Isnin, 20 November 2017

Aidil sanjung semangat juang rakan



Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my 
Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Aidil Zafuan Radzak menerima kekalahan skuad itu dengan hati terbuka selepas mereka tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti.

Dia yang hanya mampu menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor DT dan Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin sebagi penonton selepas digantung satu perlawanan apabila mengutip dua kad kuning mengakui tetap bangga dengan kesungguhan rakan sepasukan dan tiada rezeki untuk pasukan itu menjulang kejuaraan piala berprestij pada musim ini.

“Ia final yang hebat. Sayang sekali saya tidak dapat bersama rakan sepasukan berjuang di padang, namun mereka sudah memberi persembahan terbaik pada perlawanan itu.

“Musim ini kami berjaya merangkul kejuaraan Liga Super dan kami tetap bersyukur dengan kejayaan itu, namun tidak bernasib baik kerana gagal memburu kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya tetap bangga semangat juang rakan sepasukan apabila mereka berdepan lawan yang kuat dan mengucapkan tahniah kepada Pahang kerana mengekalkan kejuaraan piala berprestij itu,” katanya.

Sememangnya nasib tidak menyebelahi skuad Harimau Selatan apabila dua percubaan Luciano Figueroa pada babak pertama disusuli rembatan leret Jorge Pereyra Diaz pada babak kedua sekadar singgah di tiang gol tatkala penguasaan jelas milik anak didik Bojan Hodak.

Apapun Aidil yakin skuad itu akan melakukan kebangkitan musim depan bagi mengekalkan momentum kejuaraan Liga Super dan bersaing pada Piala AFC.

“Musim depan, kami berdepan cabaran lebih sengit dan pastinya latihan mantap serta konsisten amat penting bagi mengekalkan corak permainan yang lebih ampuh,” jelasnya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:02 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan