ARKIB : 05/09/2008
ALOR STAR - Hasrat Kedah untuk
meminjam pemain kembar dari pasukan Negeri Sembilan bagi membantu skuad Hijau
Kuning mengharungi perlawanan suku akhir Piala AFC tidak kesampaian apabila
tidak sempat mendaftarkan mereka sebelum 31 Ogos lalu, lapor SHARIZA ABDULLAH.
Ini berikutan wujudnya masalah
yang tidak dapat dielakkan berhubung pelepasan Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd.
Zaquan Adha Abdul Razak untuk menyertai pasukan Sang Kenari sehingga tarikh
akhir pendaftaran pemain untuk perlawanan berkenaan ditutup pada Ahad lepas.
Apa pun, ketua jurulatihnya,
Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, beliau menaruh sepenuh kepercayaan kepada
pemain sedia ada untuk menggalas cabaran Kedah pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, Kedah berhasrat meminjam
pemain tempatan dari pasukan lain supaya mempunyai lebih pilihan dalam
kesebelasan utama selepas kehilangan pemain importnya.
Bagaimanapun, kata beliau,
kegagalan mendapatkan khidmat pasangan kembar itu tidak akan menjejaskan rentak
dan tumpuan anak buahnya menjelang perlawanan berkenaan.
"Saya tetap yakin dengan
kemampuan barisan sedia ada sebagaimana yang telah dibuktikan mereka sebelum
ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sang Kenari sebelum ini
dikatakan berminat meminjam kedua-kedua pemain muda itu bagi membantu mereka
mengharungi perlawanan suku akhir Piala AFC.
Dalam perlawanan suku akhir
pertama pada 16 September ini, Kedah yang meraih tiga gelaran juara Liga
Malaysia dua musim berturut-turut akan bertandang ke Bahrain untuk menentang
pasukan Al Muharraq manakala perlawanan pusingan kedua di sini akan berlangsung
pada 23 September.
Sementara itu, Mohd. Azraai
berkata, waktu latihan skuad Sang Kenari akan ditukar kepada sebelah malam
bermula Isnin ini sebagai persiapan rapi menghadapi perlawanan peringkat kalah
mati itu.
"Latihan pada sebelah
malam akan diadakan selepas solat sunat tarawih. Buat masa sekarang,
pemain-pemain hanya mengadakan latihan ringan pada sebelah petang bermula
kelmarin bagi mengekalkan tahap kecergasan mereka,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50NCEnZ3N
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan