SUKAN»Bola
Rabu, 6
Disember 2017 | 10:00am

ZAQUAN Adha
sertai Kuala Lumpur musim depan. - Foto Muhaizan Yahya
Zaquan tekad
ulangi era gemilang KL
Oleh Rodly
Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR:
Impian besar Kuala Lumpur mahu mengulangi zaman kegemilangan yang pernah mereka
kecapi pada 1980-an menjadi tarikan utama kepada Zaquan Adha Abdul Radzak untuk
menyertai skuad warga kota itu.
Zaquan yang
menurunkan tandatangan persetujuan petang semalam berkata, dia tertarik dengan
perancangan skuad bimbingan Fabio Maciel itu yang mempunyai hala tuju jelas.
Apatah lagi
apabila mengetahui namanya berada dalam senarai teratas sebagai pemain 'paling
dikehendaki' oleh Maciel bagi membentuk skuad 2018 yang bakal beraksi dalam
Liga Super.
"Sejak
awal perbincangan dengan pengurusan Kuala Lumpur saya sudah tertarik dengan
perancangan mereka yang mahu menjadikan pasukan itu sehebat skuad 1980-an.
"Malah
saya diberitahu nama saya dicadangkan jurulatih mereka sendiri. Ini bermakna
beliau mempercayai kebolehan saya, sesuatu yang sangat penting bagi seorang
pemain.
"Cuma,
ketika itu saya tidak terus menyatakan persetujuan kerana mahu menilai sejauh
mana kesungguhan Kuala Lumpur untuk merealisasikan impian mereka.
"Pada
masa sama, saya turut menerima tawaran daripada beberapa pasukan. Jadi, saya
perlu menimbangkan pro dan kontra sebelum membuat keputusan, ia bukan soal gaji
semata-mata tapi perlu dilihat daripada pelbagai sudut," katanya.
Zaquan yang
berpengalaman luas, menyertai pasukan Negeri Sembilan, Angkatan Tentera
Malaysia, Johor Darul Ta'zim dan Perak sebelum ini, yakin dengan barisan pemain
dimiliki, Kuala Lumpur mampu memenuhi hajat mereka.
"Gabungan
pemain asal pasukan ini yang membawa mereka menjuarai Liga Perdana serta
kemasukan beberapa bintang tempatan seperti Indra (Putera Mahayuddin), juga
pemain import berkualiti, mampu melonjakkan Kuala Lumpur.
"Malah,
saya sangat berkeyakinan dengan kemampuan jurulatihnya kerana beliau terbukti
seorang yang bagus apabila mampu mengubah nasib Kuala Lumpur dalam waktu
singkat selepas mengambil alih pasukan ini," ujar Zaquan.
Untuk rekod
Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut bermula pada
1987. Selain itu mereka pernah menjuarai Piala FA sebanyak tiga kali (1993,
1994, 1999) di samping muncul juara liga pada 1986 dan 1988.
Mengenai
jodohnya bersama Perak yang hanya bertahan selama semusim, Zaquan berkata ia
bukan pilihannya kerana pasukan itu yang tidak berminat menyambung kontrak.
"Jika
diberi pilihan, saya mahu terus bersama Perak kerana saya rasa musim 2018
adalah yang terbaik untuk saya memenangi sekurang-kurangnya satu piala bersama
mereka.
"Ini
kerana skuad yang dibentuk pada 2017 oleh Mehmet (Durakovic) sudah menunjukkan
keserasian. Malah, saya sendiri sudah berasa selesa bersama pasukan itu tapi
apa nak buat, pengurusan Perak mungkin mempunyai perancangan lain,"
katanya.
SUMBER-BERITA
HARIAN ONLINE Rabu, 6 Disember 2017 | 10:00am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan