Ahad, 26 November 2017

Peluang cerah untuk Kit Kong

ARKIB : 30/05/2008

pasukan Malaysia memerlukan satu lagi perlawanan ujian lain sebelum ke Surabaya, Indonesia bagi perlawanan persahabatan antarabangsa 6 Jun ini ekoran dikatakan kurang agresif.

PETALING JAYA - Penyerang Kuala Muda Naza, Liew Kit Kong memiliki peluang cerah untuk kembali menyarung jersi negara buat kali pertama sejak 2005, apabila Malaysia menentang Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Surabaya, 6 Jun ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Dua jaringannya ketika skuad negara membelasah Polis 7-0 dalam perlawanan pemanas badan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, tampak semakin meyakinkan ketua jurulatih B. Sathianathan untuk menyenaraikannya bersama skuad 20 pemain terbaik ke sana.

Penjaring dua gol ke atas Indonesia pada separuh akhir Piala Tiger 2004 di Jakarta itu turut memanfaatkan kesempatan lebih 45 minit dalam membuktikan sentuhannya lebih berbisa di kalangan tonggak depan senior lain seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin dan Nizaruddin Yusof.

"Saya masih cuba bersaing merebut tempat dan sukar memastikan sama ada boleh mencapai tahap antarabangsa setelah kali terakhir bermain pada Sukan Perpaduan Islam di Jeddah 2005," katanya.

Lima lagi gol dijaring oleh Chun Keng Hong, Azi Shahril Azmi, Akmal, Hardi Jaafar dan Aidil Zafuan Radzak ketika ramai tonggak skuad Piala Antara Benua, minggu lalu seperti Safee Sali, Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah dan Khyril Muhymeen Zambri direhatkan bagi memberi peluang kepada kebanyakan tonggak senior.

Antara mereka ialah penjaga gol Helmi Eliza Elias, bek kiri - Irwan Fadly Idrus, P. Gunalan, bek kanan - Juzaili Samion, sayap kanan - Eddy Helmi Manan dan K. Soley yang belum pernah beraksi di bawah bimbingan Sathianathan yang mula menerajui skuad negara sejak Ogos 2007.

Turut menonjol semalam ialah penjaga gol gantian, Badrul Zaman Halim dari kelab Liga Perdana, PKNS yang mungkin mampu mencipta kejutan untuk disenaraikan ke skuad negara kali pertama ketika bersaing dengan Helmi dan pemain Shahzan Muda, Farizal Marlias.

Sathianathan bagaimanapun beranggapan bahawa barisan negara masih kurang agresif menjelang menentang Indonesia apatah lagi ketandusan lawan yang benar-benar mampu menguji anak buahnya sama ada di peringkat Liga Malaysia mahupun luar negara selain Polis.

"Saya masih cuba mencari satu lagi perlawanan selewat-lewatnya 3 Jun ini," katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWnvp357
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 20 November 2017

Aidil sanjung semangat juang rakan



Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my 
Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Aidil Zafuan Radzak menerima kekalahan skuad itu dengan hati terbuka selepas mereka tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti.

Dia yang hanya mampu menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor DT dan Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin sebagi penonton selepas digantung satu perlawanan apabila mengutip dua kad kuning mengakui tetap bangga dengan kesungguhan rakan sepasukan dan tiada rezeki untuk pasukan itu menjulang kejuaraan piala berprestij pada musim ini.

“Ia final yang hebat. Sayang sekali saya tidak dapat bersama rakan sepasukan berjuang di padang, namun mereka sudah memberi persembahan terbaik pada perlawanan itu.

“Musim ini kami berjaya merangkul kejuaraan Liga Super dan kami tetap bersyukur dengan kejayaan itu, namun tidak bernasib baik kerana gagal memburu kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya tetap bangga semangat juang rakan sepasukan apabila mereka berdepan lawan yang kuat dan mengucapkan tahniah kepada Pahang kerana mengekalkan kejuaraan piala berprestij itu,” katanya.

Sememangnya nasib tidak menyebelahi skuad Harimau Selatan apabila dua percubaan Luciano Figueroa pada babak pertama disusuli rembatan leret Jorge Pereyra Diaz pada babak kedua sekadar singgah di tiang gol tatkala penguasaan jelas milik anak didik Bojan Hodak.

Apapun Aidil yakin skuad itu akan melakukan kebangkitan musim depan bagi mengekalkan momentum kejuaraan Liga Super dan bersaing pada Piala AFC.

“Musim depan, kami berdepan cabaran lebih sengit dan pastinya latihan mantap serta konsisten amat penting bagi mengekalkan corak permainan yang lebih ampuh,” jelasnya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:02 AM

Sabtu, 4 November 2017

Piala Malaysia hadiah buat penyokong: Aidil



Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
PENJARING gol pertama Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak menghadiahkan kejayaan pasukan menjuarai Piala Malaysia musim ini kepada penyokong skuad selatan tanah air itu selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Kedah dalam final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tonggak pertahanan tengah itu berkata, ia hadiah istimewa buat penyokong setia Harimau Selatan yang sentiasa berada di belakang kelab sepanjang musim ini.

“Sudah tentu ia sangat istimewa apabila dapat menjaringkan gol penting terutama dalam perlawanan akhir dan saya gembira dapat membantu Johor meraih kemenangan sekali gus juara Piala Malaysia,” katanya.

Pada pertemuan itu, Johor DT mengejutkan Kedah seawal minit kedua hasil tandukan Aidil sebelum pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-63 yang menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.


PEMAIN Johor DT meraikan kemenangan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Ujar pemain berusia 30 tahun itu lagi, semua pemain wajar dijulang sebagai wira selepas mereka bertungkus-lumus mencipta kemenangan bermakna, pada aksi kemuncak yang penuh dramatik itu.

“Gol pertama itu memang penting untuk menaikkan semangat kami. Saya hanya menjalankan tugas dan memang tanggungjawab saya sebagai pemain cuba menjaringkan gol walaupun beraksi di bahagian pertahanan.

“Apapun, saya ucap terima kasih kepada semua termasuk pengurusan pasukan, jurulatih dan penyokong. Musim ini amat mencabar buat kami, namun kami berjaya akhiri saingan dengan satu lagi catatan sejarah buat kelab,” katanya.

Kejayaan merampas Piala Malaysia itu memastikan trofi berprestij itu kembali menuju ke selatan tanahair selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.

Transformasi yang berlaku ke atas kelab itu pada 2013 dengan menggunakan nama baru iaitu, Johor DT meletakkan mereka kini sebagai raja bola sepak tanahair apabila mendominasi saingan tempatan dengan merangkul Liga Super sebanyak empat kali (2014, 2015, 2016, 2017) dan Piala Sumbangsih dua kali (2015, 2016) selain menjulang Piala FA dan Piala AFC sekali, masing-masing pada 2016 serta 2015.


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meraikan kemenangan Johor DT bersama penyokong di Stadium Shah Alam. FOTO/ASYRAF HAMZAH

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:01 PM