MyMetroArena

Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Kedudukan ranking
skuad Harimau Malaya yang jauh lebih baik mengatasi Sri Lanka bukan jaminan
buat pemain untuk ‘bersenang-lenang’ pada aksi persahabatan di Stadium Sugathadasa,
malam esok.
Menurut kapten pasukan
kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak, Sri Lanka yang menghuni ranking ke-199
dunia berbanding Malaysia (171) dijangka memberi tentangan yang sengit apatah
lagi perlawanan berlangsung di tempat mereka sendiri.
“Bagi saya dan rakan sepasukan,
ini bukanlah satu tugas yang mudah. Walaupun sekadar aksi persahabatan tetapi
ia tetap dianggap penting sebagai persiapan ke Piala AFF Suzuki 2018.
“Kita juga berdepan kekangan masa
kerana hanya sempat berlatih tiga hari sebelum terbang ke Colombo. Jadi, saya
mengharapkan rakan sepasukan dapat segera membentuk keserasian menentang lawan,
Jumaat ini (malam esok),” katanya ketika
ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas
di Colombo, semalam.
Sebagai rekod, Sri Lanka di bawah
bimbingan Mohamed Packeer Ali sekadar meraih satu kemenangan dalam tiga aksi
persahabatan terakhir yang menyaksikan mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas
Bangladesh sebelum tewas 0-2 di tangan India dan terikat tanpa jaringan
menentang Maldives.
Mengulas lanjut panggilan kali
ini yang menampilkan beberapa muka baharu, penyerang Kuala Lumpur itu
menegaskan situasi itu tidak memberi sebarang masalah kepada skuad kebangsaan.
“Seperti yang pernah saya katakan
sebelum ini, setiap pemain memiliki kelebihan masing-masing. Jadi, ia akan
memberi impak yang positif kepada pasukan.
“Situasi ini juga memberi lebih
banyak pilihan kepada jurulatih untuk membuat eksperimen bagi menurunkan
kesebelasan utama terbaik,” katanya.
Selepas aksi di Colombo, anak
buah Tan Cheng Hoe dijadual berdepan lawan lebih hebat bertemu Republik Krygyz
yang menduduki ranking 91 dunia di Stadium Hang Jebat, Selasa ini dan satu lagi
aksi persahabatan menentang Maldives pada 3 November di Stadium Nasional Bukit
Jalil.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:55 PM