ARKIB : 18/06/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
SHAH ALAM Bek kiri paling
senior, Rosdi Talib dan pemain skuad Olimpik, Aidil Zafuan Razak merupakan
antara tonggak berpengalaman dan muka baru yang disenaraikan dalam skuad 23
pemain utama negara ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia, bulan depan.
Rosdi yang mewakili skuad
negara sejak 2000 di bawah era bimbingan Abdul Rahman Ibrahim, Alan Harris dan
Bertalan Bicskei, mendapat kepercayaan semula selepas kali terakhir bermain
pada perlawanan persahabatan dengan Singapura di Seremban, tahun lalu.
Aidil Zafuan, 20, walaupun baru
menyertai skuad senior ini, sudah dikenali sebagai ketua pasukan Bawah 20 Tahun
Malaysia dan salah seorang bek tengah skuad Olimpik negara pada pusingan kedua
Kumpulan B Kelayakan Olimpik, baru-baru ini.
Turut kembali mendapat kepercayaan
untuk mengharungi persaingan Kumpulan C dengan Iran, Uzbekistan dan China ialah
Akmal Rizal Rakhli, Ivan Yusoff, Nazrulerwan Makmor, Safee Sali, Indra Putra
Mahyuddin dan Nor Farhan Muhammad yang masing-masing kali terakhir mewakili
skuad negara antara 2004 hingga tahun lalu.
Muka baru lain yang
disenaraikan ke Piala Asia termasuk penjaga gol Telekom, Suffian Abdul Rahman;
bek tengah Johor-Pasir Gudang, Hamzani Omar dan dua pemain tengah dari Perak
dan Kedah, Shahrulnizam Mustapa dan Ahmad Fauzi Shaari.
Dalam sidang akhbar di Hotel
Grand Bluewave di sini, semalam, ketua jurulatih negara, Norizan Bakar turut
mengumumkan Khaironnisam Sahabuddin Hussain sebagai ketua pasukan manakala Naib
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Anifah Aman kekal selaku
pengurus pasukan.
Tidak banyak kejutan dalam
pemilihan 23 pemain ini yang menyaksikan penampilan semula Azizon Kadir, Fauzie
Nan, K. Nanthakumar, V. Thirumurugan, Hardi Jaafar, Norhafiz Zamani Misbah,
Fadzli Saari, Eddy Helmi Manan, Shukor Adan dan Hairuddin Omar yang menyertai
Kejohanan AFF, Januari lalu.
Kata Norizan, tujuh pemain lagi
iaitu Ronny Harun, Rezal Zambery Yahya, Syed Adney Syed Hussein, Azi Shahril
Azmi, Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal dan S. Subramaniam tidak digugurkan
tetapi hanya berada dalam senarai simpanan seperti yang dikehendaki oleh
Gabungan Bola Sepak Asia (AFC).
Kriteria pemilihan ini
berdasarkan prestasi dalam Kejohanan AFF dan persahabatan di Sri Lanka dan
Australia serta Liga Malaysia selain pengalaman, kesihatan dan kecergasan
pemain, katanya yang yakin inilah barisan terbaik yang dipertaruhkan ke Piala
Asia.
Sejak Pestabola Merdeka tahun
lalu dan AFF, kami sudah memperbaiki mutu permainan dan dalam Piala Asia (7
hingga 29 Julai ini), kami perlu letakkan suatu sasaran di mana tiada siapa
boleh berkata macam-macam yang buruk tentang pasukan negara lagi.
Ada pemain yang sudah lama
dalam pasukan kebangsaan dan Piala Asia merupakan satu peluang keemasan yang
perlu dimanfaatkan kerana kita beraksi sebagai tuan rumah. Malah keharmonian
dan persefahaman pasukan sudah terpupuk jadi saya rasa kami tidak akan menoleh
ke belakang lagi, katanya.
Khaironnisam yang mewakili
negara sejak 2001 dan mengambil alih peranan ketua pasukan daripada Rosdi mulai
tahun lalu, berkata, dengan keyakinan dan semangat juang yang tinggi, kami
berjanji tidak akan menghampakan peminat dan kami berharap mereka akan terus
menyokong pasukan Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u9SlZn4v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan