Khamis, 14 Disember 2017

Aidil kembali beri fokus

ARKIB : 21/12/2008
KUALA LUMPUR - Bek tengah negara, Aidil Zafuan Radzak yang mencetuskan kontroversi pernikahan mengejutnya dengan pelakon Rita Rudaini, bakal kembali menyertai sesi latihan skuad Negeri Sembilan, minggu ini selepas memohon pengecualian buat sementara waktu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Jurulatih skuad Rusa, Wan Jamak Wan Hassan mengesahkan bahawa pemain berbakat besar berusia 21 tahun kelahiran Seremban itu turut akan bersama ke Johor mulai esok untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan menjelang Liga Super 2009, bulan depan.

"Dia minta bercuti sampai esok (semalam). Tidak mengapalah, kami cuba berikan dia peluang dulu, tidak mahu ganggu dia lagi," katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Negeri Sembilan yang menolak pencalonan ke Piala AFC 2009 atas alasan kewangan, menentang Johor FC di Stadium J-Corp, Pasir Gudang semalam; Majlis Bandaraya Johor Bahru (Selasa) dan Johor (Khamis).

Sebelum ini mereka yang beraksi tanpa trio negara - Aidil, adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak dan ketua pasukan, Shukor Adan, muncul naib juara liga sepusingan Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Terengganu di belakang tuan rumah, Terengganu dan mengatasi KL PLUS dan Kelantan.

Zaquan, penyerang utama Negeri Sembilan mengesahkan bahawa abang kembarnya turut memberitahu, dia mahu menyelesaikan masalah peribadi itu terlebih dulu supaya dapat kembali fokus kepada karier bola sepaknya.

"Memang dia ada memohon kepada jurulatih dan memberitahu saya untuk bercuti seketika tetapi mulanya tidak menyebut sehingga bila," katanya.

Zaquan bagaimanapun yakin dengan kemampuan Aidil Zafuan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan keluarga.

Pasangan kembar itu merupakan antara tonggak kejayaan Negeri Sembilan bergelar naib juara Liga Super musim 2007-8 malah dikatakan sempat cuba dipancing oleh pasukan handalan lain seperti Kedah dan Selangor bagi menghadapi musim baru Liga M mulai 3 Januari ini.

Mereka turut membantu skuad Bawah 23 Tahun Malaysia mengakhiri kemarau kejuaraan Pestabola Merdeka selama 14 tahun dengan memenanginya tahun lalu tetapi kempunan ke separuh akhir Piala Suzuki AFF di Phuket, baru-baru ini.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51EkJ3Ofe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan