Oleh Ilah Hafiz Aziz
hafiz.aziz@utusan.com.my
Pemain negara, Aidil Zafuan (baju
merah) dan Zaquan Adha optimis Malaysia mampu bangkit pada pertemuan menentang
Thailand, hari ini. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR - Perit melihat
kekalahan awal di Piala Suzuki AFF yang sedang berlangsung, ketua pasukan bola
sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak mahu rakan pasukan membaiki setiap
kelemahan untuk mengejutkan Thailand, hari ini.
Aidil yang terlepas peluang ke
Jakarta ekoran kecederaan, tidak melihat kekalahan itu menghalang kemaraan
Malaysia, sebaliknya dia meniup semangat supaya setiap ahli skuad bimbingan K.
Rajagobal itu memberi yang terbaik dalam pertarungan seterusnya.
"Baiki kesilapan dan tidak
mustahil kita mampu mengejutkan Thailand malam ini."
"Kita masih berpeluang,
seperti mana yang kita lakukan di Sukan SEA, tahun lalu malah Thailand sendiri
hanya seri dengan Loas dalam perlawanan pembukaan lalu," katanya kepada
Utusan Malaysia selepas sesi fotografi bersama kembarnya, Zaquan Adha di gedung
pakaian sukan, Mizi Sports Centre, semalam.
Menyaksikan perlawanan menentang
Indonesia, Rabu lalu, Aidil memberitahu, pengalaman menjadi salah satu
kelemahan terbesar skuad Malaysia.
"Kita mempunyai beberapa
pemain senior sahaja yang beraksi kali ini dan sebahagian besarnya kekurang
pengalaman dan baru beraksi buat pertama kali di Piala Suzuki AFF.
"Oleh itu, saya mengharapkan
mereka meningkatkan mentaliti dan paling penting semangat berpasukan dalam
skuad, serta jangan ulangi kesilapan lalu," jelasnya.
Sementara itu, Zaquan yang juga
penyerang kebangsaan, tidak menyalahkan barisan pertahanan negara terhadap aksi
pembukaan yang memalukan itu.
"Mungkin apa yang saya
katakan ini hanya alasan tetapi saya tidak berasa barisan pertahanan perlu
disalahkan kerana kami sendiri pernah berada di situasi itu.
"Kita cuma tidak mempunyai
pemain yang tetap tetapi aksi kita di awal perlawanan agak baik namun malangnya
bertemu Indonesia di tempat mereka, yang juga mempunyai pemain import dan
kelebihan sekali gus milik mereka," jelasnya.
Zaquan yang turut sama dihimpit
kecederaan turut mahukan skuad negara mempamer aksi terbaik menentang Thailand
malam ini.
Pasangan kembar yang semakin
pulih dari kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) itu akan menghadiri
karnival mini Mizi Sports Centre di cawangan Sri Gombak, Batu Caves, hari ini.
Selain cawangan di sini, Mizi
Sports turut menawarkan jualan murah untuk kesemua produk di premis Senawang,
Seremban, Negeri Sembilan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d7A2YpPE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan