Ahad, 26 Januari 2020

JDT rentap ego tuan rumah

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SELEPAS kecewa pada aksi pertama siri jelajah pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit dalam aksi kedua dengan menewaskan kelab Dibba Al-Fujairah 1-0 di Stadium Club Dibba, semalam.

Anak buah Benjamin Mora yang tewas 0-2 kepada juara Liga Latvia, FC Riga Isnin lalu, berjaya meraih kemenangan ke atas kelab divisyen satu UAE itu sekaligus memberi keyakinan menjelang tiga lagi aksi selepas ini.

Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan tampil dengan kesebelasan terbaik termasuk menurunkan ayam tambatannya, Diogo Santo dan Safawi Rasid.

Diogo yang berasal dari Brazil memperagakan ketajamannya apabila meledak gol pertama seawal minit keempat buat mengejutkan pasukan tuan rumah.


Ketinggalan 1-0 menyaksikan kelab tuan rumah yang kini berada pada zon penyingkiran Liga UAE memperkemaskan aksi memburu gol penyamaan.

Namun kekentalan barisan pertahanan JDT mengekang asakan berterusan tuan rumah membolehkan juara Liga Super enam kali berturut-turut itu menamatkan saingan dengan kemenangan.

Harimau Selatan yang bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat musim kedua berturut-turut, akan meneruskan aksi pra musim berdepan skuad kebangsaan Turkmenistan Ahad ini diikuti kelab Slovakia, MSK Zilina (29 Januari) dan Emirates FC (30 Januari).

Untuk rekod, dalam kempen ACL, skuad Harimau Selatan diundi dalam Kumpulan G dan akan bertemu Vissel Kobe dari Jepun pada 12 Februari ini di Stadium Misaki Park, Kobe.

Kemudian gergasi kelab Liga Malaysia itu akan membuka tirai saingan domestik menentang Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Februari ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:50 PM

Rabu, 22 Januari 2020

Semangat Kedah membara selepas belasah Tai Po

SUKAN»Bola
Rabu, 22 Januari 2020 | 11:39am
 
PASUKAN Kedah menang dengan jaringan 5-1 selepas menewaskan kelab dari Hong Kong, Wofoo Tai Po pada kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman. - Foto BERNAMA
Semangat Kedah membara selepas belasah Tai Po
Oleh Muhammad Mustakim Ramli dan Izzali Ismail
bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Kemenangan 5-1 Kedah ke atas Tai Po FC menyuntik semangat tambahan Helang Merah untuk berhadapan kelab Korea Selatan, FC Seoul pada aksi playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Korea Selatan, 28 Januari ini.

Pengendali skuad Helang Merah , Aidil Sharin Sahak berkata kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemainnya pada aksi kelayakan menentang Tai Po FC di Stadium Darul Aman semalam menjadi kunci kejayaan buat pasukannya.

"Alhamdulillah, kita dapat apa yang kita mahukan, ini perlawanan pertama walaupun bukannya satu lawan yang mudah namun kita peroleh keputusan yang baik di hadapan penyokong kita yang memenuhi Stadium Darul Aman."

“Segala perancangan yang kita usahakan berjalan dengan lancar dan saya gembira dengan tahap kesungguhan dan semangat yang telah ditunjukkan setiap pemain yang dirurunkan pada pada perlawanan ini."

“Walaupun kita tidak dapat menurunkan beberapa tonggak pada malam ini, namun apa yang direncanakan pada pramusim dan percubaan kombinasi antara pemain membuahkan hasil." katanya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang kelab ternama K- League iaitu FC Seoul pada 28 Januari ini, Aidil mengakui lawan dari Korea Selatan itu merupakan lawan yang sukar.

“Kita perlu terus fokus untuk perlawanan berikutnya, FC Seoul merupakan pasukan yang kuat dan kita perlu mengakui kekuatan mereka."

“Malah kita juga perlu berdepan perjalanan yang jauh dengan cuaca yang sejuk serta mencabar di sana dan selepas saya menyemak tadi suhu mencecah 2 darjah celsius."

"Kita akan terus bekerja keras bagi mendapatkan keputusan yang terbaik kerana tiada jalan mudah untuk aksi di ACL ini, jadi saya mahu pemain menikmati kemenangan ini dan kemudian fokus semula untuk aksi di Korea nanti." katanya.

Sementara itu, penjaring hatrik dan pemain terbaik perlawanan, Kipre Tchetche, berkata gol awal yang dihasilkannya menjadi penyuntik semangat untuk Kedah melakar kemenangan.

“Kita melakukan persiapan lebih sebulan bagi mendapatkan keserasian berikutan ramai pemain baru dalam pasukan pada musim ini dan ternyata kita berjaya membentuk persefahaman dan memperoleh kemenangan pada malam ini,” katanya.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/01/648916/semangat-kedah-membara-selepas-belasah-tai-po

Jumaat, 17 Januari 2020

Malaysia 1-1 Filipina

Februari 29, 2012 (Rabu):
Barisan Pemain: Farizal Marlias (Khairul Fahmi Che Mat), Bunyamin Umar, S Subramaniam, Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar, Wan Zack Haikal Wan Nor (Ahmad Shakir Ali 80'), Amar Rohidan, Safiq Rahim, S Kunanlan, Abd Manaf Mamat, Safee Sali.
Pertukaran pemain: Amiridzwan Taj Tajuddin, Zaquan Adha Radzak, Khairul Fahmi Che Mat, G Mahathevan, Ashari Samsudin, Ahmad Shakir Ali.


Helmi diketepikan, Syamsuri galas tugas


ARKIB : 14/01/2009
Helmi diketepikan, Syamsuri galas tugas
Oleh Sayed Hesham Idris
KUALA LUMPUR - Jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan mengetepikan Helmi Eliza Elias daripada senarai pelatih skuad kebangsaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu depan, sebaliknya menyenaraikan penjaga gawang veteran, Mohd. Syamsuri Mustaffa.

Sathia mengakui prestasi goyah Helmi bersama skuad Kedah menyebabkan penjaga gol itu diketepikan.

''Kalau jurulatihnya sendiri, iaitu orang yang paling dekat dengannya yang mengetahui sejauh mana prestasinya membuat keputusan merehatkan Helmi, saya terpaksa mengetepikan dia.

''Buat masa ini ternyata Helmi masih belum bersedia untuk perlawanan besar.

''Ia sama seperti pemain muda Mohd. Asrarudin Putra Omar yang jarang diturunkan oleh Selangor, jadi saya juga tidak dapat menyenarai namanya.

''Ini kerana saya hanya memanggil pemain yang benar-benar cergas dan berada pada prestasi terbaik.

''Bukan tugasan saya untuk membentuk semula psikologi pemain yang gagal mempamer prestasi terbaik dalam liga kerana persediaan kita begitu singkat iaitu lima hari sahaja,'' katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada awalnya, Sathia masih menaruh kepercayaan terhadap Helmi dan bercadang untuk menyenaraikan penjaga gol itu walaupun dia melakukan kesilapan ketika Malaysia kalah kepada Vietnampada Kejohanan Piala Suzuki AFF.

Namun, kesilapan melepaskan satu gol mudah ketika Kedah kalah 1-3 kepada Selangor dalam perlawanan Sumbangsih, di Alor Star, 3 Januari lalu, memaksa jurulatih Kedah, Azrai Khor Abdullah merehatkan Helmi.

Selain Mohd. Syamsuri, beberapa pelatih yang dipanggil untuk Kejohanan Piala Suzuki AFF bulan lalu tetapi digugurkan kemudiannya turut dipanggil semula seperti V. Thirumurugan, Norsharul Idlan Talaha, Fadzli Shaari, Mohd. Fauzie Nan, Mohd. Marzuki Yusof dan Mohd. Ashari Samsuddin.

Mohd. Syamsuri yang kali terakhir mewakili negara pada 2007 menentang Singapura dalam perlawanan persahabatan disenaraikan bersama penjaga gawang UPB My-Team, Syed Adney Syed Hussein,

Pemain veteran, Rosdi Talib sekali lagi berada dalam senarai selepas tidak dapat bersama skuad kebangsaan untuk persahabatan dengan Indonesia di Surabaya, 6 Jun lalu.

Selain itu, pelatih yang akan melaporkan diri untuk latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Petaling Jaya, hari ini adalah pemain dari skuad yang terkandas di peringkat kumpulan Kejohanan Piala Suzuki AFF di Phuket, bulan lalu.

