ARKIB : 31/10/2010
PEMAIN dan pegawai pasukan
Kelantan berpelukan di tengah padang sebagai meraikan kejayaan bersejarah
merangkul Piala Malaysia manakala dua pemain Negeri Sembilan tunduk kecewa
selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
KUALA LUMPUR - Kehilangan bek
tengah yang juga ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan kegagalan dua pemain
muda menunaikan harapan tinggi, dirumuskan sebagai faktor utama tersungkurnya Negeri
Sembilan dalam mempertahankan Piala Malaysia musim ini, semalam.
Tanpa menyembunyikan kecewa namun
akur dengan kemampuan Kelantan menyambar kesempatan tersebut, jurulatih Negeri
Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Aliff Samsuddin dan Qhairul Anwar
Roslani tidak dapat bermain seperti prestasi terbaik mereka sebelumnya.
"Prestasi Negeri Sembilan
kali ini tidak seperti perlawanan akhir tahun lalu terutama apabila barisan
pertahanan goyah setelah Aidil Zafuan tercedera lalu kesempatan ini diambil
sepenuhnya oleh Kelantan dalam babak kedua," katanya selepas perlawanan di
Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dimenangi lawan 2-1.
"Perlawanan ini jelas
menunjukkan dua pemain muda harapan kami tidak menunjukkan prestasi sebenar
mereka tetapi saya tetap memuji aksi keseluruhannya kerana kami masih mampu
mara hingga ke perlawanan akhir di sebalik pelbagai masalah yang melanda
khususnya kecederaan tonggak," katanya.
Gol kemenangan Badri Radzi yang
menyusuli tandukan penyamaan Hairuddin Omar sekali gus menenggelamkan jaringan
penalti Shahurain Abu Samah itu turut meranapkan harapan dan impian Wan Jamak
mencipta rekod dalam kariernya dengan membawa Si Rusa merangkul gelaran
berganda selepas menjulang Piala FA, April lalu.
Malah setelah kehilangan
penyerang Zaquan Adha Radzak sejak Ogos lalu kerana kecederaan lutut, kehampaan
jurulatih Negeri Sembilan itu akibat terkeluarnya abang kembarnya, Aidil Zafuan
Radzak pada pertengahan permainan, pasti dikongsi jurulatih negara, K.
Rajagobal dalam menyediakan pasukan ke Sukan Asia, bulan depan.
Negeri Sembilan juga sebenarnya
mampu beroleh satu lagi gol sekiranya tonggak depan seniornya, Idris Karim
mampu menyudahkan peluang depan gol dengan satu tolakan kaki yang lebih deras
untuk menghampakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang hanya
bersendirian pada babak pertama.
Namun Wan Jamak wajar turut
berbangga dengan sumbangan sayap kanannya, S. Kunanlan yang banyak menggerakkan
serangan Si Rusa dan mencipta lorongan tepat dan membuat larian yang
menghuru-harakan kubu Kelantan untuk menyokong penyerang bidan terjun mereka,
Shahurain dan Idris.
Tidak keterlaluan jika anak jati
Semenyih ini sebenarnya mampu dijulang sebagai wira mahupun pemain terbaik jika
Negeri Sembilan yang mengulangi kejayaan memiliki piala berprestij bola sepak
negara dalam edisi ke-44 perlawanan akhir ini seperti ketika mereka menang 3-1,
tahun lalu.
Namun corak pantas dan kemantapan
pada semua bahagian turut memainkan peranan dalam kejayaan gilang-gemilang dan
bersejarah Wira Merah ini selain sokongan padu ribuan penyokong mereka dan gaya
kepimpinan tersendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri
Annuar Musa.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxM5yMnB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan