Sabtu, 30 September 2017

Malaysia tunjuk garang, belasah Kemboja


ARKIB : 19/06/2007
Penyerang negara, Indra Putra Mahayuddin (kiri) mengasak keras pemain Kemboja, Thui Sothearith pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi. Malaysia menang 6-0.

SHAH ALAM – Jurulatih kebangsaan, Norizan bakar nyata lega dengan kemenangan 6-0 Malaysia ke atas Kemboja dalam perlawanan persahabatan fasa terakhir menjelang Piala Asia di Stadium Shah Alam, semalam.

Buat Norizan, selepas kecewa dengan tiga perlawanan persahabatan di Australia tanpa sebarang kemenangan, kejayaan itu menjadi elemen positif kepada skuad seramai 23 pemain itu yang akan mengalas cabaran berdepan China, Uzbekistan dan Iran dalam kumpulan C.

Menurut Norizan, kemenangan itu menyuntik semangat pemain menjelang dua lagi perlawanan persahabatan menentang UAE pada Khamis ini dan Jamaica pada 28 Jun di Stadium MPPJ.

“Perlawanan malam ini saya cukup puas hati kerana memperoleh kemenangan walaupun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi.

“Saya harap kemenangan ini akan membangkitkan semangat pemain selepas kita mengharungi perlawanan persahabatan tanpa sebarang kemenangan yang boleh dibanggakan,” ujarnya selepas perlawanan.

Lima minit babak pertama berlangsung, tiga percubaan menerusi Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin yang mengemudi jentera serangan skuad kebangsaan gagal menepati sasaran.

Namun pada minit ke-23, pintu gol Kemboja bocor hasil sepakan jauh bek kiri Malaysia, Rosdi Talib dari jarak 30 meter membbolehkan skuad kebangsaan mendahului 1-0.

Biarpun skuad kebangsaan menguasai pentas saingan namun gandingan Hairuddin dan Indra Putra tampak kurang menyengat apabila berada di depan pintu gol Kemboja.

Pada minit ke-47, selepas gagal menyempurnakan tiga peluang terbaik menambah jaringan, pemain gantian, Ivan Yusof mudah menolak masuk gol kedua skuad negara hasil sepakan sudut Hardi Jaafar.

kedudukan skuad kebangsaan tambah yakin apabila Hairuddin Omar pula menanduk masuk gol ketiga selepas menyambut hantaran jauh Ivan pada minit ke-58.

Tiga minit selepas itu, Eddy Helmi Manan yang masuk menggantikan Shahrulnizam Mustafa menanduk masuk gol keempat Malaysia.

Di penghujung permainan, Eddy Helmi meletakkan gol peribadi kedua yang juga gol kelima pada minit ke-88 manakala gol keenam menyusul selepas itu hasil jaringan Mohd. Aidil Zaquan pada minit ke-90.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9jNDuwU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rosdi, Aidil gandingan lama dan baru



ARKIB : 18/06/2007 
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SHAH ALAM – Bek kiri paling senior, Rosdi Talib dan pemain skuad Olimpik, Aidil Zafuan Razak merupakan antara tonggak berpengalaman dan muka baru yang disenaraikan dalam skuad 23 pemain utama negara ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia, bulan depan.

Rosdi yang mewakili skuad negara sejak 2000 di bawah era bimbingan Abdul Rahman Ibrahim, Alan Harris dan Bertalan Bicskei, mendapat kepercayaan semula selepas kali terakhir bermain pada perlawanan persahabatan dengan Singapura di Seremban, tahun lalu.

Aidil Zafuan, 20, walaupun baru menyertai skuad senior ini, sudah dikenali sebagai ketua pasukan Bawah 20 Tahun Malaysia dan salah seorang bek tengah skuad Olimpik negara pada pusingan kedua Kumpulan B Kelayakan Olimpik, baru-baru ini.

Turut kembali mendapat kepercayaan untuk mengharungi persaingan Kumpulan C dengan Iran, Uzbekistan dan China ialah Akmal Rizal Rakhli, Ivan Yusoff, Nazrulerwan Makmor, Safee Sali, Indra Putra Mahyuddin dan Nor Farhan Muhammad yang masing-masing kali terakhir mewakili skuad negara antara 2004 hingga tahun lalu.

Muka baru lain yang disenaraikan ke Piala Asia termasuk penjaga gol Telekom, Suffian Abdul Rahman; bek tengah Johor-Pasir Gudang, Hamzani Omar dan dua pemain tengah dari Perak dan Kedah, Shahrulnizam Mustapa dan Ahmad Fauzi Shaari.

Dalam sidang akhbar di Hotel Grand Bluewave di sini, semalam, ketua jurulatih negara, Norizan Bakar turut mengumumkan Khaironnisam Sahabuddin Hussain sebagai ketua pasukan manakala Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Anifah Aman kekal selaku pengurus pasukan.

Tidak banyak kejutan dalam pemilihan 23 pemain ini yang menyaksikan penampilan semula Azizon Kadir, Fauzie Nan, K. Nanthakumar, V. Thirumurugan, Hardi Jaafar, Norhafiz Zamani Misbah, Fadzli Saari, Eddy Helmi Manan, Shukor Adan dan Hairuddin Omar yang menyertai Kejohanan AFF, Januari lalu.

Kata Norizan, tujuh pemain lagi iaitu Ronny Harun, Rezal Zambery Yahya, Syed Adney Syed Hussein, Azi Shahril Azmi, Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal dan S. Subramaniam tidak digugurkan tetapi hanya berada dalam senarai simpanan seperti yang dikehendaki oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC).

“Kriteria pemilihan ini berdasarkan prestasi dalam Kejohanan AFF dan persahabatan di Sri Lanka dan Australia serta Liga Malaysia selain pengalaman, kesihatan dan kecergasan pemain,” katanya yang yakin inilah barisan terbaik yang dipertaruhkan ke Piala Asia.

“Sejak Pestabola Merdeka tahun lalu dan AFF, kami sudah memperbaiki mutu permainan dan dalam Piala Asia (7 hingga 29 Julai ini), kami perlu letakkan suatu sasaran di mana tiada siapa boleh berkata macam-macam yang buruk tentang pasukan negara lagi.

“Ada pemain yang sudah lama dalam pasukan kebangsaan dan Piala Asia merupakan satu peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan kerana kita beraksi sebagai tuan rumah. Malah keharmonian dan persefahaman pasukan sudah terpupuk jadi saya rasa kami tidak akan menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Khaironnisam yang mewakili negara sejak 2001 dan mengambil alih peranan ketua pasukan daripada Rosdi mulai tahun lalu, berkata, “dengan keyakinan dan semangat juang yang tinggi, kami berjanji tidak akan menghampakan peminat dan kami berharap mereka akan terus menyokong pasukan Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u9SlZn4v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 September 2017

6 pemain Olimpik perkuatkan skuad Piala Asia

ARKIB : 02/06/2007

KUALA LUMPUR - Enam pemain skuad Olimpik dipanggil memantapkan lagi pasukan bola sepak kebangsaan menjalani latihan fasa terakhir bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia berlangsung bulan depan.

Mereka yang dipanggil ialah Syed Adney Syed Hussain, Amirulhadi Zainal Abidin, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam, Muhammad Aidil Zafuan dan Muhammad Khyril Muhymeen.

Kehadiran enam pemain itu dijangka dapat memperkuatkan skuad bimbingan Norizan Bakar selepas aksi kurang memberangsangkan sewaktu sesi latihan di Australia, baru-baru ini.

Keputusan di Australia tidak begitu menyakinkan selepas tewas 2-0 kepada Sydney FC, 3-0 bertemu kelab Central Coast Marina FC dan tunduk 1-0 kepada Bankstown FC.

Turut dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen pertama menentang China pada 10 Julai ialah dua pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin dan Rosdi Talib.

Kedua-dua pemain itu kali terakhir mewakili skuad kebangsaan pada pertandingan Pesta Bola Merdeka, tahun lalu.

Kehadiran kedua-dua pemain itu bersama enam anggota skuad Olimpik melengkapkan senarai 30 pemain kini yang akan menjalani latihan terakhir dari 7 hingga 15 Jun, di Pulau Pinang.

Sekembalinya daripada latihan di Pulau Pinang, skuad kebangsaan akan berada di Kuala Lumpur untuk menghadapi satu perlawanan persahabatan menentang Amiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u8CQBrov
© Utusan Melayu (M) Bhd

Impian Malaysia lebur



ARKIB : 17/05/2007
Oleh AMRAN MULUP
  
Mohd. Zaquan Adha (kanan) diasak oleh pemain Syria, Abdal Kader Dakka dalam saingan kelayakan Olimpik di Stadium MBPJ, malam tadi. Malaysia seri 0-0.

PETALING JAYA – Tidak ada keajaiban dapat mengubah peluang yang sudah tertutup secara rasmi buat skuad Olimpik Malaysia apabila sekadar seri 0-0 bertemu Syria dalam saingan Kumpulan B bola sepak pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, semalam.

Malah, kesebelasan utama skuad bimbingan B. Sathiananthan yang turun mengharungi perlawanan kelima berdepan Syria sekadar berjuang untuk menjulang maruah ketika peluang untuk ke peringkat seterusnya sudah tertutup rapat apabila tewas 0-1 kepada Hong Kong di tempat sendiri, sebelum ini.

Ini adalah keputusan seri pertama buat skuad Olimpik negara selepas tewas dalam tiga perlawanan terdahulu dan menang sekali.

Dalam perlawanan pertama Februari lalu, kita tewas 1-3 kepada Syria di Damsyik, tewas 1-2 bertemu Jepun dan tunduk 0-1 kepada Hong Kong iaitu kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium MBPJ.

Hanya kemenangan sekali 1-0 ke atas Hong Kong di tempat lawan dapat dibanggakan oleh anak didik Sathianathan dan skuad muda negara akan menamatkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk melengkapkan jadual apabila berdepan Jepun di tempat lawan 6 Jun ini.

Jepun yang menjadi pilihan dalam Kumpulan B sudah diramal melangkah mudah ke peringkat seterusnya apabila mengutip 15 mata maksimum selepas menewaskan Hong Kong 4-0 dalam perlawanan satu lagi.

Asakan awal berpihak kepada skuad Olimpik negara dengan percubaan deras Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak sekadar mengenai pemain pertahanan Syria melihat bola bergolek keluar pada minit ke-10.

Pada minit ke-29, Malaysia hampir-hampir memecah kebuntuan jaringan gol tetapi kecekapan penjaga gol Syria, Alial Holami menepis keluar sepakan kencang dari jarak 30 meter Mohd. Aidil Zafuan. Abd. Razak.

Syria tampak bermain lebih berhati-hati seolah-olah mengharapkan keputusan seri buat mengukuhkan kedudukan mengiringi pendahulu Jepun untuk ke peringkat seterusnya.

Enam minit babak kedua berlangsung skuad muda negara hampir-hampir mencipta jaringan pertama namun sepakan dari luar kotak penalti Mohd. Daudsu Jamaluddin berjaya ditepis keluar oleh Holami.

Pada minit ke-69, Syria terpaksa bermain dengan 10 orang apabila pemainnya Mohd. Al Ebrahim diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Keputusan seri semalam, tidak menghalang Syria daripada mara ke pusingan seterusnya

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u4amcrJm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kita harap keajaiban hadapi Syria



ARKIB : 16/05/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PENYERANG skuad Olimpik negara, Zaquan Adha Abdul Razak (kanan) menjadi sandaran utama untuk memburu gol dalam pertemuan hidup mati dengan Syria di Petaling Jaya, malam ini.

PETALING JAYA – Malaysia mengharapkan keajaiban apabila menghadapi Syria dalam usaha mencerahkan semula peluang yang semakin tipis ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik, hari ini.

Berpegang kepada teori - ‘apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak’, jurulatih negara, B. Sathianathan, semalam beranggapan bahawa peluang anak buahnya masih ada biarpun situasi dan kedudukan mata sekarang kurang menyebelahi mereka.

‘‘Keajaiban boleh berlaku sebagaimana Malaysia yang boleh kalah kepada Hong Kong walaupun pada hakikatnya kita bermain lebih baik dan menguasai perlawanan (1-0 di Petaling Jaya pada 18 April lalu),” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Malaysia menduduki tempat ketiga kumpulan di belakang Jepun dan Syria dalam Kumpulan B selepas turut kalah 2-1 dan 3-1 kepada kedua-duanya sejak 28 Februari lalu selain meraih tiga mata dengan menumpaskan Hong Kong 1-0 di gelanggang lawan, Mac lalu.

Skuad belia negara perlu memenangi baki dua perlawanan ini untuk mara ke pusingan akhir sebagai naib juara kumpulan dan mengiringi Jepun yang sudah layak dengan 12 mata, sambil berharap keputusan kurang baik tiga lawan mampu membantunya.

Kata Sathianathan:‘‘Kali ini kami juga memiliki semula semua pemain yang terbaik kecuali (penyerang Samransak Kram yang tercedera) dan saya yakin anak buah saya menuju ke landasan yang tepat untuk tetap memburu kemenangan.

Kesilapan

‘‘Kami telah belajar daripada kesilapan lalu yang tidak sepatutnya dilakukan sehingga melepaskan gol mudah. Kami juga mahu mengatasi masalah terbesar iaitu gagal menjaringkan gol yang lebih banyak,” katanya.

Sathianathan merujuk khusus kepada dua gol mudah Syria di Damsyik lalu akibat kesilapan dua anak buahnya (termasuk hatrik Mohammed Ebrhim) biarpun Malaysia yang melancarkan banyak serangan di sebalik cuma menggunakan seorang penyerang, Azril Hamid.

‘‘Analisis saya selepas empat perlawanan kumpulan ini membayangkan Syria masih mampu diatasi asalkan corak permainan kita sebaik ketika menentang Jepun (di Petaling Jaya pada 14 April lalu) sekalipun kita kalah 2-1,” tegas beliau.

Katanya, tanpa Samransak yang tercedera ketika Liga Malaysia, penyerang remaja Negeri Sembilan, Zaquan Adha Razak akan diberi

kepercayaan untuk memburu gol skuad negara sambil bergandingan dengan Azril atau Norshahrul Idlan Talaha.

Sementara itu, pegawai Persatuan Bola Sepak Syria, Turki Yasin berkata, mereka akan mencuba habis-habisan untuk menang malah masih menganggap perlawanan ini penting bagi mara ke pusingan akhir selepas mengutip enam mata.

‘‘Kami benar-benar mahu menang biarpun cukup menyedari Malaysia masih mempunyai peluang untuk turut ke pusingan akhir,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u4X7CVpO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 27 September 2017

Aidil terlepas empat aksi antarabangsa



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
AIDIL (kiri) terlepas empat perlawanan antarabangsa dan denda RM21,000 kerana tidak mengamalkan semangat kesukanan pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong di Melaka baru-baru ini.

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman gantung sebanyak empat perlawanan termasuk denda bernilai AS$5,000 (RM21,000) terhadap pemain pertahanan Harimau Malaya, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak.

Menurut Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC, Aidil yang didakwa tidak mengamalkan semangat kesukanan de­ngan pengadil perlawanan, Christopher Beath ketika aksi kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong di Melaka, dikenakan hukuman tersebut berdasarkan peruntukan dalam Artikel 50 Kod Disiplin dan Etika AFC atas kesalahan mencemarkan permainan.

Menurut AFC, Aidil diarahkan untuk meninggalkan padang pada minit kedua masa tambahan babak kedua tetapi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masih berada di dalam kawasan permainan selama dua minit 30 saat biarpun dia sepatutnya harus meninggalkan padang.

Katanya, pemain itu turut didakwa te­lah menggunakan perkataan tidak sepatutnya serta unsur penghinaan sebelum bersemuka dengan pengadil tersebut.

Tambahnya, Aidil juga cuba bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada pengadil itu sejurus tamat perlawanan tersebut yang menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada seri 1-1.

“Berdasarkan peruntukan Artikel 50.1 Kod Disiplin dan Etika AFC (Edisi 2017), Aidil digantung empat perlawanan dan penggantungan itu membabitkan aksi bertemu Hong Kong (10 Oktober), Korea Utara (14 November) dan Lebanon (27 Mac), manakala baki penggantungan adalah untuk satu aksi antarabangsa seterusnya.

“Selain itu, Aidil turut dikenakan denda AS$5,000 (RM21,000) dan perlu menyelesaikan denda tersebut dalam tempoh 30 hari selepas keputusan dikeluarkan selari dengan Kod Artikel 11.3.

“Pada masa sama, AFC turut mengi­ngatkan Aidil bahawa hukuman yang lebih keras akan dikenakan ke atasnya jika kesalahan sama diulangi pada masa akan datang,” kata AFC dalam satu kenyataan semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Aidil telah diarahkan keluar padang selepas dilihat menolak tangan pengadil, Beath sebagai bantahan kepada pegawai pertandingan dari Australia itu gara-gara memberikan sepakan penalti kepada pa­sukan pelawat.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tsJhF4yI
Hakcipta terpelihara