Sathia terus menyandarkan tugas penggempur di bahu penyerang Selangor Safee Sali, sekali lagi digandingkan dengan Indraputra Mahayuddin.

Penyerang senior, Nizaruddin Yusof dan penyerang muda Negeri Sembilan, Mohd. Zaquan Adha Abd Razak juga ada dalam senarai 27 pelatih yang akan memulakan latihan esok.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51Ne80xt6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 15 Januari 2020

Lang Merah demam di Kemboja

MyMetroArena
 
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
FAKTOR cuaca dan enam pemain mengalami demam antara cabaran dilalui skuad Kedah dalam menghadapi saingan pramusim yang berlangsung di Kemboja bermula 5 Januari lalu.

Menurut ketua jurulatih skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, beliau tetap melakukan percaturan terbaik bagi melengkapkan siri jelajah pramusim yang cuma berbaki satu lagi perlawanan iaitu menentang Phnom Penh esok meskipun berdepan cabaran kesihatan dan cuaca.

"Suhu panas mencecah 36°c dan enam pemain demam memaksa saya membuat perancangan sewajarnya dalam usaha memantapkan pasukan. Sepanjang pramusim ini, enam pemain iaitu Kpah Sherman, Amin Nazari, Shakir Hamzah, Renan Alves, Tam Sheang Tsung dan David Rowley mengalami demam.

“Namun dengan pertukaran pemain dalam perlawanan, segala perancangan berjalan lancar sepanjang empat perlawanan setakat ini," katanya.

Dalam tiga perlawanan pramusim dilalui Kedah di Kemboja sebelum ini, skuad Lang Merah bermula dengan kemenangan selepas menewaskan Visakha 1-0 hasil jaringan Zaquan Adha pada 7 Januari lalu.

Mereka tewas kepada kelab yang menduduki tangga kedua liga Cambodia, Nagaworld FC pada 9 Januari dengan 2-3 melalui gol sumbangan Kipre Tchetche dan Hadin Azman.

Aksi ketiga pada Jumaat lalu menyaksikan Kedah kembali bangkit menewaskan Boeung Ket FC 4-1 hasil jaringan hatrik Kpah Sherman dan Zaquan Adha.

Kedah kini berada pada fasa akhir pramusim bagi merebut Piala Smart RSN 2020 dan mengatur langkah kanan menewaskan Angkor Tiger FC 1-0 dan seterusnya melengkapkan saingan bertemu tuan rumah kejohanan iaitu Phnom Penh Crown FC esok.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 10:20 PM

Rabu, 8 Januari 2020

Skuad Lang Merah kini lengkap


Simpan Artikel
MyMetroArena
 
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

SKUAD Kedah kini yang lengkap dari segi pemain untuk mengharungi aksi perlawanan peringkat laluan ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bermula pada 21 Januari ini dan seterusnya Liga Malaysia.

Pengurus skuad Lang Merah Al-Naliq Hasmi Abu Hassan, perkembangan positif itu adalah hasil perancangan dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bermula daripada pengurusan tertinggi hingga ke peringkat jurulatih bagi menghadapi musim 2020.

"Boleh dikatakan pasukan kita sudah lengkap 100 peratus dengan semua pemain import sudah melaporkan diri termasuk pemain tengah dan saya yakin pada musim ini kita akan dapat bergerak dengan lebih baik.

"Kami bersyukur dapat mempersiapkan pasukan dengan lebih awal untuk musim 2020 ini dan terima kasih diucapkan kepada pengurusan tertinggi hingga jurulatih yang sedang bekerja keras bagi memastikan persiapan pasukan berjalan dengan lancar sejak memulakan latihan pada 2 Disember lalu," katanya.

Al-Naliq yakin persiapan Kedah kendalian Aidil Sharin Sahak berjalan seperti dirancangkan selepas mengharungi tiga perlawanan tempatan iaitu bertemu Tambun Tulang FC, Piala Presiden Perak dan Kelantan sebelum bertolak ke Kemboja untuk pramusim di luar negara.

Dalam perlawanan siri Jelajah Pramusim pertama Kedah di Kemboja semalam, Kedah menyenaraikan beberapa barisan pemain campuran muda dan baharu menewaskan Visakha FC dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Zaquan Adha m-51.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 3:48 PM