MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: "Saya lihat
mereka (Vietnam) sukar membaca bola hantaran lintang dan kami gunakan kelemahan
itu untuk meraih gol," kata tonggak pertahanan tengah skuad Harimau
Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak.
Bek berpengalaman itu berkongsi
pandangannya mengenai peluang yang boleh digunakan skuad negara pada perlawanan
akhir kedua Piala AFF 2018 menentang Vietnam di Hanoi, esok.
Selepas terlepas aksi perlawanan
akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu, Aidil dijangka
akan diturunkan pada perlawanan akhir kedua di Hanoi.
Aidil kini disahkan sudah pulih
daripada kecederaan hamstring, sekali gus bakal bergandingan semula dengan
Shahrul Saad bagi membina 'tembok besar' menghalang rangkaian penyerang Vietnam
memburu gol.
Jelas pemain Johor Darul Ta'zim
(JDT) itu, berdasarkan analisis perlawanan di Bukit Jalil dan aksi skuad Naga
Emas menentang Filipina (separuh akhir), dia berjaya mengesan 'lubuk' yang
boleh dimanfaatkan bagi merobek gawang tuan rumah.
"Kita dapat lihat di Bukit
Jalil, mereka agak goyah dengan situasi bola mati seperti sepakan sudut atau
sepakan percuma dari sebelah tepi.
"Ini kesempatan terbaik
untuk kami menjaringkan gol menerusi tandukan dan ia sudah dibuktikan oleh
Shahrul Saad apabila menanduk masuk untuk gol pertama.
"Ketika mereka menentang
Filipina, juga dapat dilihat pemain Vietnam gagal menghalang jaringan menerusi
sepakan sudut yang ditanduk oleh pemain tinggi lampai Filipina.
"Jadi mana-mana pemain
termasuk saya akan berusaha mencuba mencari gol menerusi tandukan kerana itu
antara peluang terbaik kita," katanya kepada Sukan NSTP.
Jaringan menerusi tandukan
bukannya asing buat Aidil yang sudah meledak beberapa gol buat JDT sejak
menyertai kelab itu pada 2013 lalu.
Selain Aidil, Shahrul juga
memiliki keistimewaan sama - bijak membaca bola sepakan sudut dan kelebihan itu
boleh dijadikan senjata rahsia untuk memburu jaringan.
Skuad negara yang sekadar seri
2-2 pada aksi pertama berdepan tugas sukar kerana tuan rumah kini memiliki
kelebihan gol di tempat lawan dan mereka hanya perlu seri tanpa jaringan di
Stadium My Dinh, Hanoi.
Untuk itu, anak buah Tan Cheng
Hoe hanya perlu meraih sekurang-kurangnya kemenangan 1-0 untuk mengesahkan
kejuaraan selepas kali terakhir memenangi trofi pada 2010 di bawah kendalian
Datuk K Rajagobal.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 14 Disember 2018 @ 11:09 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan