ARKIB : 02/04/2007
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
Tonggak Kedah, Mohd. Fazliata
Taib (kanan) diasak oleh pemain Melaka, Azlan Azmi dalam saingan bola sepak
Liga Super di Melaka, kelmarin. Kedah semakin digeruni lawan selepas kerap kali
mengejutkan pasukan-pasukan pilihan.
SEREMBAN Jurulatih Negeri
Sembilan Naza, Hatem Saoussi menghela nafas lega apabila pasukannya menunjukkan
aksi sebenar selepas terumbang ambing dalam saingan bola sepak Liga Super sejak
awal musim.
Baginya, pemain yang diturunkan
pada perlawanan menentang Terengganu, kelmarin merupakan barisan terbaik yang
dinanti-nantikan sejak persaingan liga itu bermula.
Apa tidaknya, sebelum ini enam
pemain utama pasukan tersebut seperti pasangan kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan
Mohd. Zaquan Adha tidak dapat beraksi bersama rakan-rakan lain kerana terpaksa
mengikuti latihan dan perlawanan untuk skuad Olimpik dan negara.
Sebelum ini saya sukar
membentuk barisan pemain yang mantap serta menghadapi masalah kekurangan pemain
di samping kecederaan beberapa pemain utama.
Misalnya seperti perlawanan
menentang Perak tempoh hari, kita hanya mempunyai 15 pemain yang mampu bermain
daripada jumlah 21 pemain yang dibenarkan, disebabkan itu kita terpaksa
menerima kekalahan besar.
Namun kelmarin saya sudah
membuktikan dengan pilihan pemain terbaik untuk diturunkan, kita mampu
mencatatkan kemenangan besar, katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga
Super menentang Terengganu di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
Pada perlawanan itu, Negeri
Sembilan Naza membelasah Terengganu 4-0 melalui jaringan, Frederico De Castro
pada minit pertama dan 26, Sharizam Mohd. (m-38) dan Liew Kit Kong (m-51).
Hatem berkata, beliau amat
berpuas hati dengan penyerang import dari Angola, Fredrico De Castro serta
kesungguhan beberapa pemain muda yang mula menunjukkan persefahaman yang tinggi
dengan pemain senior.
Perjalanan skuad ini masih
jauh, kami perlu menempuh banyak lagi perlawanan terutama membabitkan pasukan
handalan yang lain.
Para pemain terpaksa bekerja
keras kerana kami terpaksa menghadapi jadual perlawanan yang ketat dalam
saingan Piala FA, Piala Malaysia dan Kejohanan Piala AFC, ujarnya.
Dalam pada itu, Hatem
mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak peka dengan jadual
perlawanan yang terpaksa ditempuhi oleh pasukan yang beraksi untuk Kejohanan
Piala AFC.
Katanya, pasukannya terpaksa
berkejar- kejar untuk menghadapi setiap perlawanan terutama membabitkan
perlawanan di luar negara.
Selepas kami menempuh
perlawanan yang padat untuk kejohanan tempatan kami terpaksa berkejar untuk
perlawanan peringkat antarabangsa.
Cuba bayangkan, selepas
perlawanan bertemu dengan Pulau Pinang tempoh hari, kami terpaksa berkejar ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secepat yang mungkin untuk
berlepas ke Maldives.
Semasa perjalanan pulang kami
terkandas di negara itu selama dua hari kerana penerbangan ke Kuala Lumpur
ditangguhkan, sebaik sahaja tiba kami terpaksa menempuh perlawanan yang
seterusnya pada keesokan hari, katanya.
Tambahnya, FAM perlu peka dan
memberikan mereka sedikit ruang kerana pasukan tersebut menggalas misi negara
beraksi di pentas antarabangsa dan ia bukan untuk kepentingan pasukan itu
sahaja.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tVNfV0YY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan