MyMetroArena

PENYERANG Kedah, Zaquan Adha
Radzak mengetepikan sementara ikatan adik beradik dengan pasangan kembarnya,
Aidil Zafuan Radzak yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala
Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Bekas pemain kebangsaan itu yang
pernah menjulang Piala Malaysia dua kali bersama Aidil pada 2009 dan 2011
sewaktu beraksi dengan Negeri Sembilan, menegaskan fokus utamanya adalah
membantu Kedah menjulang piala itu buat kali keenam walaupun sedar abangnya
Aidil turut memasang impian sama.
Kedah muncul juara Piala Malaysia
sebanyak lima kali iaitu pada 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016, manakala JDT
meraih kejuaraan sulung pada 2017 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final
di Stadium Shah Alam.
“Sentimen adik beradik itu kami
perlu tolak ke tepi dahulu apabila berada di tengah padang, cuma kami berdua
akan buat yang terbaik untuk pasukan masing-masing, dan doa emak itu penting.
Menang kalah adat pertandingan.
“Final kali ini memang berbeza
kerana saya beraksi menentang pasukan abang saya dan perlawanan akhir ini tidak
akan sama dengan perlawanan lain sama ada di peringkat kumpulan dan sebagainya
kerana setiap pemain ingin beraksi di final,” katanya ketika ditemui pemberita
di Petaling Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaquan mengakui
dia dan Aidil sudah memahami permainan masing-masing kerana pernah beraksi
bersama sejak mewakili negeri kelahiran mereka, Negeri Sembilan dari 2006
hingga 2011, namun dia percaya perancangan taktikal terbaik pasukan
masing-masing menjadi penentu pemenang perlawanan malam esok.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 1 November 2019 @ 9:41 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan