Khamis, 24 Januari 2019

Aidil akui standard sudah meningkat


ARKIB : 11/02/2011
KUALA LUMPUR – Bekas ketua pasukan negara, Mohd. Aidil Zafuan mengakui terdapat sedikit perbezaan dalam corak permainan rakan-rakan sepasukannya selepas membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan dalam tempoh lima bulan.

Menurut Aidil, dia dapat berasakan terdapat peningkatan ketara terutama dari segi hantaran dan kepantasan melakukan serangan dengan persefahaman yang semakin baik di kalangan pemain.

“Selepas beraksi malam ini, saya dapati saya perlu meningkatkan lagi tahap permainan bagi menyamai standard rakan-rakan yang lain.

“Saya dapati cara permainan mereka sudah berbeza dan saya memerlukan masa dalam dua ke tiga perlawanan bagi mendapat rentak sebenar bersama rakan-rakan,” katanya yang ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Hong Kong, kelmarin.

Aidil yang mengalami kecederaan ligamen silangan depan (ACL) semasa perlawanan akhir Piala Malaysia terpaksa melupakan panjang kejohanan Sukan Asia Guangzhou dan Piala Suzuki AFF.

Ketiadaannya bagaimanapun berjaya digalas pemain muda, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas yang beraksi baik dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

Menyentuh persembahannya kelmarin, Aidil berpuas hati kerana berjaya meraih kepercayaan jurulatih, K. Rajagobal bagi merebut kembali kesebelasan utama.

“Terus terang, saya tidak menyangka akan diberi kepercayaan untuk beraksi dan gembira kerana boleh beraksi dengan baik bersama Mohd. Fadhli Shas.

“Saya dapat rasa yang kami berdua ada keserasian untuk beraksi bersama di bahagian pertahanan dan ia bagus untuk kami dalam menghadapi perlawanan antarabangsa seterusnya, ” ujarnya.

Ditanya mengenai perebutan tempat di bahagian pertahanan yang semakin sengit ditambah dengan kehadiran Muslim dan Mohd. Faizal Muhammad, Aidil mengakui ia satu perkara yang baik dan dia langsung tidak merasai sebarang tekanan untuk beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan.

“Bagi saya ini satu aspek positif mengenai skuad kali ini, ia menandakan semakin ramai pemain berkualiti yang menyarung jersi negara, ” jelasnya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dWLNDsbt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 19 Januari 2019

Kita arif taktikal Vietnam - Aidil


 
ARKIB : 11/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Norshahrul Idlan Talaha menjadi taruhan terbaik K. Rajagobal untuk meledak gol apabila Malaysia berdepan Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

KUALA LUMPUR - Berdepan Vietnam pada separuh akhir Piala Suzuki AFF sebenarnya memberikan kelebihan kepada skuad negara untuk melangkah ke perlawanan akhir, berbanding jika menentang Filipina.

Pemain negara yang tidak dapat beraksi akibat cedera, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak juga menganggap kelebihan sebenarnya berpihak kepada Malaysia kerana bertemu Vietnam, kerana rakan-rakannya sudah banyak kali bertemu pasukan itu di peringkat Sukan SEA atau Piala AFF.

''Kebanyakan pemain negara sudah masak dengan taktikal dan corak permainan Vietnam. Saya yakin ini memudahkan tugas jurulatih (K.Rajagobal) untuk merangka strategi yang sesuai dan berkesan.

''Setiap kali berdepan Vietnam pada perlawanan sebelum ini, terutama pada Sukan SEA, semangat kami pasti membara untuk menewaskan mereka, memandangkan status mereka sebagai pasukan No. 1 Asia Tenggara.

''Jika berdepan Filipina, kita mungkin terlalu asing dengan corak permainan mereka, apatah lagi skuad itu berwajah baru kerana mendapat sentuhan ramai pemain baru, '' katanya ketika dihubungi, semalam.

Walaupun rekod pertemuan banyak memihak kepada Vietnam, Aidil menegaskan setiap perlawanan adalah berbeza dan rakan-rakannya tidak harus bimbang mengenai rekod pertemuan lalu.

''Pada kejohanan Piala Millenium Thang Long pada September lalu, kita tewas kepada Vietnam.

Namun, jelasnya Malaysia menang pada penentuan pingat emas Sukan SEA di Laos, tahun lalu.

"Jadi saya anggap peluang kedua-dua pasukan seimbang, biarpun mungkin sebelum ini Vietnam banyak kali menang ke atas Malaysia, '' ujarnya.

Mengenai kekuatan Vietnam berdasarkan pengalamannya, Aidil mengakui skuad bimbingan Henrique Calisto mempunyai beberapa kualiti yang harus diberikan perhatian.

''Vietnam sebuah pasukan yang bekerja keras, sentiasa mencabar pemain lawan ketika menguasai bola dan tidak kenal erti putus asa malah tempo permainan mereka begitu pantas.

''Namun, saya percaya kekuatan skuad kita boleh mengimbangi dengan kelebihan yang kita ada.

''Saya lihat Vietnam lebih tertekan kerana mahu mempertahankan kejuaraan,'' ujarnya.

Aidil berharap Malaysia mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Rabu ini, sebelum ke Hanoi untuk perlawanan kedua pada 18 Disember ini.

''Kemenangan di tempat sendiri dapat membantu psikologi pemain sebelum bertandang ke tempat lawan, di samping mengelak tekanan berlebihan, '' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7aE3Piv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bangkit melawan - Aidil

ARKIB : 04/12/2010
Oleh Ilah Hafiz Aziz
hafiz.aziz@utusan.com.my
 
Pemain negara, Aidil Zafuan (baju merah) dan Zaquan Adha optimis Malaysia mampu bangkit pada pertemuan menentang Thailand, hari ini. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR - Perit melihat kekalahan awal di Piala Suzuki AFF yang sedang berlangsung, ketua pasukan bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak mahu rakan pasukan membaiki setiap kelemahan untuk mengejutkan Thailand, hari ini.

Aidil yang terlepas peluang ke Jakarta ekoran kecederaan, tidak melihat kekalahan itu menghalang kemaraan Malaysia, sebaliknya dia meniup semangat supaya setiap ahli skuad bimbingan K. Rajagobal itu memberi yang terbaik dalam pertarungan seterusnya.

"Baiki kesilapan dan tidak mustahil kita mampu mengejutkan Thailand malam ini."

"Kita masih berpeluang, seperti mana yang kita lakukan di Sukan SEA, tahun lalu malah Thailand sendiri hanya seri dengan Loas dalam perlawanan pembukaan lalu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas sesi fotografi bersama kembarnya, Zaquan Adha di gedung pakaian sukan, Mizi Sports Centre, semalam.

Menyaksikan perlawanan menentang Indonesia, Rabu lalu, Aidil memberitahu, pengalaman menjadi salah satu kelemahan terbesar skuad Malaysia.

"Kita mempunyai beberapa pemain senior sahaja yang beraksi kali ini dan sebahagian besarnya kekurang pengalaman dan baru beraksi buat pertama kali di Piala Suzuki AFF.

"Oleh itu, saya mengharapkan mereka meningkatkan mentaliti dan paling penting semangat berpasukan dalam skuad, serta jangan ulangi kesilapan lalu," jelasnya.

Sementara itu, Zaquan yang juga penyerang kebangsaan, tidak menyalahkan barisan pertahanan negara terhadap aksi pembukaan yang memalukan itu.

"Mungkin apa yang saya katakan ini hanya alasan tetapi saya tidak berasa barisan pertahanan perlu disalahkan kerana kami sendiri pernah berada di situasi itu.

"Kita cuma tidak mempunyai pemain yang tetap tetapi aksi kita di awal perlawanan agak baik namun malangnya bertemu Indonesia di tempat mereka, yang juga mempunyai pemain import dan kelebihan sekali gus milik mereka," jelasnya.

Zaquan yang turut sama dihimpit kecederaan turut mahukan skuad negara mempamer aksi terbaik menentang Thailand malam ini.

Pasangan kembar yang semakin pulih dari kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) itu akan menghadiri karnival mini Mizi Sports Centre di cawangan Sri Gombak, Batu Caves, hari ini.

Selain cawangan di sini, Mizi Sports turut menawarkan jualan murah untuk kesemua produk di premis Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7A2YpPE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 Januari 2019

Kehilangan Aidil punca Negeri Sembilan kecundang


ARKIB : 31/10/2010
 
PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan berpelukan di tengah padang sebagai meraikan kejayaan bersejarah merangkul Piala Malaysia manakala dua pemain Negeri Sembilan tunduk kecewa selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR - Kehilangan bek tengah yang juga ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan kegagalan dua pemain muda menunaikan harapan tinggi, dirumuskan sebagai faktor utama tersungkurnya Negeri Sembilan dalam mempertahankan Piala Malaysia musim ini, semalam.

Tanpa menyembunyikan kecewa namun akur dengan kemampuan Kelantan menyambar kesempatan tersebut, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Aliff Samsuddin dan Qhairul Anwar Roslani tidak dapat bermain seperti prestasi terbaik mereka sebelumnya.

"Prestasi Negeri Sembilan kali ini tidak seperti perlawanan akhir tahun lalu terutama apabila barisan pertahanan goyah setelah Aidil Zafuan tercedera lalu kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh Kelantan dalam babak kedua," katanya selepas perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dimenangi lawan 2-1.

"Perlawanan ini jelas menunjukkan dua pemain muda harapan kami tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka tetapi saya tetap memuji aksi keseluruhannya kerana kami masih mampu mara hingga ke perlawanan akhir di sebalik pelbagai masalah yang melanda khususnya kecederaan tonggak," katanya.

Gol kemenangan Badri Radzi yang menyusuli tandukan penyamaan Hairuddin Omar sekali gus menenggelamkan jaringan penalti Shahurain Abu Samah itu turut meranapkan harapan dan impian Wan Jamak mencipta rekod dalam kariernya dengan membawa Si Rusa merangkul gelaran berganda selepas menjulang Piala FA, April lalu.

Malah setelah kehilangan penyerang Zaquan Adha Radzak sejak Ogos lalu kerana kecederaan lutut, kehampaan jurulatih Negeri Sembilan itu akibat terkeluarnya abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak pada pertengahan permainan, pasti dikongsi jurulatih negara, K. Rajagobal dalam menyediakan pasukan ke Sukan Asia, bulan depan.

Negeri Sembilan juga sebenarnya mampu beroleh satu lagi gol sekiranya tonggak depan seniornya, Idris Karim mampu menyudahkan peluang depan gol dengan satu tolakan kaki yang lebih deras untuk menghampakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang hanya bersendirian pada babak pertama.

Namun Wan Jamak wajar turut berbangga dengan sumbangan sayap kanannya, S. Kunanlan yang banyak menggerakkan serangan Si Rusa dan mencipta lorongan tepat dan membuat larian yang menghuru-harakan kubu Kelantan untuk menyokong penyerang bidan terjun mereka, Shahurain dan Idris.

Tidak keterlaluan jika anak jati Semenyih ini sebenarnya mampu dijulang sebagai wira mahupun pemain terbaik jika Negeri Sembilan yang mengulangi kejayaan memiliki piala berprestij bola sepak negara dalam edisi ke-44 perlawanan akhir ini seperti ketika mereka menang 3-1, tahun lalu.

Namun corak pantas dan kemantapan pada semua bahagian turut memainkan peranan dalam kejayaan gilang-gemilang dan bersejarah Wira Merah ini selain sokongan padu ribuan penyokong mereka dan gaya kepimpinan tersendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxM5yMnB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Indra, Aidil tagih komitmen tinggi

ARKIB : 30/10/2010
KUALA LUMPUR - Indra Putra Mahayuddin dan Aidil Zafuan Radzak pernah sama-sama menyarung jersi negara di pentas antarabangsa dan cukup arif dengan asam garam bola sepak biarpun masing-masing bakal bertembung sebagai dua pihak yang bertentangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ketua pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan itu akur dengan kesulitan jurulatih kedua-duanya dalam menampilkan barisan terbaik dalam merebut Piala Malaysia pada edisi ke-44, namun lebih yakin bahawa hanya prestasi malam ini yang bakal lebih dikenang peminat dan bukannya atas alasan siapa yang turun tanpa pemain bintang.

"Setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Kalau tiada yang utama (Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam), yang kedua pun masih tidak kurang hebatnya dan mampu menggalas tugas yang diamanahkan jurulatih dengan baik. Yang penting kami kena fokus dan belajar daripada pengalaman perlawanan akhir tahun lalu,'' katanya.

Indra Putra pernah menjulang Piala Malaysia 2000 dengan Perak tetapi tuahnya itu belum berulang ketika berhijrah ke Pahang dan Selangor, malah sempat menjaringkan gol tunggal Kelantan yang dikecewakan Negeri Sembilan 3-1, tahun lalu dengan jaringan Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha.

''Saya akui sedikit sebanyak kehilangan tonggak senior (Rezal Zambery Yahya) pasti dirasai pasukan malah tanpa Zaquan (Adha Radzak, adik kembarnya), kami masih mara sejauh ini kerana kami sentiasa percayakan kerja sepasukan dan tidak terlalu bergantung kepada seseorang. Apa yang turut akan diutamakan (malam ini) ialah mengelakkan sebarang kesilapan,'' jelas Aidil Zafuan.

Indra Putra yang dihampakan Rezal dan rakan sepasukan Si Rusa 3-1 di gelanggang sama, tahun lalu, mengakui faktor pengalaman masih memainkan peranan dalam persembahan mereka malam ini, namun ia turut mampu ditampung dengan komitmen tinggi setiap pemain dalam memastikan Kelantan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas gagal pada 1955 dan 1970.

"Mungkin masih yang beranggapan bahawa tahun lepas kami kalah kerana ramai pemain muda yang belum pernah merasai pengalaman perlawanan akhir Piala Malaysia apatah lagi dengan dikelilingi ribuan penyokong sendiri dan lawan yang jumlahnya luar biasa.

"Kesilapan memang mudah berlaku dalam perlawanan segenting ini tetapi ingatan saya kepada rakan sepasukan ialah jangan terlalu takut jika tersilap kerana ia bakal mengundang kesilapan lebih besar, cuma sentiasa kena fokus permainan,'' kata Indra Putra.

Sementara itu, seorang lagi tonggak senior Piala Malaysia yang sudah enam kali merasai enam perlawanan akhir kejohanan berprestij kebangsaan ini, Shukor Adan secara berseloroh berkata, kelainan kali ini mungkin Hairuddin Omar bermain dengan Kelantan pula berbanding pada tahun lalu kerana bersama kami, Negeri Sembilan.

"Saya harap pasukan kami mengekalkan momentum permainan seperti menjuarai Piala Malaysia tahun lalu yang berasaskan semangat sepasukan dan hasil pengalaman dan kemampuan ketika berjaya berdepan ribuan penyokong Kelantan dalam Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

"Kami perlu kekang barisan serangan Kelantan yang diakui lebih berbisa bagi saya, tugas di bek tengah akan tetap ditunaikan dengan sebaik mungkin," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cxIW5Pwa
© Utusan Melayu (M) Bhd


Khamis, 3 Januari 2019

Gaji siling tak realistik


MyMetroArena
Firdaus Hashim dan Naqib Nor Said
sukanteam@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: “Hayat pemain bola sepak tak lama, bila sudah berusia atau mengalami kecederaan tentu dah tak laku,” kata kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak yang tidak bersetuju sekiranya harga siling gaji pemain diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelas penyerang kebangsaan itu, selaku pemain profesional sudah tentu setiap pemain akan mencari tawaran lumayan dan ia perkara biasa dalam dunia bola sepak.

“Main bola sepak ini ada jangka hayatnya. Ia bukan pekerjaan macam cikgu, jurutera, doktor yang akan kekal hingga pencen umur 60 tahun. Tapi bola sepak lain.

“Bila dah masuk umur 30 tahun ke atas, itu dah kira penghujung kerjaya sebagai pemain bola. Itu belum kira jika ada yang mengalami kecederaan teruk dan akhirnya terpaksa gantung but lebih awal.

“Saya tak setuju jika ia dilaksanakan (gaji siling). Lagipun pemain dibayar mengikut prestasi semasa dan jika pemain itu beraksi baik, kenapa tidak boleh menerima bayaran tinggi,” katanya yang meninggalkan pasukan Kuala Lumpur dan menyertai Kedah bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Keghairahan pasukan liga tempatan menawarkan tangga gaji yang cukup tinggi tanpa ada had maksimum menyaksikan banyak pasukan gagal melunaskan gaji pemain hingga ada terpaksa menarik diri berikutan masalah kewangan teruk.

Menerusi laporan Sukan NSTP sejak kelmarin, saingan Liga Malaysia (Liga-M) antara saingan paling lumayan di rantau Asia Tenggara dengan gaji pemain bintang tempatan mampu mencecah hampir RM70,000, manakala bagi pemain muda baharu yang meningkat naik, bermula daripada RM10,000.

Pemain import pula mampu mencecah hingga AS$43,000 (RM180,000) sebulan yang disifatkan cukup tinggi jika dibandingkan dengan Liga Thailand yang lebih rendah sedangkan taraf liga mereka berada pada satu tahap lebih berkualiti dari Liga-M.

Lantas, dengan adanya pengenalan harga siling ia dijangka mampu mengatasi masalah gaji pemain serta dapat mewujudkan persaingan secara sihat tanpa adanya dominasi satu-satu pasukan.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid berkata, biasanya pemain menerima gaji lumayan selepas ditawarkan sendiri oleh pasukan yang mahukan khidmat mereka.

“Sebagai pemain tugas kami hanya bermain bola dan berusaha mencari kemenangan buat pasukan. Hal gaji biarlah pihak pengurusan yang tentukan.

“Pada saya jika seorang pemain itu dibayar gaji yang besar dengan prestasi bagus, rasanya tak timbul masalah. Malah, gaji yang tinggi juga boleh menaikkan motivasi pemain untuk sentiasa beraksi baik dalam setiap perlawanan,” kata tonggak kebangsaan itu yang membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF selepas tewas kepada Vietnam.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 10:32 AM