bersama penyokong di Stadium Shah Alam. FOTO/ASYRAF HAMZAH

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:01 PM

Isnin, 23 Oktober 2017

Wan Jamak enggan mendabik dada

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
AIDIL ZAFUAN (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan.

KEMENANGAN 2-0 Negeri Sembilan Naza (NS Naza) ke atas Perlis pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin masih belum cukup menggembirakan pengendali skuad Hobin Jang Hobin.

Pengendali NS Naza, Wan Jamak Wan Hassan berkata, walaupun skuadnya bangkit daripada kekalahan menentang Kedah tempoh hari, masih banyak yang perlu dibaiki terutama di bahagian serangan.

“Saya menganggap pasukan ini masih lagi mentah dan perlu diberi lebih banyak pendedahan. Namun, saya berbangga kerana menunjukkan satu persembahan yang baik.

“Apa yang saya nyatakan kepada mereka, usah gentar berhadapan lawan, nampaknya berbaloi,” katanya malam kelmarin.

Pada aksi kelmarin, NS Naza berjaya menumpaskan Perlis melalui jaringan Mohd. Aidil Zafuan pada minit ke-18 dan S. Kunalan (73).

Dengan kemenangan itu, NS Naza kini menduduki tangga kedua selepas mengumpul 19 mata berbanding pendahulu, Kedah dengan 22 mata.

Wan Jamak turut memuji aksi yang dipersembahkan penyerang import, Lamin Conteh yang berjaya mengkucar-kacirkan benteng lawan sehingga membuka ruang NS Naza merobek gawang lawan.

“Saya yakin, Negeri Sembilan Naza akan memberikan saingan yang lebih baik pada aksi seterusnya.

“Namun, pemain-pemain jangan alpa dengan kemenangan ini kerana kesilapan yang dilakukan dalam padang boleh menjejaskan kedudukan dalam Liga Super, sekali gus menyebabkan skuad Rusa ini tersingkir pada saingan Piala Malaysia,” katanya.

Katanya, kemenangan itu memberikan lebih banyak pengajaran kepada anak buahnya untuk terus mencatatkan kemenangan.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wLCazJK0
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Malaysia tidak gentar ‘kerja rumah’ Singapura


ARKIB : 08/12/2007

KORAT– Bek tengah skuad bola sepak negara, Aidil Zafuan Radzak masih terbayang kenangan beraksi tanpa adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak dalam Kejohanan Belia Asia di India, tahun lalu apabila menghadapi Singapura dalam perlawanan Kumpulan B bola sepak lelaki Sukan SEA, hari ini.

Kata pemain berusia 20 tahun kelahiran Negeri Sembilan ini, ketiadaan saudaranya itu dalam saat segenting dan penting ini cukup terasa apatah lagi aksi di Stadium Universiti Teknologi Suranaree merupakan yang pertama baginya selepas menjalani penggantungan dua perlawanan.

‘‘Saya terasa seperti ketika kejohanan di India itu. Saya turun tanpa Zaquan yang ketika itu baru menjalani pembedahan akibat kecederaan lutut. Kami sudah berusaha dan bersedia sejauh itu, malangnya salah seorang tidak dapat bermain.

‘‘Saya pula baru berpeluang bermain (kerana kad merah dalam Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain, 28 Oktober lalu) tetapi saya percaya, jurulatih akan membuat pilihan yang tepat untuk mengambil alih tempat Zaquan sebagai penyerang,’’ katanya.

Tanpa Zaquan di India, Malaysia kalah kesemua perlawanan iaitu kepada Vietnam, Arab Saudi dan Iraq tetapi prestasi adik kembar Aidil itu didapati semakin meningkat sejak Malaysia dikalahkan Vietnam 3-1, Sabtu lalu dan membenam Laos 4-0, Isnin lalu.

Malaysia akan berentap dengan Singapura bukan sahaja dalam perebutan tiket ke separuh akhir bahkan penentuan juara dan naib juara Kumpulan B sambil perlu menanti kesudahan antara Vietnam dengan Laos di Stadium Perbandaran Korat, hari ini.

Satu lagi kekalahan bererti anak buah B. Sathianathan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Korat, menyusuli langkah longlai skuad wanita yang sudah tersingkir lebih awal selepas dibelasah Thailand 6-0 dan Myanmar 5-0.

Sementara itu, Sathianathan tidak kisah sejauh mana ‘kerja rumah’ atau intipan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic terhadap pasukan Malaysia sepanjang tempoh rehat selepas dua perlawanan di Korat selama lima hari ini.

‘‘Kami akan turun seperti biasa dengan perancangan tertentu dan misi mahu menang. Seri bukan pilihan kami (walaupun membantu jika Laos mengikat Vietnam). Saya sudah biasa dengan taktikalnya terutama ketika Pestabola Merdeka, Ogos lalu.

‘‘Saya fikir dia juga mengenali ramai pemain pasukan walaupun saya mungkin membuat rombakan barisan terutama penyerang selepas kehilangan Zaquan, Amirulhadi Zainal (sayap kanan) dan Azi Shahril Azmi (ketua pasukan),’’ katanya.

Malaysia lebih produktif dalam membolosi lawan dengan mengumpul lima gol menerusi Chun Keng Hong, Amirulhadi, Safee Sali (dua) dan Safiq Rahim sementara Singapura yang diikat 0-0 oleh Laos, sekadar beroleh dua gol sendiri pemain Vietnam ketika menang 3-2.

Sementara itu, Avramovic dari Serbia menganggap ketiadaan Zaquan yang bakal digantikan oleh Norshahrul Idlan Talaha, satu berita gembira buat anak buahnya yang turut kehilangan pemain tengah bertahan, Isa Halim kerana kad merah ketika menentang Vietnam.

– Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4w3Ao9MVP
© Utusan Melayu (M) Bhd