ARKIB : 14/06/2009
Indonesia tunduk
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
MOHD. Zaquan Adha Razak (kiri)
diasak pemain Indonesia, Rachmat Latif pada perlawanan persahabatan di Stadium
Bola Sepak Cheras. Malaysia menang 1-0. - MINGGUAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
KUALA LUMPUR - Jaringan Mohd.
Zaquan Adha Abd. Razak memberikan kemenangan moral skuad Bawah 23 kebangsaan
apabila menewaskan lawan sebaya skuad Indonesia 1-0 pada perlawanan
persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Tindakan pantas Mohd. Zaquan yang
membuat susulan selepas percubaan S. Kunalan melantun pada minit ke-41,
menceriakan jurulatih K. Rajagobal yang sedang membentuk skuad Sukan SEA di
Laos Disember depan.
Ia merupakan kemenangan ketiga
skuad bimbingan Rajagobal, yang dilantik jurulatih pada April lalu selepas
menang ke atas Shanghai Zhong Bang 2-1 dalam perlawanan persahabatan di China
dan menang 3-0 ke atas skuad Bawah 23 Singapura, Young Lions 3-0, baru-baru
ini.
Mengulas kemenangan tersebut,
Rajagobal berkata, perlawanan dengan Indonesia sukar kerana pertembungan
kedua-dua negara sentiasa sengit.
Katanya, para pemain bermula baik
dengan skuad muda Indonesia yang mengadakan perlawanan persahabatan di Iran
baru-baru ini.
''Kemenangan ini menggembirakan
saya. Namun perjalanan skuad ini masih jauh.
''Perlawanan ini lebih merupakan
medan untuk saya menguji para pemain sebagai persediaan untuk membentuk skuad
mantap ke Sukan SEA.
''Saya memberi peluang kepada
pemain membuktikan kemampuan dan saya gembira kerana para pemain mempamer
kesungguhan mereka.
''Dua bulan sebelum Sukan SEA,
saya mungkin dapat menyenaraikan skuad sebenar ke Sukan SEA,'' katanya pada
sidang media selepas perlawanan semalam.
Jurulatih Indonesia, Cesar Manuel
Payovich memuji corak persembahan skuad negara.
''Malaysia mempamer permainan
agresif, ia sesuatu yang kami mahukan.
''Seperti juga Rajagobal, saya
juga menjadikan perlawanan ini sebagai medan menguji para pemain untuk ke Sukan
SEA,'' katanya.
Pada perlawanan semalam, skuad
negara menguasai babak pertama yang berlangsung hambar.
Peluang gol dihampakan penyudah
tumpul dan tersasar menerusi gandingan Mohd. Bunyamin Umar, S. Kunalan, Mohd.
Khyril Muhymeen dan K. Gurusamy sebelum penyerang Mohd. Zaquan muncul penjaring
gol tunggal perlawanan empat minit sebelum berakhir separuh pertama.
Indonesia cuba bangkit di babak
kedua apabila memasukkan penyerang tinggi lampai Jajang Mulyana bagi membantu
Sultan Samma serta Corneles Sergius Geddi menerusi gerakan menarik di depan
pintu gol Malaysia.
Walaupun kehadiran Jajang memberi
impak, benteng pertahanan skuad kebangsaan enggan memberi ruang menerusi
pertahanan kental ketua pasukan Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, Mohd. Asraruddin
Putra Omar dan Ahmad Shakir Ali.
Rajagobal kemudiannya membuat
pertukaran pemain apabila menurunkan Stanley Bernard, Mohd. Amirulhadi Zainal
dan G. Mathevan di bahagian depan.
Hasilnya skuad negara hampir
menambah gol pada babak akhir perlawanan apabila Mohd. Shakir merembat deras
akibat kesilapan penjaga gol Indonesia Frenky Irawan yang gagal mengeluarkan
bola dengan kemas, namun bola terkena tiang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5XwaU38iI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan